Kes Nurin: Polis keluarkan fotofit dua suspek

Oleh Khairul Azran Hussin




KUALA LUMPUR 2 Okt. – Polis hari ini mengedarkan fotofit dua individu yang dipercayai boleh membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin.

Fotofit tersebut menunjukkan wajah seorang lelaki dan wanita berketurunan Melayu dengan masing-masing mempunyai ketinggian 168 dan 153 sentimeter.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata, lelaki tersebut berumur antara 35 hingga 40 tahun manakala wanita berkenaan pula berusia 20-an.

“Fotofit itu dibuat berdasarkan maklumat orang ramai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Beliau meminta sesiapa yang pernah melihat atau mempunyai maklumat mengenai mereka supaya menghubungi Asisten Supritendan Loh Pei Pei di talian 03-7966 2222.

Christopher berkata, lelaki tersebut dikehendaki polis berikutan tindakannya yang mencurigakan ketika mencari bilik sewa untuk anak perempuannya.

Dia mencari bilik sewa itu semasa Nurin Jazlin dilaporkan hilang pada akhir Ogos lalu.

“Lelaki tersebut beberapa kali dilihat di kawasan perumahan di sekitar Bangsar, Kuala Lumpur,” katanya.

Christopher berkata, wanita berkenaan pula dilihat memakai baju berwarna merah dan berada di hadapan sebuah premis di Jalan PJS 1/48 Petaling Utama, Petaling Jaya sehari sebelum sebuah beg sukan berisi mayat ditemui pada pagi 17 September lalu.

“Fotofit tersebut dipercayai wajah wanita yang memakai baju-T berwarna merah serta berseluar jean biru yang terdapat dalam rakaman CCTV (kamera litar tertutup) di tempat kejadian.

“Kedua-dua individu berkenaan sangat penting dicari bagi membantu siasatan kes ini,’’ katanya.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang pada 20 Ogos lepas setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Pada 17 September, mayatnya ditemui dalam beg sukan yang ditinggalkan di sebuah kedai di Petaling Jaya.

Kanak-kanak itu dipercayai menjadi mangsa penderaan seksual. Kehilangan dan kematiannya mendapat liputan meluas media.

0 comments: