Kadar tol semua lebuh raya kekal

Oleh Mohd Azis Ngah

SUNGAI BULOH: Kadar tol di semua lebuh raya tidak akan dinaikkan selagi kajian mengenai cadangan kenaikan membabitkan tujuh pemegang konsesi belum diserahkan kepada Kabinet, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu.

"Kita tidak akan menaikkan kadar tol walaupun selepas 1 Januari depan selagi belum dapat kelulusan Jemaah Menteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Sungai Buloh, di sini semalam.

Beliau berkata, maklumat mengenai cadangan kenaikan itu sedang dikumpul dan apabila lengkap ia akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan nasihat dan pandangan sebelum dibentangkan di Kabinet.

Samy Vellu berkata, kementeriannya akan memastikan bahawa sebarang keputusan mengenai kadar tol tidak menambah beban pengguna dan pada masa sama tidak menjejaskan prestasi syarikat konsesi berdasarkan perjanjian sebelum ini.

Mengikut perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Expressways Berhad, kadar kenaikan tol perlu dikaji semula setiap tiga tahun.

Dalam perjanjian itu juga dinyatakan bahawa kadar kenaikan kadar tol Plus sepatutnya sebanyak 30 peratus, berbanding 10 peratus kenaikan yang diluluskan kerajaan sebelum ini.

Kali terakhir kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan naik pada 1 Januari 2005, iaitu pada kadar 10 peratus.

Bagaimanapun, kadar tol di lima lebuh raya di sekitar Lembah Klang dinaikkan antara 20 hingga 60 peratus atau antara 30 sen dan RM1 pada 1 Januari tahun ini, selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Lebuh raya itu ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Koridor Guthrie.

Mengenai punca lapan galang jambatan Lebuhraya Kajang-Seremban berdekatan Kampung Pajam dekat Nilai, Negeri Sembilan, yang runtuh Khamis lalu, Samy Vellu berkata, siasatan pakar mendapati kejadian itu berpunca daripada kedudukan sambungan galang yang tidak tepat beberapa inci dari kedudukan asal.

"Apabila mereka cuba memasang dan membaiki kedudukan galang kelapan, ia tergelincir menyebabkan tujuh lagi galang runtuh.

"Syukur kepada Tuhan kerana tiada sesiapa yang maut dalam kejadian ini. Mereka (kontraktor) sudah hantar surat minta maaf," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, eksekutif sebuah syarikat swasta, Azmi A Aziz, 32, bersama bapa, A Aziz Sedeh, 65, dan ibunya, Mahani Abdul Razak, 61, nyaris maut apabila keretanya melanggar satu galang yang runtuh sebelum mengundurkan kenderaannya.

Selang beberapa saat selepas itu, tujuh lagi galang yang satunya seberat 40 tan turut runtuh dan nyaris menghempap kereta mereka.

0 comments: