Empat kanak-kanak rakan baik lemas di Sg Kreh, Kepala Batas

KEPALA BATAS 26 Sept. - Empat kanak-kanak lelaki, berumur lima dan enam tahun, lemas di kawasan rumah pam Sungai Kreh, Lahar Tambun, Tasik Gelugor di sini hari ini.

Mayat-mayat kanak-kanak tersebut telah dijumpai awal petang ini, kata polis.

Mayat Mohd Zaidi Mohd Saidin dan Mohd Noraidil Hakimi Shahruddin, kedua-duanya berusia lima tahun, serta Badrul Hanif Ahmad dan Zulkifli Mohamed, kedua-duanya enam tahun, ditemui pada pukul 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Wan Abdullah Tengku Said berkata, tiga daripada mangsa adalah murid Tadika Kemas Lahar Tambun kecuali Mohd Noraidil Hakimi yang belajar di Tadika Cina Lin Ching.

Keempat-empat rakan itu dilaporkan bermain bersama-sama seorang kanak-kanak perempuan, Nor Shahira Arshad, di kawasan rumah pam itu apabila tragedi itu berlaku kira-kira pukul 1.15 petang ini.

Kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat dan telah pun dituntut oleh keluarga masing-masing untuk urusan pengkebumian di tanah perkuburan Lahar Tambun.

Bapa allahyarham Mohd Zaidi, yang dikenali sebagai Mohd Saidin ketika ditemui pemberita di Hospital Kepala Batas berkata, beliau kebetulan sedang melalui kawasan kejadian itu apabila Nor Shahira meluru ke arahnya dan memberitahu bahawa keempat-empat rakannya itu terjatuh ke dalam sungai.

Mohd Saidin berkata, beliau terus ke tempat kejadian dan terjun ke dalam air untuk mencari kanak-kanak berkenaan.

Beliau secara berseorangan berjaya mengeluarkan mayat mangsa satu demi satu dari sungai itu.

Mohd Saidin berkata, beliau pada mulanya tidak mengetahui bahawa anaknya terlibat dalam tragedi itu sehinggalah beliau menjumpai mayat keempat iaitu anaknya sendiri.

Wan Abdullah berkata, maklumat lanjut mengenai kejadian itu belum diperolehi dan satu-satunya saksi tragedi itu, Nor Shahira, masih terkejut untuk memberi keterangan. - Bernama

0 comments: