Calon angkasawan negara dikuarantin elak dijangkiti penyakit

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Dua angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr. Faiz Khaleed kini dikuarantin di tempat khas di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan bagi memastikan tahap kesihatan mereka baik menjelang tarikh pelancaran ke angkasa lepas, Rabu depan.

Menurut Faiz, mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan berkenaan tanpa kebenaran bagi mengelak dijangkiti sebarang penyakit.

Walaupun dikuarantin, tambah beliau, keadaan di situ cukup selesa dan segala keperluan mereka tidak pernah diabaikan pihak Rusia.

“Di sini, kami berada di tempat khas di mana semua angkasawan Rusia sebelum ini dikuarantin supaya tahap kesihatan tidak merosot.

“Kami tidak dibenarkan keluar sesuka hati kerana takut terkena jangkitan, namun tempat ini selesa dan segala keperluan kami terjaga dengan baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Faiz dan Sheikh Muszaphar dikuarantin sejak Rabu lalu di Baikonur Cosmodrome sebagai persiapan akhir menjelang pelancaran ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini.

Di situ, kedua-dua mereka menjalani pelbagai latihan simulasi dan eksperimen bagi menyesuaikan diri apabila berada di angkasa lepas selama 10 hari nanti.

Selain itu, mereka juga meneruskan latihan bagi mengekalkan kecergasan fizikal serta kekuatan mental.

Faiz berkata, sesi latihan di situ tidak seteruk sewaktu mereka mengikuti latihan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Moscow selama setahun sebelum ini.

Ini kerana, katanya, mereka perlu mendapat rehat secukupnya menjelang pelancaran ke ISS.

Faiz menambah, beliau juga tidak pasti aktiviti terperinci yang disediakan di situ sebelum tarikh pelancaran kerana mereka hanya disediakan dengan jadual harian.

0 comments: