Presiden Iran dicemuh di AS

NEW YORK 25 Sept. – Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dikritik secara terbuka apabila beliau hadir untuk menyampaikan ucapan di sebuah universiti terkemuka Amerika Syarikat (AS) semalam.

Kemunculan Mahmoud di Universiti Columbia itu berlaku sehari sebelum beliau dijadual berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), tetapi kehadirannya di sini telah mencetuskan kontroversi hangat lebih-lebih lagi kerana pendirian lantang beliau menentang Israel.

Mahmoud telah diejek dan dicabar oleh hadirin berhubung pandangan beliau mengenai peristiwa Holocaust.

Beliau dilihat menerima segala kenyataan yang dilontarkan ke arahnya dengan tenang tetapi mengadu mengenai “layanan tidak mesra” yang diberikan oleh para pegawai dan pelajar universiti tersebut.

Presiden Iran itu menggunakan kesempatan tersebut untuk menyangkal dakwaan beliau menafikan Holocaust pernah berlaku.

Beliau juga menegaskan, Iran berhak untuk membangunkan program tenaga nuklear bagi kegunaan awam dan Teheran tidak ada hasrat untuk membina senjata nuklear.

Bagaimanapun, sebelum beliau berucap, Mahmoud terpaksa duduk mendengar kritikan demi kritikan selama 10 minit daripada Presiden Universiti, Lee Bollinger.

Presiden Columbia itu sebelum ini dikecam hebat oleh pertubuhan Yahudi dan ahli politik AS kerana menjemput Mahmoud.

“Tuan Presiden, tuan menunjukkan segala ciri seorang diktator yang kejam dan berfikiran sempit.

“Mengapa tuan begitu takut dengan rakyat Iran yang melahirkan pandangan menuntut perubahan?” tanya Bollinger sambil menuduh Presiden Iran itu mengambil tindakan keras ke atas ahli akademik, golongan homoseksual dan penentang kerajaan di Iran.

Apabila beliau bangun untuk berucap, Mahmoud menuduh Bollinger melemparkan penghinaan dan dakwaan tidak berasas.

Mahmoud meneruskan ucapannya dengan menuduh AS cuba menyekat hasrat Iran untuk mencapai kemajuan saintifik menerusi program nuklearnya.

“Kami tidak percaya pada senjata nuklear kerana ini bertentangan dengan naluri manusia.

“Saya fikir ahli politik yang mahu membina bom atom atau mengujinya merupakan golongan yang mundur dari segi politik,” tambah beliau.

– AFP

0 comments: