Lakaran wajah suspek dikeluarkan selepas siasatan

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes pembunuhan kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin, 8, supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, maklumat yang diterima daripada orang ramai sangat penting bagi membolehkan polis mengumpul maklumat mengenai kejadian itu dari semua sudut.

“Polis amat memerlukan kerjasama orang ramai membantu polis memberkas pembunuh terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keprihatinan seorang pemilik rumah yang membuat laporan polis berhubung tindakan mencurigakan seorang lelaki yang mahu menyewa rumahnya bersama anak perempuannya beberapa hari sebelum mayat Nurin jazlin ditemui.

Pemilik rumah berkenaan dikatakan turut membantu polis membuat lakaran wajah suspek.

Khalid bagaimanapun berkata, polis tidak dapat menyiapkan lakaran wajah suspek kerana maklumat yang diberikan tidak lengkap.

“Kita tidak boleh buat fotofit suspek pembunuh Nurin Jazlin dengan hanya berpandukan laporan orang ramai kerana setiap laporan yang diterima perlu disiasat terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, kita mengalu-alukan orang ramai membuat laporan jika mempunyai maklumat.

“Namun polis akan mengumpul dan mengkaji laporan tersebut sebelum mengeluarkan fotofit (lakaran wajah) suspek,” katanya.

Setiap laporan jelas Khalid, akan disiasat bagi memastikan kesahihannya.

“Jika laporan yang diterima relevan, barulah kita akan melakarkan fotofit suspek,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid meminta semua pihak bersabar dan memberi masa kepada polis untuk melakukan tugas mereka supaya siasatan secara adil dan telus dapat dijalankan.

Sementara itu, menjawab satu soalan, Khalid berkata, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada rambut yang dijumpai dalam beg berisi mayat Nurin masih belum diterima dari Jabatan Kimia.

0 comments: