Dua suspek kes Nurin diburu

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim


BANTU SIASATAN: Lakaran wajah lelaki dan wanita yang dipercayai dapat membantu siasatan kes penderaan seksual dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin.

Polis edar lakaran wajah lelaki, wanita yang dilihat berhampiran beg mayat ditemui

KUALA LUMPUR: Polis semalam mengedar lakaran wajah seorang lelaki dan wanita yang dipercayai dapat membantu siasatan kes penderaan seksual dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8.

Pada masa yang sama, Bukit Aman turut membuat laporan polis kelmarin berhubung pelbagai laporan akhbar mengenai kes Nurin yang didakwa tidak benar.

Ketika mengedarkan lakaran wajah itu pada sidang media di sini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, berkata pihaknya kecewa kerana banyak perkara mengenai kes itu dilaporkan media walaupun tidak didedahkan secara rasmi oleh polis hingga boleh menjejaskan siasatan.

Mengenai lakaran yang diedarkan semalam, beliau berkata, ia disediakan polis hasil maklumat dan gambaran orang awam mengenai suspek kes berkenaan.

Wan berkata, lelaki itu mempunyai ketinggian kira-kira 168 sentimeter (sm) dan berusia antara 35 hingga 40 tahun, manakala wanita terbabit berumur dalam lingkungan 20-an dengan ketinggian 153sm.


Beliau berkata, lelaki terbabit dikatakan mencari bilik sewa sekitar Bangsar untuk dihuni bersama anak perempuannya, beberapa hari sebelum mayat Nurin ditemui dalam sebuah beg di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya pada 17 September lalu.

"Wanita terbabit pula dilihat berdekatan beg Diadora bersaiz 35sm yang mengandungi mayat mangsa pada petang Ahad (sehari sebelum mayat mangsa ditemui). Ketika itu dia berpakaian baju merah," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, semalam.

Wan berharap lelaki dan wanita berkenaan atau pihak yang mengenali mereka, tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes itu, Asisten Superintendan Loh Pei Pei menerusi talian 019-3577008 bagi membantu siasatan.

Khamis lalu, polis menahan empat lelaki dalam serbuan berasingan di Shah Alam dan sehari selepas itu, seorang wanita Indonesia ditahan di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan bagi membantu siasatan berhubung kes Nurin.

Bagaimanapun, empat lelaki berusia 27 hingga 33 tahun itu dibebaskan tanpa syarat kelmarin selepas polis berpuas hati mereka tidak terbabit dalam kes berkenaan.

Wanita Indonesia berusia 23 tahun itu pula masih direman dan kini ditahan di wad Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini selepas menelan kad SIM telefon bimbit yang dipercayai mengandungi maklumat yang dapat membantu siasatan kes pembunuhan Nurin.

Wan berkata, usaha mengeluarkan objek asing dalam perut wanita itu, yang dipercayai kad SIM berkenaan, sedang dibuat pihak hospital.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas maklumat yang dipercayai terkandung dalam kad SIM berkenaan serta sama ada wanita itu adalah suspek utama kes pembunuhan Nurin.

"Saya hanya sahkan wanita ini berada di negara ini secara haram," katanya yang juga enggan mengulas kaitan antara wanita Indonesia terbabit dengan lelaki serta wanita dalam lakaran itu.

Wan berkata, polis membuat tangkapan bagi membantu siasatan berdasarkan maklumat yang diterima polis termasuk melalui Rakan Cop.

Mengenai empat lelaki yang dibebaskan tanpa syarat kelmarin, beliau berkata, polis berpuas hati mereka tidak terbabit dengan kes pembunuhan Nurin, selain semuanya memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.

Beliau berkata, seorang pegawai Bukit Aman juga masih berada di pejabat Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Washington, bagi meningkatkan kualiti imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil dari premis bersebelahan lokasi mayat Nurin ditemui.

Wan tidak menolak kemungkinan imej individu yang dirakam CCTV berkenaan akan didedahkan kepada umum selepas kualiti rakaman itu ditingkatkan.

Berdasarkan maklumat polis sebelum ini, CCTV itu merakamkan kelibat seorang wanita berbadan kecil berusia lingkungan 20-an yang dilihat menaiki kereta berwarna perak dipandu seorang lelaki.

Mengenai kaitan kes Nurin dengan pencabul Kampung Baru yang turut membabitkan jenayah seksual mangsa kanak-kanak, Wan berkata, pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes itu akan membuat perbandingan antara kedua-duanya.

Sehubungan itu, Wan meminta media tidak menyiarkan maklumat yang tidak dikeluarkan secara rasmi oleh polis.

"Kes ini (Nurin) sangat berprofil tinggi, siasatan akan terjejas jika laporan tak betul. Polis sedaya upaya akan menggunakan semua sumber yang ada bagi menyiasat dan menyelesaikannya. Siasatan menjurus kepada semua sudut, kita siasat semua aspek," katanya.

Beliau juga menegaskan, polis tidak menyiasat ibu bapa Nurin seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya hanya mengambil maklumat mereka bagi membantu siasatan.

INFO
Fotofit suspek


  • Lakaran hasil maklumat dan gambaran orang awam
  • Tinggi lelaki kira-kira 168 sentimeter (sm); berusia antara 35 hingga 40 tahun.
  • Tinggi wanita 153sm; berusia lingkungan 20-an.
  • Lelaki terbabit dikatakan mencari bilik sewa sekitar Bangsar untuk dihuni bersama anak perempuannya, beberapa hari sebelum mayat Nurin ditemui.
  • Wanita terbabit pula dilihat berdekatan beg Diadora bersaiz 35sm yang mengandungi mayat Nurin pada petang Ahad (sehari sebelum mayat mangsa ditemui).
  • Lelaki dan wanita berkenaan atau pihak yang mengenali mereka diminta tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Loh Pei Pei menerusi talian 019-3577008.

0 comments: