Ahmadinejad tenang jawab kecaman pelajar

NEW YORK: Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad dikecam ketika muncul berucap di Universiti Columbia kelmarin dengan presiden universiti berkenaan menggelar tetamunya itu sebagai 'diktator kerdil dan kejam' tanpa terlebih dulu mendengar ucapannya.

Kemunculan Ahmadinejad di Universiti Columbia, sehari sebelum beliau dijadualkan berucap di perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan keras pemimpin Iran itu terhadap Israel sebelum ini.

Bagaimanapun, Ahmadinejad kelihatan tenang menjawab segala kecaman terhadapnya walaupun disorak, diejek dan dicabar dengan keras berhubung pendapatnya mengenai 'holocaust' atau pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi di tangan Hitler pada perang dunia kedua.

Sebelum dapat berucap, Presiden Iran itu terpaksa duduk mendengar kecaman pedas presiden universiti di New York itu, Leo Bollinger yang sebelum ini dikutuk keras oleh kumpulan Yahudi dan ahli politik Amerika Syarikat kerana mempelawa Ahmadinejad untuk berucap di universitinya.

Bollinger berkata: "Tuan Presiden, Tuan mempamerkan segala tanda seorang diktator kerdil dan kejam.

"Kenapakah Tuan begitu takut untuk membenarkan rakyat Iran menyuarakan pandangan mereka mengenai perubahan yang mereka mahu? Kenapakah Tuan mengecilkan holocaust?"

Apabila akhirnya berpeluang berucap, Ahmadinejad berkata kenyataan Bollinger adalah penghinaan kepada maklumat dan pengetahuan yang dimiliki mereka yang hadir untuk mendengar ucapannya itu.

Ahmadinejad dengan tenang menjawab satu persatu isu yang dibangkitkan termasuk tujuan sebenar program nuklear Iran, keperluan membenarkan kajian ilmiah terhadap holocaust dan yang paling kuat mendapat ejekan daripada mereka yang hadir ialah jawapannya mengenai homoseks. – AFP

0 comments: