Gesa henti penindasan -- Ibrahim Gambari akhirnya temui ketua junta, sampai amanat PBB

YANGON 2 Okt. – Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari menemui pemimpin junta Myanmar dan orang-orang kanannya hari ini dalam usaha untuk menyelesaikan krisis politik negara ini.

Dua diplomat asing berkata, Ibrahim menemui Jeneral Kanan Than Shwe di ibu negara baru yang terpencil, Naypyidaw selepas berhari-hari pertemuan itu dilengah-lengahkan oleh junta.

Malah sementara menunggu pertemuan tersebut, Ibrahim dibawa oleh Timbalan Menteri Luar, Kyaw Thu ke pekan Lashio untuk menghadiri satu perhimpunan prokerajaan yang disertai oleh puluhan ribu penduduk.

Turut hadir ialah orang nombor dua, tiga dan empat dalam hierarki junta terdiri daripada Timbalan Jeneral Kanan, Maung Aye, Jeneral Thura Shwe Mann dan pemangku Perdana Menteri, Thein Sein, kata seorang lagi diplomat.

Butir-butir pertemuan itu tidak diumumkan.

Bagaimanapun jurucakap PBB, Farhan Haq sebelum itu memberitahu, Ibrahim akan menggesa junta “supaya menghentikan penindasan terhadap protes yang dilakukan secara aman, membebaskan tahanan dan mengambil langkah yang lebih menyeluruh dan lebih meyakinkan ke arah menegakkan demokrasi, hak asasi manusia dan perdamaian nasional.”

Sekembalinya ke Yangon selepas pertemuan dengan junta, Ibrahim mengadakan pertemuan kedua dengan pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi sebelum dibawa ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan ke Singapura.

Sementara itu, kumpulan-kumpulan pem- bangkang berkata, mereka tidak menaruh harapan tinggi terhadap lawatan utusan PBB itu.

“Lawatan itu tidak berfaedah kecuali beliau berjaya mengatur pertemuan antara Suu Kyi dengan Than Shwe.

“Misi beliau sangat lemah, beliau sepatutnya melakukan lebih daripada itu,” kata jurucakap ‘kerajaan’ Myanmar dalam buangan di Bangkok, Zinn Linn.

Ketika Ibrahim cuba merundingkan perdamaian antara junta dengan pembangkang, pasukan keselamatan mengundurkan sebahagian anggotanya dari Yangon yang kini tenang selepas askar dan polis menggunakan kekerasan untuk menghancurkan protes minggu lalu.

Protes

Perintah berkurung bermula 9 malam hingga 5 pagi dipendekkan kepada 10 malam hingga 4 pagi setiap hari.

Penduduk yang tidak dibenarkan keluar melancarkan protes bentuk baru malam tadi dengan memadamkan lampu dan menutup peti televisyen dari 8 malam hingga 8.15 malam semasa siaran berita yang disiarkan setiap malam oleh kerajaan.

Tidak jelas bilangan penduduk yang menyahut seruan aktivis supaya mereka melancarkan “protes senyap” terhadap junta itu.

Kumpulan penentang kerajaan berkata, sehingga 200 penunjuk perasaan dibunuh dan 6,000 lagi ditahan, berbanding 10 kematian yang dilaporkan oleh rejim.

“Keadaan kini sudah kembali seperti biasa di Myanmar,” kata Menteri Luar, Nyan Win pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Beliau berkata, pasukan keselamatan menahan diri daripada bertindak selama sebulan tetapi terpaksa “mengambil tindakan untuk memulihkan situasi.”

Nyan Win tidak menyebut tentang kematian, sebaliknya menuduh pihak asing sebagai punca keganasan.

“Perkembangan baru-baru ini menunjukkan ada anasir di dalam dan luar negara yang ingin menggagalkan proses semasa menuju demokrasi supaya mereka dapat mengambil kesempatan daripada huru-hara yang menyusul,” dakwa Nyan Win.

Kenyataan beliau itu menandakan junta tidak akan berganjak daripada pendirian kerasnya dan bersedia untuk memekakkan telinga terhadap tuntutan antarabangsa supaya demokrasi dipulihkan dan Suu Kyi dibebaskan.

– Agensi

0 comments: