Pegawai polis dituduh miliki wang haram RM1.2j

Oleh Johan Afandi

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai kanan polis yang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki memiliki harta bernilai jutaan ringgit secara meragukan, semalam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM1.263 juta.

Superintendan Azmi Osman dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman, dipercayai menjadi pegawai polis pertama di negara ini didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Dia yang juga bekas Pegawai Turus Bahagian Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu.

Azmi yang ditahan di rumahnya di Shah Alam pagi kelmarin, menghadapi tuduhan pertama menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM71,870.70 pada 19 Ogos 2003 melalui akaun semasa Malayan Banking Berhad bernombor 501011803326 cawangan City Square, Jalan Wong Ah Fook di sini.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima wang berjumlah RM941,930 antara 13 Januari dan 17 November 2004 serta RM250,000 pada 5 April 2005, hasil daripada aktiviti haram melalui akaun serta bank sama.

Bagi semua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) akta berkenaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Ketua Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pelucutan Hak, Jabatan Peguam Negara, Zulkifli Ahmad di depan Hakim Mahkamah Sesyen Zanol Rashid Hussain manakala tertuduh diwakili peguam, C N Sritharan.

Tertuduh yang memakai kemeja cerah dan seluar gelap, tenang ketika tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan menggeleng sebagai tanda mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan.

Zulkifli meminta mahkamah menetapkan jaminan RM200,000 bagi semua tuduhan tetapi dibantah Sritharan yang mengemukakan 10 alasan dan meminta wang jaminan ditetapkan RM10,000 bagi setiap tuduhan.

Sritharan memberitahu mahkamah, anak guamnya menghadapi masalah kesihatan dan sakit jantung serta sedang bercuti sakit selama 10 hari bermula Rabu minggu lalu hingga Jumaat ini.

"Anak guam saya mempunyai seorang isteri dan lima anak, semuanya masih bersekolah, terpaksa menanggung malu serta berhadapan dengan masalah kewangan berikutan menghadapi dua perintah penyitaan pada Ogos 2005 dan Disember 2006, yang menyebabkan semua akaun semasa, simpanan dan pelaburan dibekukan," katanya.

Zulkifli membantah alasan Sritharan kerana pegawai perubatan hospital mengesahkan penyakit Azmi bukan sakit jantung, sebaliknya hanya sakit dada dan cuti sakit diberikan supaya dia dapat berehat serta sihat untuk hadir di mahkamah.

Beliau berhujah, semua wang dan harta tertuduh dibekukan untuk dijadikan bukti di mahkamah dan Azmi tetap menerima gaji bulanan sebagai pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti biasa.

Zanol Rashid kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM200,000 untuk ketiga-tiga tuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes itu pada 31 Oktober ini.

0 comments: