Laporan helikopter Nuri terhempas diserah kepada TPM

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Laporan siasatan nahas helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Genting Sempah pada Julai lalu akan diserah kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, Najib yang juga Menteri Pertahanan akan meneliti terlebih dahulu laporan tersebut sebelum pengumuman mengenainya dibuat.

Beliau berkata, hanya pagi ini Lembaga Penyiasat Khas TUDM menyerahkan laporan itu kepada beliau, setelah tertangguh ekoran beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Pasukan penyiasat kita perlu melihat dari pelbagai sudut kerana prosedur siasatan adalah rumit. Kita perlu spesifik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, satu sidang akhbar akan diadakan esok berhubung laporan berkenaan.

Nahas pada 13 Julai itu mengorbankan juruterbang, Kapt Nor Azlan Termuzi; pembantu juruterbang, Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof; Sarjan Udara Khusnizaim Ariffin dan Mohd Azmi Md Yassin; serta Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Muhammad Ridzuan Ahmad.

Mereka dalam penerbangan ke Kuantan dari Pengkalan TUDM Sungai Besi di sini.

TUDM kini memiliki 30 helikopter Nuri yang perkhidmatannya akan digantikan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun ini. - Bernama

0 comments: