Amaran BPR jangan terima hadiah masa raya

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) memberi amaran kepada semua penjawat awam di negara ini supaya tidak menerima sebarang bentuk hadiah sempena musim perayaan seperti hamper kerana ia boleh membuka peluang berlakunya perbuatan rasuah.

BPR dalam kenyataannya berkata, gejala seumpama itu dilihat begitu ketara terutama pada musim perayaan dan fenomena itu perlu dikawal sepenuhnya.

Amaran tersebut, kata kenyataan itu, sejajar dengan peruntukan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang secara jelas melarang seorang pegawai awam atau swasta menerima hadiah bertujuan mendapatkan balasan atau keistimewaan membabitkan tugas dan kuasanya.

‘‘Selain itu semua penjawat awam juga adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 iaitu pegawai awam dilarang daripada menerima atau memberi hadiah sekiranya berkaitan dengan tugas awamnya,’’ kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, BPR mahu ketua-ketua jabatan mengingatkan pegawai dan kakitangan mereka supaya menghindari gejala berkenaan.

‘‘BPR sendiri akan membuat pemantauan ke atas ketua-ketua jabatan berhubung dengan perkara ini dan kepada mereka yang ditawarkan hadiah harus melaporkannya ke BPR,’’ kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, kegagalan penjawat awam membuat laporan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 17, Akta Pencegahan Rasuah 1997.

‘‘Di bawah akta ini, seseorang yang disabitkan bersalah kerana tidak melaporkan tawaran rasuah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Laporan

‘‘Begitu juga dengan mereka yang telah diminta rasuah oleh pihak tertentu perlu juga membuat laporan kepada pegawai BPR atau polis paling hampir dan kegagalan berbuat demikian boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,’’ kata kenyataan itu lagi.

Ekoran terdapat banyak kemusykilan tentang isu itu khususnya pada musim perayaan ini BPR telah menubuhkan Pusat Khidmat Nasihat Pemberian/ Penerimaan Hadiah.

Pusat itu, kata kenyataan tersebut, dikendalikan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Ibu Pejabat BPR, Putrajaya.

‘‘Orang ramai boleh menghubungi atau mengirim pesanan ringkas (SMS) melalui dua talian khas yang disediakan bagi memudahkan rujukan dibuat iaitu di talian 019-6000103 atau 019-6000104.

“Selain itu mereka juga boleh melayari laman web BPR iaitu www.bpr.gov.my atau emel kepada hadiah@bpr.gov.my,” kata kenyataan itu.

0 comments: