Sekolah satu sesi mulai 2010

Oleh Wan Faizal Ismayatim

Projek perintis di 15 sekolah di Terengganu sejak 2005 berjaya: Hishammuddin

KOTA BHARU: Sistem persekolahan satu sesi akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 2010 bagi membolehkan pelajar mempunyai lebih banyak masa untuk kegiatan kokurikulum, selain membendung kejadian tidak diingini di luar waktu sekolah.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kajian untuk pelaksanaan langkah itu sedang dijalankan untuk diguna pakai oleh semua Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Katanya, persekolahan satu sesi mampu memperkasakan SK sebagai sekolah pilihan majoriti ibu bapa yang turut menjadi keutamaan kementerian dalam mewujudkan persekitaran selamat, sekali gus melegakan ibu bapa yang bekerja.

"Saya rasa, kita boleh melaksanakannya (persekolahan satu sesi) pada 2010, iaitu sebaik berakhir tempoh lima tahun Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan rombakan menyeluruh sistem pendidikan sedia ada.

"Saya juga percaya ini adalah peringkat terbaik sistem pendidikan kita. Selari harapan menerapkan pendidikan menyeluruh secara memanjangkan masa pada sebelah petang bukan saja untuk akademik, tetapi kegiatan berfaedah," katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada media sebelum Majlis Khatam al-Quran Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Kali Kedua yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di SK Padang Garong 2, di sini, semalam.

Hishammuddin mengulas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin supaya persekolahan satu sesi diwujudkan bagi membolehkan kanak-kanak berada lebih lama di sekolah sebagai cara membendung jenayah seksual dan pembunuhan golongan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, persekolahan satu sesi sehingga jam 4 petang akan melegakan ibu bapa yang bekerja kerana tahu anak mereka berada di sekolah dan lebih selamat daripada tinggal sendirian di rumah.

Mengenai kaedah yang akan diguna pakai, Hishammuddin berkata, ia akan dilaksanakan berdasarkan laporan kajian projek perintis membabitkan 15 sekolah di Setiu, Terengganu yang mengamalkan persekolahan satu sesi sejak 2005.

Katanya, sehingga kini lebih 60 peratus sekolah seluruh negara melaksanakan persekolahan satu sesi, manakala sekolah yang masih kekal dua sesi terletak di bandar yang berdepan masalah kekurangan tanah.

"Pelaksanaan persekolahan satu sesi di sekolah dua sesi boleh dilakukan melalui pembinaan bangunan sekolah lebih tiga tingkat kerana di bandar besar kekurangan tanah.

"Baru-baru ini, saya memberi kelonggaran untuk membina bangunan lebih tiga tingkat di SMK Jalan Cochrane (Kuala Lumpur). Kaedah itu boleh diguna pakai kerana pembinaan bangunan lebih tinggi dari dulu tidak menimbulkan masalah.

"Saya juga menunggu laporan kajian di Setiu dan akan melihat kedudukan dan masalah sekolah satu sesi sekarang seperti fizikal dan tenaga pengajar yang perlu diisi sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, persekolahan satu sesi juga tidak menyebabkan berlakunya lebihan guru kerana pelaksanaannya dibuat secara berperingkat yang mana sekolah yang kekurangan guru untuk aktiviti tertentu diisi daripada lebihan guru di sekolah dua sesi.

Selain itu, katanya, pelaksanaan sekolah satu sesi di sekolah swasta, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan, Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Antarabangsa boleh dilaksanakan melalui kesepakatan Lembaga Sekolah yang memerlukan pendekatan berbeza.

0 comments: