Image

Kesan krisis politik Perak
APA kesudahan krisis politik di Perak? Bila agaknya ia akan tamat? Dan sejauh manakah kesannya kepada rakyat di negeri itu?

Jangan biar 13 Mei berulang
TRAGEDI 13 Mei genap 40 tahun hari ini. Walaupun ada sesetengah pihakmenanggap peristiwa hitam itu hanya sebuah kes terpencil – berlaku diKuala Lumpur – dan bukannya bersifat ‘nasional’, tapi kesannya sangatpahit untuk ditelan. Peristiwa itu masih berbekas sehingga kini.

Bank patut bantu usahawan keluar daripada kemelut ekonomi
INSTITUSI perbankan negara ini ditegur lagi. Beberapa bulan lalu, bank ditegur kerana liat untuk memberikan pinjaman.

BISIK-BISIK
SEJURUS selepas Mahkamah Tinggi memutuskan Mohammad Nizar JamaluddinMenteri Besar Perak yang sah kelmarin, Najib Tun Razak telah memintasemua pihak bertenang dan jangan terlalu ghairah atau gusar.

Image

Rawat pesakit dengan sentuhan profesional
HARIJururawat Antarabangsa yang diraikan pada setiap 12 Mei telah disambutsemalam. Profesion jururawat adalah mulia dan perlu disanjung tinggioleh setiap lapisan masyarakat. Jadi setiap masyarakat harus memberipenghormatan kepada jururawat supaya mereka terus berkhidmat denganberetika dan prihatin terhadap pesakit-pesakit.

Ubah persepsi ubat perlu diisi dalam plastik
MENJADI suatu lumrah apabila kita berkunjung ke farmasi sesebuahhospital mahupun klinik untuk mendapatkan beg plastik bagi tujuanmengisi ubat-ubatan yang dipreskripsikan oleh doktor.

Banyak sektor halal perlu diterokai
PELUANG perniagaan di dalam industri halal sememangnya berpotensi untukberkembang di mana ia merupakan satu sektor pertumbuhan baru untuk masadepan.

ISU-ISU AKHBAR CINA
Kes 2 Menteri Besar Perak HAMPIR semua akhbar Cina pada 12 Mei 2009menyiarkan tajuk utama mengenai kemelut politik negeri Perak yangberterusan, dan akhbar Oriental Daily News mengemukakan tajuknya: “Kes2 Menteri Besar Negeri Perak’ melaporkan perkembangan kes Datuk SeriIr. Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar kedudukan Datuk Seri Zambry Abd.Kadir mengenai kedudukan Menteri Besar Perak.

Berikan peluang rakyat Perak buat penilaian sendiri
PEPATAH yang menyebut bahawa "gajah sama gajah berjuang, kancil mati ditengah-tengah" adalah analogi yang paling tepat kepada rakyat negeriPerak sekarang.

Media tradisional lawan media baru: Siapa kalah?
APA itu media, ramai yang tahu pengertiannya secara umum. Kecuali orangmedia sendiri, rata-rata umum tidak tahu media secara sebenar dan kuasayang ada padanya. Tidak ramai yang tahu magnitud kekuasaan yang adapada media. Tidak ramai juga yang tahu akhbar dan media juga dikenalisebagai fourth estate (estet keempat) iaitu hirarki keempat dalamsistem kuasa sesebuah negara.





Umno perlu berani buat perubahan, menerajui pembaharuan
UcapanPresiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sempena Ulang Tahun Umno ke-63 diDewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin.

Analisis: Krisis politik Perak jejas kesejahteraan rakyat
SUASANApolitik di Perak penuh dengan kejutan. Sejak peralihan kuasa padaPilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu, tidak ada sesuatu pun yangpasti dan sentiasa diselubungi ketidaktentuan.

Minda Pengarang: Kemelut di Perak tidak wajar berpanjangan, berulang
SEHARIselepas Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas)mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai MenteriBesar Perak yang sah, semalam Mahkamah Rayuan pula membenarkanpermohonan penangguhan pelaksanaan keputusan itu. Ini bermakna keadaanstatus quo kembali seperti sebelum ini iaitu Datuk Seri Dr Zambry AbdulKadir kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga kes rayuan itudidengar. Mahkamah akan
Kesan krisis politik Perak

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

Anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di hadapan pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh, kelmarin.


APA kesudahan krisis politik di Perak? Bila agaknya ia akan tamat? Dan sejauh manakah kesannya kepada rakyat di negeri itu?

Adakah ‘jangkitan’ kemelut itu ke negeri-

negeri lain menyamai bahaya wabak influenza A atau meningitis yang begitu menakutkan?

Persoalan itu mesti dijawab. Lantaran kebimbangan orang ramai terhadap kemelut yang amat kabur kesudahannya itu semakin berat.

Kemelut itu wajib diselesaikan segera. ‘Penyakit’ itu jika tidak dibendung pasti memberi kesan jangka panjang kepada pembentukan negara bangsa.

Kebimbangan itu direkodkan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail ketika beliau mencelah pendengaran rayuan kes tersebut di Mahkamah Rayuan pagi semalam.

Katanya: “Perkembangan politik di Perak memberi kesan kepada seluruh negara dan jika dilengah-lengahkan akan menimbulkan krisis yang berpanjangan.”

Itulah hakikat yang mesti ditelan oleh semua pihak. Bahawa mengizin kemelut itu berlarutan untuk satu tempoh yang agak panjang sehingga menimbulkan kebosanan, mual dan muak di kalangan rakyat juga satu kesilapan.

Krisis dan kemelut ini mesti dihentikan supaya penduduk di Perak kembali aman dan dapat menjalankan rutin harian tanpa gangguan. Lebih penting lagi urusan rakyat di seluruh negara dapat dilangsungkan tanpa perlu menoleh kepada perkembangan tidak perlu yang sengaja diada-adakan.

Sebab itu Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri mesti dipelihara, dihormati dan diguna pakai intipatinya sebaik-baik mungkin.

Ini kerana jawapan kepada kemelut politik yang boleh sahaja mencetuskan suasana tidak selesa di kalangan rakyat itu terbentang di dalam undang-undang tersebut.

Jangan biar 13 Mei berulang

Oleh WAN NORAZAH WAN CHIK
rencana@utusan.com.my


TRAGEDI 13 Mei genap 40 tahun hari ini. Walaupun ada sesetengah pihak menanggap peristiwa hitam itu hanya sebuah kes terpencil – berlaku di Kuala Lumpur – dan bukannya bersifat ‘nasional’, tapi kesannya sangat pahit untuk ditelan. Peristiwa itu masih berbekas sehingga kini.

Ramai yang gerun bila mengungkapkan Tragedi 13 Mei itu. Lebih-lebih lagi di kalangan penduduk yang sudah di peringkat remaja dan dewasa ketika tragedi itu tersebut.

Ada ketikanya ia seolah-olah menjadi tabu. Ramai yang enggan membicarakan isu tersebut. Ia dianggap sebagai tragedi yang memberi titik hitam kepada sejarah pembinaan negara bangsa Malaysia.

Walau apa sahaja hujah untuk menidakkan kepentingan 13 Mei 1969 daripada lipatan sejarah negara, tidak dapat tidak, perlu diakui bahawa pengajaran daripadanya masih relevan sehingga kini.

Punca dan kesan Tragedi 13 Mei kepada negara perlu difahami. Ia tidak boleh dilihat sebagai satu bentuk kegagalan pentadbiran ketika itu mempertahankan perpaduan rakyat semata-mata.

Terlalu banyak iktibar yang boleh dikutip daripada peristiwa itu. Pengajaran paling penting ialah “jangan biar ia berulang”.

Tragedi itu tidak boleh disembunyikan. Rakyat perlu tahu mengenainya dan difahamkan bahawa kesan yang amat buruk akan berlaku apabila perpaduan menjadi goyah dan runtuh.

Tanpa mengetahui dan memahami, tiada apa yang boleh dikutip untuk dijadikan teladan atau sempadan.

Pakar sejarah, Datuk Dr. Ramlah Adam ketika diminta mengulas mengenainya berkata, Tragedi 13 Mei itu sangat relevan dijadikan panduan serta iktibar berdasarkan situasi semasa.

Kata beliau, Tragedi 13 Mei tidak seharusnya disekat untuk dibicarakan. Rakyat, khususnya generasi muda perlu diberi pemahaman mengenai punca dan natijah peristiwa tersebut.
Bank patut bantu usahawan keluar daripada kemelut ekonomi

INSTITUSI perbankan negara ini ditegur lagi. Beberapa bulan lalu, bank ditegur kerana liat untuk memberikan pinjaman.

Tetapi kali ini, isunya bank menarik balik kemudahan pinjaman kepada komuniti peniaga yang berdaya maju tanpa memberikan sebarang alasan kukuh.

Jika begini sikap dan pendekatan yang diamalkan oleh institusi perbankan, maka memang wajar Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan membuat teguran.

Sungguhpun negara kita sedang menghadapi cabaran ekonomi berikutan krisis kewangan global, tidak semestinya aktiviti pertumbuhan ekonomi juga perlu diperlahankan.

Untuk menangani masalah ekonomi yang perlahan, sektor swasta mempunyai peranan untuk merancakkan kembali pertumbuhan.

Namun, pergerakan jentera ekonomi itu perlu juga mendapat sokongan institusi perbankan melalui penyaluran bantuan modal.

Adalah cukup menghairankan apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan institusi perbankan tempatan tidak berdepan dengan sebarang risiko. Tetapi kenapa sukar sangat hendak memberikan kemudahan kredit kepada para usahawan.

Malah sektor perbankan negara dinyatakan masih mencatatkan imbangan kira-kira yang teguh dengan nisbah modal berwajaran risiko 13.4 peratus pada akhir Mac lalu dengan mempunyai jumlah penampan kerugian sebanyak RM44.6 bilion serta nisbah hutang tidak berbayar 2.2 peratus.

Persoalannya, apakah strategi bank-bank yang seolah-olah tidak mahu membantu menyediakan kredit kepada sektor swasta.

Kita percaya pengurusan bank tiada niat untuk menggagalkan dasar-dasar kerajaan dan projek-projek swasta untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat tempatan.

Barangkali bank tempatan mengambil pendekatan terlalu berhati-hati. Tetapi langkah itu akan menyusahkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mendapatkan pembiayaan untuk meneruskan survival perniagaan masing-masing.

Dalam waktu-waktu yang mencabar sekarang, peniaga menghadapi tekanan akibat aktiviti ekonomi yang lembap.

Perjalanan ekonomi yang tidak lancar semestinya menyebabkan sumber pendapatan para peniaga terjejas. Apabila itu terjadi, akan timbul kesulitan di pihak para peniaga untuk melunaskan pinjaman bank.

Kita sedar institusi perbankan amat berpegang kepada prosedur serta syarat-syarat yang mereka cipta sendiri, kemudahan pinjaman kepada peniaga yang gagal membuat pembayaran akan ditarik balik.

Dalam tempoh ini jugalah ada peniaga yang diisytiharkan muflis, menambahkan lagi tekanan dalam gelombang ekonomi negara.

Sebab itu dalam hal ini semua bank mesti bersikap rasional.

Oleh itu, kita menyeru pihak bank supaya berhemah dengan tidak mengambil tindakan keterlaluan terutama berkaitan dengan kepentingan peniaga kita.

Dalam situasi sekarang, institusi perbankan diharap tidak terus menyusahkan kerajaan dan peniaga. Bank patut membantu membawa keluar usahawan daripada kemelut ekonomi dengan mempermudahkan syarat pinjaman.
BISIK-BISIK

SEJURUS selepas Mahkamah Tinggi memutuskan Mohammad Nizar Jamaluddin Menteri Besar Perak yang sah kelmarin, Najib Tun Razak telah meminta semua pihak bertenang dan jangan terlalu ghairah atau gusar.

Wajarlah peringatan Perdana Menteri itu kerana tidak sampai 24 jam kuasa Menteri Besar diperoleh semula oleh Mohammad Nizar, beliau telah mengambil beberapa tindakan drastik. Ia termasuklah menggantung jawatan Penasihat Undang-Undang Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Bagi Awang, rakyat Perak khususnya tidak wajar dibiar terus berada dalam kekeliruan dan serba salah. Justeru keputusan mahkamah itu perlu dilihat dalam perspektif yang betul.

Tanda tanya terus menyelubungi pemikiran rakyat Perak kerana selepas semua tindakan itu, Mohammad Nizar pula perlu keluar pejabatnya ekoran Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Dr. Zambry Abd. Kadir bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Mohammad Nizar.

Memahami proses mahkamah dan menerima apa juga keputusan dengan tenang dan positif adalah antara ramuan untuk mengelakkan rakyat terus keliru. Jalan terbaik perlu dicari.


Awang – Faham.
Rawat pesakit dengan sentuhan profesional

Oleh RUSINAH SIRON

Jururawat lelaki dan wanita berikrar pada Majlis Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2009 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.


HARI Jururawat Antarabangsa yang diraikan pada setiap 12 Mei telah disambut semalam. Profesion jururawat adalah mulia dan perlu disanjung tinggi oleh setiap lapisan masyarakat. Jadi setiap masyarakat harus memberi penghormatan kepada jururawat supaya mereka terus berkhidmat dengan beretika dan prihatin terhadap pesakit-pesakit.

Peranan jururawat terkandung dalam perkataan JURURAWAT itu sendiri yang mempunyai makna dan maksud yang tersirat dan tersurat bagi menjelaskan peranan dan tugas seorang jururawat.

J - Jari Jemari

Jari jemari jururawat yang lembut melayan pesakit merupakan satu rangsangan ke arah penyembuhan pesakit dengan lebih cepat. Sentuhan jari jemari jururawat yang lemah lembut sangat penting bagi memberikan perkhidmatan yang baik kepada pesakit.

Jari jemari jururawatlah yang menyuapkan ubat ke mulut pesakit yang kritikal, membetulkan alatan pesakit, menyelimutkan pesakit dan pelbagai lagi rawatan dan perhatian jururawat kepada pesakitnya.

U - Usaha

Jururawat perlulah sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya. Jururawat adalah pembantu setia kepada doktor. Jururawat perlu berusaha membantu doktor dan pesakit dengan semangat dan usaha yang jitu tanpa rungutan dan bantahan terhadap pekerjaan yang diamanahkan kepadanya.

Usaha murni jururawat membantu pesakit sangat dipandang tinggi oleh pesakit khususnya dan masyarakat amnya.

R - Rawat

Tugas utama jururawat adalah merawat pesakit yang telah didiagnosa sakitnya oleh para doktor. Tugas merawat meliputi pelbagai kaedah rawatan. Ada jururawat yang kreatif dengan bercerita dan memotivasi pesakit dengan kata-kata yang manis dan merdu didengar oleh telinga pesakit agar pesakit cepat sembuh.

Ada yang merawat dengan pelbagai kaedah perubatan yang dicadangkan oleh doktor. Pesakit lumpuh akan sentiasa didorong untuk berjalan dan dilatih dengan baik agar dia mampu bergerak sedikit dan diberi harapan.

U - Umpama Lilin

Masih ingatkah kita kepada nama besar dalam dunia kejururawatan iaitu Florence Nightingale yang sepanjang hayatnya merawat dan membantu pesakit. Pada waktu malam Nightingale melawat setiap katil pesakit dengan menggunakan lilin di wad pesakit yang serba kekurangan.

Layanan Nightingale yang penuh keikhlasan dan kemurnian hati itu menjadi simbol bahawa dunia kejururawatan adalah profesion yang penuh dengan nilai murni bagi membantu pesakit untuk pulih dan membina kehidupan baru.

R - Respons

Seorang jururawat itu perlulah sentiasa memberi respons kepada masalah dan pertanyaan pesakit yang dikemukakan kepadanya. Respons yang diberikan oleh jururawat kepada pesakitnya perlu mempunyai hemah dan etikanya agar pesakit tidak terkejut atau terkedu dengan jawapan yang diberikan oleh jururawat.

Contohnya jika pesakit yang mempunyai penyakit kritikal bertanya kepada jururawat, "Puan, macam mana dengan sakit saya, ada peluangkah atau tidak untuk sembuh", jururawat yang kasar akan menjawab dengan kasar "sakit macam awak ni memang tak ada peluang nak hidup lama".

Tetapi jururawat yang kaya dengan hemah dan budi bahasa akan menjawab dengan lembut, "Insya-Allah, setiap sakit ada ubatnya, bersabarlah, kami akan menjaga encik dengan baik". Begitulah yang dikatakan respons yang baik yang perlu jururawat berikan kepada pesakit.

A - Amalan

Seorang jururawat perlu memberi perhatian kepada amalan sebagai jururawat yang baik seperti berbudi bahasa dan berlembut dalam tingkah laku dengan pesakit, mempunyai keperibadian yang baik dari segi penampilan dan imej. Bermanis muka dan kaya dengan senyuman kepada pesakit. Datang tepat pada masa, mempunyai integriti yang tinggi terhadap kerahsiaan dan rekod pesakit.

Seorang jururawat perlu sentiasa memberi perhatian kepada pesakitnya dan tidak sesekali menyakiti dan bersikap sombong kepada pesakit. Seorang jururawat perlu mempunyai etika, profesionalisme, cekap dan amanah.

W - Wibawa

Seorang jururawat yang berwibawa sangat diperlukan dan diyakini oleh doktor dan pesakit. Jururawat yang berwibawa tahu dengan benar dan tepat tugasan yang perlu dijalankan tanpa perlu banyak merujuk dan diajar oleh doktor. Adalah amat memalukan jika jururawat itu pula diajar tentang tugas dan peranannya oleh pesakit.

Jururawat yang berwibawa perlu mempunyai sikap ingin belajar dan memperbaiki tugas yang dijalankannya. Jururawat yang berwibawa juga akan sentiasa memberi komitmen, kreativiti dan keikhlasan dalam melaksanakan tugas-tugasnya sebagai jururawat.

A - Aspirasi

Bukan semua orang boleh menjadi jururawat kerana tugas itu bukan mudah. Dia bukan sahaja merawat pesakit tetapi juga membawa bersama nilai dan aspirasi organisasi tempat ia bekerja. Aspirasi hospital dan klinik-klinik di mana jururawat bertugas perlu dipraktikkan bagi merealisasikan aspirasi tersebut dengan jayanya.

T - Teras

Teras kepada tugas jururawat adalah integriti dalam menjalankan tugas. Pesakit sebagai pelanggannya adalah fokus utama dalam menjalankan tugas dengan penuh integriti. Teras kejayaan kepada tugas kejururawatan adalah tekun dalam menjalankan tugas, tepat masa dalam kedatangan dan merawat pesakit, tahan cabaran dalam menjalankan tugas serta menjaga kerahsiaan dokumen dan rekod pesakit mengikut kehendak dan keperluan organisasi.

Para jururawat perlu memahami dengan jelas tugas dan peranan sebagai jururawat agar tidak terdapat rungutan dan komplen daripada masyarakat bahawa jururawat tidak menjalankan peranannya dengan baik dan berkesan.

Kepada semua jururawat, Selamat Hari Jururawat dan rawatlah pesakit dengan sentuhan emosi dan fizikal yang profesional.

Prof. Madya Dr. Rusinah Siron

Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan, UNITEN

Ubah persepsi ubat perlu diisi dalam plastik

Oleh DR. IRFAN MOHAMAD


MENJADI suatu lumrah apabila kita berkunjung ke farmasi sesebuah hospital mahupun klinik untuk mendapatkan beg plastik bagi tujuan mengisi ubat-ubatan yang dipreskripsikan oleh doktor.

Senario ini amat mudah dibayangkan bagi pesakit yang menggunakan kombinasi pelbagai jenis ubat-ubatan, terutama bagi penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan buah pinggang.

Mungkin akan menjadi suatu kekecohan apabila seseorang pesakit itu tidak diberikan beg plastik apabila mereka mengambil ubat di kaunter farmasi.

Malah ada pesakit yang merungut dan marah kepada petugas di kaunter sekiranya tiada beg plastik yang diberikan untuk mengisi ubat-ubatan yang diperoleh.

Menunggu untuk diberikan plastik secara automatik ini sememangnya diakui menjadi persepsi masyarakat selama ini dan paradigma ini sewajarnya dan sememangnya boleh diubah.

Dalam usaha pelbagai pihak untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar, penggunaan beg plastik secara berlebihan adalah suatu yang dianggap serius. Ini kerana beg plastik itu sendiri adalah ancaman yang besar dalam perang manusia menyelamatkan alam sekitar daripada bahan pencemar.

Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk mengurangkan penggunaan plastik dalam kapasiti semampu yang boleh. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa dalam kes-kes tertentu beg plastik ini diperlukan namun ada masanya ia boleh dielakkan.

Bukannya sukar untuk membawa beg kecil yang lebih cantik dan kekal lama untuk mengisikan ubat-ubatan yang diperoleh dari hospital.

Pengurangan penggunaan beg plastik ini bukan sahaja boleh membuktikan kesungguhan kita dalam usaha-usaha membaik pulih alam sekitar bahkan ia juga merupakan suatu langkah penjimatan.

Manakan tidak, beribu-ribu pesakit yang mengambil ubat setiap hari, jika kos penggunaan beg plastik dapat dinyahkan, maka betapa banyaknya jumlah wang yang dapat diselamatkan dan digunakan dalam hal yang lebih berfaedah terutamanya dalam memantapkan perkhidmatan sektor kesihatan.

Semua orang tahu akan kesan dan akibat penggunaan beg plastik secara berleluasa. Walaupun memperolehnya secara percuma, menggunakannya secara sementara dan membuangnya amatlah mudah dengan pelbagai cara, namun tangisan bumi yang sengsara dan alam yang menderita amat jauh untuk didengari dan dihayati oleh pancaindera kita.

Mengurangakn penggunaan beg plastik bukan sahaja dapat membantu melestarikan alam sekitar untuk kehidupan generasi hari esok, bahkan ia merupakan suatu bentuk penjimatan.

Selepas melancarkan "Kempen Keranda Putih" yang merujuk kepada penghapusan penggunaan bekas makanan polisterin di dalam kampus, Universiti Sains Malaysia juga telah mengambil inisiatif untuk mengurangkan penggunaan beg-beg plastik di kafeteria pelajar, berkuat kuasa 1 Ogos 2008.

Kempen seumpama ini wajar menjadi contoh kepada agensi-agensi kerajaan mahu pun agensi swasta bagi sama-sama membuktikan bahawa tema Hari Alam Sekitar tahun lepas iaitu "Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama" bukan hanya suatu retorik, bahkan suatu misi sejagat yang memerlukan penglibatan semua.

Mengambil pendekatan yang sama, Hospital Universiti Sains Malaysia turut mengimplimen kempen mengurangkan penggunaan plastik dalam perkhidmatan yang disediakan.

Kempen pengurangan penggunaan plastik di kaunter-kaunter farmasi hospital kerajaan yang lain juga seharusnya digerakkan secara yang lebih agresif dan intensif terutama dalam aspek menyedarkan orang ramai terutamanya pengguna perkhidmatan bahawa kita sebenarnya tidak memerlukan plastik untuk mengisi ubat dari hospital.

Kerjasama secara kolektif amatlah penting dalam menjayakan misi menyelamatkan alam daripada terus musnah akibat perbuatan tangan-tangan manusia ini.

Sewajarnya, jika kita benar-benar ikhlas dan proaktif untuk menjayakan konsep kelestarian alam sekitar, kita bukan sahaja mengelakkan diri dari meminta beg plastik bahkan mudah bertindak untuk menolaknya jika diberikan sekalipun.

PENULIS ialah Exco Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia
Banyak sektor halal perlu diterokai

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
bisnes@utusan.com.my


PELUANG perniagaan di dalam industri halal sememangnya berpotensi untuk berkembang di mana ia merupakan satu sektor pertumbuhan baru untuk masa depan.

Dengan anggaran pengguna Islam di dunia kira-kira 1.6 bilion, nilai pasaran global tahunan untuk makanan halal dan produk bukan berasaskan makanan dianggarkan sekitar AS$.1 trilion (RM7.35 trilion).

Bagaimanapun pasaran halal global dijangka naik berikutan peningkatan populasi Muslim di dunia yang meningkat 2.5 peratus setahun dan mampu mencecah 3 bilion populasi Muslim menjelang tahun 2010.

Malah pasaran halal bukan sahaja tertumpu di negara-negara Islam sahaja kerana pasaran negara bukan Islam juga dilihat berpotensi seperti Amerika Syarikat, Eropah, Australia, Rusia dan China.

Namun sebagai pengguna, perlu diingat bahawa pasaran halal bukan hak eksklusif untuk negara-negara Muslim atau syarikat milik orang Islam.

Ini kerana apa yang disijilkan halal ialah produk atau proses serta perkhidmatan yang dipasarkan dan bukannya pemilikan.

Bagi menerangkan secara jelas tentang perkara itu, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2009 keenam yang telah berlangsung dari 6 hingga 10 Mei lalu telah membuktikan bahawa perkembangan industri halal amat berkembang maju.

Bukan setakat negara-negara Islam yang menyertai pameran itu, turut serta negara bukan Islam seperti Australia, Singapura, China, Kanada dan Thailand.

Para usahawan dari negara-negara tersebut amat agresif untuk memecah dominasi negara-negara Islam di dalam industri makanan halal dunia kerana percaya potensi yang dimiliki dalam industri tersebut amat besar dan lumayan.

Pameran selama lima hari itu berjaya menarik lebih 500 pembeli antarabangsa dari 48 negara menyertai program pertemuan perniagaan anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan pameran itu turut mengakui bahawa industri halal mempunyai potensi yang besar dan sangat menarik untuk diteroka.

Katanya, peningkatan pengaruh Islam di seluruh dunia dan kesedaran mengenai halal telah mewujudkan satu permintaan tinggi bagi produk dan perkhidmatan halal.

Mengenai industri halal, Najib berkata peluang perniagaan tidak terhad kepada sektor makanan dan bukan makanan malah turut meliputi sektor perkhidmatan seperti kewangan dan perbankan, insurans, pendidikan dan latihan, penyelidikan pensijilan, perundingan logistik, penjagaan kesihatan serta pengembaraan dan lawatan.

Selain itu Perdana Menteri turut menggesa agar satu ikatan strategik diwujudkan dengan pengeluar jenama halal antarabangsa sebagai strategi untuk meluaskan pasaran di dalam industri tersebut.

Salah satu strategi yang dicadangkan beliau untuk menjadi sebuah jenama halal terkemuka ialah melalui penyertaan ekuiti atau pengambilalihan jenama besar dan terkenal yang pastinya akan mempercepatkan lagi kemasukan ke dalam pasaran global.

Namun cadangan itu mungkin mengambil sedikit masa untuk direalisasikan tetapi dengan menjadikan Malaysia sebagai hab halal untuk menembusi pasaran dunia, komitmen dan kesungguhan amat ditagih oleh syarikat-syarikat sedia ada untuk mendominasi pasaran halal dunia.
ISU-ISU AKHBAR CINA

Kes 2 Menteri Besar Perak
HAMPIR semua akhbar Cina pada 12 Mei 2009 menyiarkan tajuk utama mengenai kemelut politik negeri Perak yang berterusan, dan akhbar Oriental Daily News mengemukakan tajuknya: “Kes 2 Menteri Besar Negeri Perak’ melaporkan perkembangan kes Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar kedudukan Datuk Seri Zambry Abd. Kadir mengenai kedudukan Menteri Besar Perak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei 2009 memutuskan Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Berita akhbar Sin Chew Daily pula bertajuk ‘Nizar Menteri Besar yang Sah’ melaporkan tiga tindakan susulan ekoran keputusan mahkamah itu. Pertamanya, Nizar akan sembah menghadap Sultan Perak; keduanya, dia bersama DUN Perak dari Pakatan Rakyat akan bertugas di pejabat semula, dan yang ketiga, Datuk Seri Mohamad Najib menjelaskan Barisan Nasional akan membuat rayuan ke mahkamah.

Akhbar ini juga melaporkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dilarang oleh mahkamah daripada menjalankan tugas dan kaki tangan pejabat Menteri Besar Perak sekarang terpaksa mengemaskan dokumennya.

Berita mengenai keputusan mahkamah ini turut tersiar dalam akhbar China Press secara terperinci, malahan melaporkan penjelasan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz dengan tajuk: “Barisan Nasional kena beri undi tidak percaya,” iaitu kalau mahu jatuhkan Menteri Besar Perak, BN perlu mengadakan sidang DUN khas dan mengemukakan cadangan untuk memberi undi tidak percaya terhadap Nizar.

Jika dilihat dari segi kronologi kes ini yang mula pada 13 Februari 2009, kes ini pernah ditolak pada 6 Mac 2009, namun dibicarakan juga oleh Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun keputusan kes ini masih boleh dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Harapan transformasi asyik terhalang

Oriental Daily News 12 Mei 2009 mengupas mengenai selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa menyampai mesejnya, memberitahu kepada semua orang, beliau seorang pemimpin yang sedia melakukan perubahan demi negara.

Maka dengan slogan ‘Satu Malaysia’, pelbagai polisi kerajaan yang terbuka dilaksanakan, termasuk membebaskan tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), membatalkan larangan terhadap akhbar dan melonggarkan hak saham Bumiputera. Rakyat kita memang boleh melihat dengan mata sendiri semua usaha ini.

Bagaimanapun, kekecohan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei 2009 menunjukkan kalau krisis politik-perlembagaan ini tidak dapat ditangani dengan baik, imej diri yang cuba dibina dengan susah payah, mungkin musnah begitu sahaja.

BN dapat menarik beberapa orang ADUN Perak hingga berjaya memegang kuasa pemerintah negeri, adakah tindakan ini suatu kesilapan? Apa-apa sekali pun, perkara yang tak dapat dinafikan ialah kemelut politik negeri Perak tidak mungkin selesai dengan mampu memuaskan hati semua pihak.

Sebaliknya semakin lama semakin parah sehingga BN terpaksa menghabiskan lebih banyak modal politik.

Untuk mempertahankan kuasa kerajaan negeri ini, BN melakukan satu kesalahan besar. Walaupun kewangan BN sangat kukuh, apakah ia terus-menerus membiarkannya terbuang begitu sahaja? Sehingga semakin parah, sukar mahu diselamatkan lagi?

Kuasa pemerintahan negeri Perak memang sayang nak dilepaskan, tapi pengorbanan yang tinggi terpaksa dicurahkan.

Apatah lagi, pihak lawan juga terlalu banyak menghabiskan duit kita.

BN menanggung begitu berat beban tapi masih tak mahu melepaskannya, akhirnya mungkinkah ia menjadi gejala buruk yang akan mengancam Kerajaan Pusat? Sesal dahulu yang bertuah, jangan sesal kemudian.

Kelolaan HAFIZAH MOHD. YUSOF
Berikan peluang rakyat Perak buat penilaian sendiri

PEPATAH yang menyebut bahawa "gajah sama gajah berjuang, kancil mati di tengah-tengah" adalah analogi yang paling tepat kepada rakyat negeri Perak sekarang.

Kemelut politik negeri yang diterajui oleh seorang Raja yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara ini memang benar-benar diuji dengan pertarungan politik dan juga perundangan.

Teori Si Kitul sebenarnya sedang berlaku. Pada mereka yang tidak memahaminya, belajarlah membuka buku sejarah Melayu.

Belajarlah mengenali bangsa sendiri, cuba hantar anak-anak belajar di dalam negeri bagi memahami jati diri dan bangsa. Bukan setakat bercakap seperti burung Tiong, yang ia sendiri tidak memahami erti ucapan yang dikeluarkan.

Apabila Si Kitul sudah berjaya mempengaruhi Si Mandaliar, maka melompatlah para pengikutnya mengikut paluan rebana benua asing berkenaan. Lingkuplah empayar Melayu Melaka. Pemerintah yang zalim, pembesar yang leka, khayal, dengki khianat dan sebagainya sudah terbukti merobohkan ketamadunan yang sudah dibina ratusan tahun lamanya.

Begitulah yang berlaku dewasa ini. Ibarat sarang tebuan yang sudah besar, ia tidak mudah dibendung malah amat sukar untuk dimusnahkan. Sekiranya silap dijolok maka padah menimpa kepala sendiri. Tidak akan cukup tanah untuk kita berlari, malah terjun ke sungai belum tentu tidak lemas dan mati.

Pepatah Melayu ada menyebut "menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak." Fahami baik-baik pepatah berkenaan sekiranya anda berjiwa Melayu.

Mudah sungguh untuk merungkai, tidak susah untuk menyelesai. Rupanya di sebalik kemelut, banyak yang boleh diambil iktibar.

Pada waktu ini, masih belum nampak jalan penyelesaian di negeri Yop Kejor. Orang sedang 'amuk' jika dilayan anginnya maka sudah tentu kita juga akan terpalit dengan amarahnya.

Yang paling naya dan sukar tentulah rakyat biasa golongan marhaen. Usahkan nak senang, cari makan pun semakin susah. Paling buruk, semua kemarahan itu diterjemah malah dilampiaskan kepada parti pemerintah yang pada pandangan mereka suka kacau daun. Dengan perkataan lain, pemerintah perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak diingini lagi di negeri-negeri berkenaan.

Kewujudan mereka dan segala usaha untuk merampas kembali dalam masa terdekat bukan sekadar menerima tentangan sengit tapi bakal menggali kubur Barisan Nasional (BN) sendiri.

Jalan paling mudah, selamat dan tersembunyi 1,001 macam kebaikan di dalamnya adalah dengan memberikan peluang dan masa untuk rakyat membuat penilaian sendiri.

Tidak perlu paksaan, sogokan, dakyah berterusan, kempen memburuk-buruk malahan teruskan sahaja agenda memperbaiki diri sendiri dan usaha memulihkan keyakinan massa terhadap kemampuan BN sebagai parti ulung bagi memberikan kesejahteraan kepada rakyat negara ini.

Jadikanlah negeri Perak sebagai kayu pengukur prestasi khidmat pemerintah. Apa yang disebut sebagai KPI 'jargon' pentadbiran yang sering bermain di lidah para pentadbir negara bukan setakat kata-kata kosong tanpa justifikasi.

Buktikan ketelusan, keprihatinan dan usaha yang berterusan serta bersungguh-sungguh dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada 'pelanggan setia.'

Diamnya majoriti utama tunggak Malaysia tidak semestinya mereka tidak memahami kepentingan diri, bangsa dan agama. Jangan fikir hanya kita yang tahu erti ketuanan Melayu, keistimewaan-keistimewaan yang kita sendiri pernah tarik dan injak-injak satu waktu dahulu.

Pernahkah ada sesiapa di antara kita menyoal betapa pedihnya apabila itu semua turut diragut begitu sahaja.

Jangan tanya apa yang rakyat mahu, tanya diri sendiri apakah kita benar-benar sudah memahami kehendak mereka. Jangan lagi beralasan menunggu isyarat dari rakyat kerana mereka sudah pun meletakkan rumah api di lima buah negeri.

Awas kepala anda, jalan kena tunduk melihat rumput di bumi, takut kepala benjol atau pecah terantuk alang di rumah sendiri.

DR. AHMAD ZAKI ISMAIL

Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia
Media tradisional lawan media baru: Siapa kalah?

Oleh ZAINI HASSAN
zaini.hassan@utusan.com.my


APA itu media, ramai yang tahu pengertiannya secara umum. Kecuali orang media sendiri, rata-rata umum tidak tahu media secara sebenar dan kuasa yang ada padanya. Tidak ramai yang tahu magnitud kekuasaan yang ada pada media. Tidak ramai juga yang tahu akhbar dan media juga dikenali sebagai fourth estate (estet keempat) iaitu hirarki keempat dalam sistem kuasa sesebuah negara.

Penulis satira Scotland era Victoria, Thomas Carlyle (1795-1881) ialah orang pertama yang mula merujuk istilah fourth estate sebagai pewarta, pemberita, wartawan dan orang media. Carlyle dalam bukunya On Heroes and Hero Warship mencatat: ‘‘Ahli politik British Edmond Burke berkata, terdapat Tiga Estet dalam Parlimen ini, tapi nun di sana di tempat duduk pemberita itu ialah Fourth Estate - kumpulan lebih penting, jauh lebih penting daripada kalian semua.”

Fourth Estate atau media diletakkan dalam satu estet yang tersendiri. Hari ini estet keempat itu berada dalam doktrin kekuasaan bersama-sama, estet pertama, eksekutif (perdana menteri dan menteri-menteri); estet kedua, legislatif (Dewan Rakyat, Dewan Negara dan DUN); dan estet ketiga, judisial (badan kehakiman).

Jika yang ketiga di atas mempunyai kuasanya yang tersendiri, maka media juga mempunyai kuasa, yang jika apa-apa kuasa sekali pun disalah guna maka sesuatu yang buruk boleh berlaku. Media di Malaysia pada masa ini nampaknya sudah terbahagi kepada dua yang besar. Satu ialah media yang anda saksikan di depan mata serta lazim atau konvensional dan satu lagi ialah media yang tidak lazim depan mata, tapi berlegar aktif di alam maya.

Alam maya yang dicipta atas ramalan teoris Komunikasi Massa, Herbert Marshall McLuhan 45 tahun lalu yang meramalkan akan wujudnya apa yang difahaminya sebagai ‘otak elektronik’ atau yang disebut komputer - telah memberi satu dimensi baru kepada media di Malaysia. McLuhan juga menyebut media sebagai kampung global. Jika dia masih hidup, dia akan berkata, ia adalah satu evolusi yang berjaya dan mengkagumkan. Berbeza dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, dia acap kali menyebutnya sebagai satu kebimbangan yang mencabar apabila merujuk kepada globalisasi. Beliau betul, McLuhan pun betul.

Kuasa estet keempat di Malaysia sebenarnya sedang diuji. Media konvensional Malaysia sedang bertarung dengan media baru yang penggeraknya lebih licik, agresif, cerdik, pintar dan berkesan.

Parti politik Malaysia yang tidak mempunyai stesen televisyen kini beroperasi di alam maya menggunakan enjin yang tersedia ada. Ia beroperasi melalui tapak video percuma, YouTube atau Metacafe atau tapak-tapak yang lain. Klip video mengenai apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Perak semalam dan kelmarin boleh disaksikan selari dengan Buletin Utama di TV3 atau Warta Perdana di RTM pada jam 8 malam. Siaran itu juga bukannya bisu, tapi dengan ulasan yang panas dan pedas.

Penonton - yang rata-rata (siapa ye?) melihatnya dengan penuh asyik. Mereka ini terdiri daripada eksekutif-eksekutif muda yang masih hang-up di pejabat-pejabat masing-masing sebelum pulang ke rumah, atau pun berada dalam zon Wi-Fi masing-masing. Mereka tertarik melihat sesuatu yang luar biasa. Bukan sesuatu yang menghairankan jika kumpulan ini akan menyambar notebook mereka dengan teruja apabila tercetus sesuatu ‘drama’ seperti di Perak semalam dan kelmarin bagi mendapatkan analisis dan klip video terkini. Oleh itu, tidak hairanlah, perangkaan orang yang melihat tapak-tapak sesawang ini (view) menjangkaui puluhan hingga ratusan ribu penonton.

Kumpulan yang memuat naik (upload) video-video ini ke tapak-tapak maya itu begitu agresif, dedikasi dan sistematik. Yang pasti mereka ini bekerja untuk organisasi-organisasi NGO atau parti-parti politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan - yang tidak mempunyai saluran tapak yang sah untuk beroperasi. Yang pasti juga ulasan-ulasan mereka tidak mengambil kira soal etika atau keluhuran perlembagaan seperti yang ‘terpaksa’ diikuti media konvensional.

Kuasa estet keempat mereka ini semakin kuat. Magnitud media baru ini bukan omongan, ia adalah benar (real). Media konvensional – seperti akhbar semakin merudum dan muram. Media baru ini akan mengambil alih media kertas ini sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang.

Jika McLuhan masih ada, dia akan meramalkan 10 tahun akan datang satu medium lain yang lebih canggih akan wujud. Ia lebih berkuasa dan tidak siapa tahu mungkin kedudukan strata kuasa media pada masa itu bukan lagi estet keempat lagi tapi akan naik tarafnya (?).

Yang pasti media konvensional sekarang kalah kepada kekuasaan media baru ini. Jika bukan kalah sekarang, masanya sudah terlalu dekat untuk kalah - kecualilah sesuatu yang drastik dilakukan untuk berubah.
Umno perlu berani buat perubahan, menerajui pembaharuan




"Kalau kita berada di keluk pembaharuan, kalau selama ini kita adalah
parti yang menerajui perubahan, mengapa tidak kita sekali lagi muncul
sebagai parti yang berani membuat perubahan kepada parti dan negara
Malaysia yang tercinta ini? - Najib Razak, Presiden Umno.



Parti wajar sentiasa berada di saf hadapan untuk menunjukkan hala tuju baru negara

ALHAMDULILLAH, dengan izin Allah SWT, maka dapatlah kita berhimpun di Dewan Merdeka ini untuk meraikan tarikh kelahiran parti keramat kita, Umno, pada hari ini, 11 Mei. Dengan sambutan ini, maka genaplah usia Umno lebih enam dasawarsa atau lebih tepat, usia Umno mencecah 63 tahun.

Enam puluh tiga tahun, hari ini menandakan sudah lebih enam dekad Umno lahir sebagai wadah politik rumpun Melayu, bagi memartabatkan bangsa, agama dan negara. Dalam tempoh 63 tahun, satu perjalanan yang menjangkau masa yang begitu lama, jasa Umno, budi Umno kepada bangsa, agama dan negara tidak ternilai selamanya.

Umno memulakan detik yang amat bersejarah, membuka tirai kepada wujudnya suatu bangsa yang boleh digelar sebagai bangsa yang merdeka, sebagai sebuah bangsa yang berdaulat apabila kita adalah saf barisan hadapan bersama-sama kepada rakyat kita, bersama-sama MCA dan MIC ketika itu – berjuang menentang Malayan Union.

Kemudian sama-sama kita melihat peristiwa bendera Union Jack diturunkan dan bendera kita yang berdaulat dinaikkan dengan rasa penuh megah dan bangga. Kita juga berhimpun pada hari ini untuk mengimbau kembali perjalanan kita, perjalanan selama 63 tahun yang membawa kepada begitu banyak perubahan besar kepada negara kita.

Daripada bangsa yang terhina menjadi bangsa yang bermaruah; daripada negara yang tidak dikenali kepada sebuah negara yang menjadi contoh kepada negara sedang membangun; daripada rakyat yang miskin dan serba kekurangan kepada rakyat yang hari ini, kebanyakannya sudah pun melepasi garis kemiskinan, malah lahir golongan intelek, profesional, cendekiawan.

Ini hasil perjuangan dan dasar yang dilakukan Umno selama ini. Tidak ada suatu pun perubahan, sama ada perubahan besar atau kecil, jika tidak kerana hasil perjuangan Umno.

Namun kita bukan sebuah parti yang hanya akan bersandar kepada nostalgia. Dengan hanya melihat ke belakang mengenai betapa besarnya nilai kita, betapa besarnya kejayaan kita. Tetapi hakikatnya, kita tidak akan terus kekal berkuasa selagi kita tidak dapat merasai denyutan nadi rakyat dan aspirasi rakyat.

Kita mesti menjadi parti yang sanggup berubah. Kalau kita berada di keluk pembaharuan, kalau selama ini kita adalah parti yang menerajui perubahan, mengapa tidak kita sekali lagi muncul sebagai parti yang berani membuat perubahan kepada parti dan negara Malaysia yang tercinta ini?

Saya yakin, dengan pengalaman kita walaupun berada di lingkaran yang kecil, tapi kita sanggup belajar daripada pengalaman, waima getir dan pahit sekalipun akan kita jadikan itu sebagai ingatan dan kita sanggup melakukan perubahan yang besar. Maka insya-Allah, kita boleh bangkit dan bangun untuk menjadi parti yang lebih kuat, lebih subur dan lebih berjaya lagi.

Saya mengajukan perubahan kerana mana-mana parti yang tidak berani membuat perubahan, walaupun parti itu begitu banyak jasanya, namun akhirnya jasa itu akan tinggal dalam lipatan sejarah.

Mengapa perkara ini berlaku? Bukan kerana rakyat tidak menilai jasa dan budi, tetapi rakyat ingin melihat ke hadapan, rakyat ingin tahu apa yang hendak kita lakukan untuk mereka dan negara, dan lebih-lebih lagi generasi pasca merdeka, generasi pasca hitam 13 Mei, generasi pasca krisis kewangan Asia, yang akan menjadi pengundi, malah ada yang menjadi pengundi dan ramai lagi akan menjadi pengundi menjelang pilihan raya akan datang.

Mereka baca jasa Umno, tapi mereka tidak boleh menghayati jasa kita itu. Mereka buka buku sejarah, tapi mereka tidak berdiri bersama waktu bendera Union Jack diturunkan. Mereka baca buku mengenai proses pengisian kemerdekaan tapi mereka tidak bersama-sama berjalan meniti bendang untuk mengisi kemerdekaan.

Mereka hasil kejayaan kita dan mereka membuka serta membawa minda yang terbuka. Mereka berfikir lebih kritis kerana minda mereka telah pun terbuka melalui dasar pelajaran kita selama ini.

Oleh itu, Umno tidak ada pilihan. Kalau Umno ingin jadi parti yang relevan, parti yang menjadi teras pada pemerintahan, Umno mesti menjadi parti yang berani membuat perubahan, menerajui pembaharuan yang berada di saf hadapan untuk menunjukkan hala tuju yang baru untuk negara kita pada keseluruhannya.

Insya-Allah, perubahan kini akan kita lakukan. Saya sudah memulakan kepemimpinan. Saya mengambilalih jawatan sebagai Perdana Menteri dengan membawa cogan kata '1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Prestasi Diutamakan.'

1Malaysia bukan satu perkara yang baru sebenarnya. Kalau kita menyorot kembali perjuangan Umno, Allahyarham Datuk Onn Jaafar cuba membuka pintu Umno pada kaum lain tapi tidak berjaya ketika itu.

Selepas itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman menubuhkan Perikatan berdasarkan pada semangat kebersamaannya.

Perdana Menteri kedua, Allahyarham ayahanda saya, Tun Razak (Hussein) menukar Perikatan menjadi Barisan Nasional dan waktu Tun Dr Mahathir (Mohamad) menjadi Perdana Menteri, beliau melontarkan konsep bangsa Malaysia, manakala zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan misi nasionalnya.

Apabila saya menyusul dengan 1Malaysia, ia berpaksi kepada Perlembagaan negara kita, berpaksi kepada Rukun Negara dan berpaksi kepada hakikat serta realiti bahawa kita adalah negara majmuk dan kejayaan Umno mestilah bersandar kepada sokongan orang Melayu dan juga sokongan rakyat daripada pelbagai kaum.

Insya-Allah, dengan semangat yang lebih inklusif ini, dengan semangat kebersamaan ini, kita akan dapat kekuatan baru untuk menghadapi pelbagai cabaran. Kita tidak boleh alpa dengan hakikat bahawa sistem demokrasi berparlimen adalah suara rakyat, suara keramat. Kita tidak boleh asyik dengan kuasa dan jawatan.

Apa guna jawatan dalam parti kalau kita kehilangan kuasa. Maka kita mesti jadi anggota parti yang sanggup berkhidmat. Apabila kita membuat pembaharuan, ia mestilah disertai bukan saja dengan pembaharuan dan perubahan parti, tapi budaya baru yang mesti kita serapkan ke dalam parti Umno kita.

Budaya baru Umno ini mestilah berpaksi kepada semangat sanggup berkhidmat dan meletak kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan lain. Budaya yang tawaduk Umno. Inilah budaya yang mesti kita pupuk di kalangan ahli parti. Rakyat tidak mahu lagi pada sebutan retorik. Rakyat ingin melihat kejayaan dalam usaha kita melakukan perubahan untuk negara.

Teringat saya pada sebahagian drama Shakespeare yakni yang disebut Mark Anthony ketika pengebumian Julius Ceasar: "Kejahatan yang manusia lakukan akan sentiasa diingat, manakala kebaikan pula akan tertanam dengan tulang belulang mereka".

Saya tidak setuju dengan pendapat Shakespeare ini, kerana manusia akan menilai kebaikan yang dilakukan kita. Janganlah kita berasakan bahawa khidmat kita yang ikhlas tidak akan diperhati dan dihargai oleh rakyat, kerana pada akhirnya sebagai orang Islam, kita percaya Allah adalah penilai yang sebaik-baiknya.

Sebagai sebuah parti, kita akan hadapi banyak cabaran dan banyak dugaan dalam perjalanan kita. Apatah lagi pada hari ini, yang sepatutnya kita sambut dengan suasana yang sungguh meriah, tapi sedikit sebanyak dicemari dengan keputusan mahkamah yang kita ketahui pada hari ini (kelmarin).

Dalam sejarah Umno, kita sudah menerima keputusan mahkamah yang mengharamkan Umno dan kita bangkit daripada keputusan itu dengan membina Umno Baru yang menjadi lebih bagus.

Saya percaya, semangat yang sama mesti ada pada kita. Kita menang dua keputusan mahkamah, kita kalah satu. Dari segi moral ialah kemenangan 2-1. Ini bukan penghujung jalan. Masih ada lagi jalan untuk difikir langkah-langkah yang sewajarnya.

Insya-Allah, saya dan rakan saya dalam Majlis Tertinggi akan fikir semasak-masaknya, dengan penuh kesabaran dan ketabahan mengenai apakah jalan terbaik untuk parti Umno dan BN yang kita kasihi.

Mudah-mudahan, Allah akan memberi petunjuk kepada kita untuk membuat keputusan yang terbaik demi masa depan perjuangan.

Tetapi hati saya menjadi begitu riang apabila melihat dewan ini penuh dengan penyokong dan ahli Umno. Rakan kita dalam BN yang sanggup bersama dengan kita, termasuk bekas Presiden parti, Tun Dr Mahathir, yang sanggup bersama-sama kita pada hari ini.

Inilah keluarga kita dan atas kekuatan keluarga ini kita akan menyusun langkah menghadapi apa juga cabaran dan tanpa patah semangat, kita tahu di bahu kita tergalas amanah menjunjung amanat untuk bangsa, agama dan negara.

Kita tidak akan mengabaikan apapun yang dicurah pemimpin kita sebelum ini. Mereka mengharapkan kita meneruskan perjuangan Umno dan insya-Allah, bukan saja kita akan meneruskan perjuangan Umno tapi kita akan letakkan Umno di atas tempat yang sebaik-baiknya bagi parti keramat yang kita kasihi ini.

Selamat berjuang dan terima kasih atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Semoga Allah memberkati perjuangan kita semua.

Selamat menyambut hari kelahiran parti Umno kita yang ke-63!
Analisis: Krisis politik Perak jejas kesejahteraan rakyat
Oleh Redzuan Yop

SUASANA politik di Perak penuh dengan kejutan. Sejak peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu, tidak ada sesuatu pun yang pasti dan sentiasa diselubungi ketidaktentuan.

Kerajaan Perak sekali lagi bertukar tangan, selepas Barisan Nasional (BN) memerintah kira-kira tiga bulan sejak awal Februari lalu, kini teraju kerajaan negeri kembali diambilalih Pakatan Rakyat.

Peralihan kuasa sekali lagi antara kedua-dua parti dilaksanakan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin membuat keputusan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar Perak yang sah.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Rakyat hanya memerintah kira-kira 11 bulan selepas kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada kalangan mereka mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas tetapi menyokong BN.

Keputusan mahkamah itu meneruskan lagi episod penuh kontroversi yang tercetus selepas sidang DUN Perak yang berlangsung dalam suasana penuh tegang dan emosi pada 7 Mei lalu.

Bagaimanapun, Pakatan Rakyat ketika ini hanya sebuah kerajaan negeri yang tidak mempunyai majoriti apabila mereka hanya mempunyai 28 kerusi, manakala BN mempunyai 31 kerusi termasuk tiga Adun Bebas yang menyokong BN.

Mahu atau tidak jalan penyelesaian yang dirasakan terbaik oleh Mohammad Nizar daripada Pas dan sekutunya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah dengan membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya semula diadakan.

Ketika ini BN mempunyai 28 kerusi iaitu 27 Umno dan MCA satu kerusi, manakala Pakatan Rakyat juga mempunyai 28 kerusi masing-masing DAP (17), Pas (enam) dan PKR (lima).

Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berkata: "Saya menerima keputusan mahkamah dengan hati dan fikiran terbuka. Saya serta rakan akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang.

"Saya menyeru semua penyokong BN serta rakyat Perak supaya bertenang," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar melalui Setiausaha Akhbarnya, Nizamuddin Mat Isa.

Ketika keputusan mahkamah itu diumumkan, Dr Zambry dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Ipoh bagi menghadiri majlis ulang tahun Umno ke-63.

Penganalisis politik dan sejarah, Datuk Prof Dr Ramlah Adam, ketika diminta mengulas perkembangan itu berkata, keputusan mahkamah sudah pun dibuat tetapi keadaan politik di Perak terus berada dalam keadaan tidak menentu dan rumit.

Beliau berkata, banyak perkara tidak dapat dilaksanakan untuk pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat apabila terlalu banyak masa dihabiskan untuk menguruskan suasana politik yang lintang pukang.

"Pembangunan terjejas, pelaburan terjejas dan rakyat terus berada dalam keadaan keliru disebabkan perkara yang berlaku ini (kemelut politik).

"Saya percaya rakyat pun sudah mula berfikir kenapa dan mengapa keadaan ini berlaku dan mereka mengharapkan kematangan berpolitik daripada wakil rakyat dan kerajaan negeri yang mereka pilih," katanya.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak imej BN dan pakatan pembangkang juga sudah tercalar berikutan kemelut politik yang berlaku, apatah lagi ketika sidang DUN Perak yang berlangsung pada 7 Mei lalu.

Apapun, beliau melihat kuasa Sultan kini sudah berani dicabar oleh pihak tertentu kerana berpendapat kuasa Sultan sebenarnya berada dalam kedudukan yang berbeza daripada rakyat biasa.

Dr Ramlah berpendapat kini berlaku satu pertembungan antara bidang kuasa Pusat, manakala satu lagi keputusan dibuat berdasarkan kepada undang-undang negeri iaitu Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak.

"Kita tidak mahu seperti kemelut yang berlaku di Perak pada 1874 apabila dua pihak bertelingkah, pihak ketiga (British) akan campur tangan dan mendapat manfaat yang besar daripada pertikaian yang berlaku," katanya.

Beliau berkata, jika perkara itu berlaku (kuasa Sultan dicabar) dan pihak tertentu meragui kuasa Sultan Melayu, institusi Raja akan terdedah kepada kritikan rakyat dan mula menghina Sultan dan perkara ini tidak wajar dibiarkan.

Apapun, kebimbangan yang mula timbul ialah adakah Pakatan Rakyat akan memulakan episod membalas dendam. Jika itu berlaku sudah pasti ia akan merumitkan lagi keadaan.

Sesiapa saja mentadbir Perak mereka perlu memahami bahawa asasnya adalah untuk mendahulukan rakyat. Kebajikan dan kesejahteraan mereka perlu diutamakan. Jika rakyat terus terabai disebabkan suasana politik yang tidak stabil siapakah yang akan dipersalahkan.

Jika ini berlaku sekali lagi pada pilihan raya umum akan datang rakyat akan menjadi hakim dan mereka akan memilih kerajaan negeri yang benar-benar dapat melaksanakan tugas menjaga kebajikan mereka.

Persoalannya, adakah Sultan Perak akan memperkenankan DUN Perak dibubar dalam masa terdekat bagi membolehkan pilihan raya semula diadakan seperti dipohon Pakatan Rakyat, kerana ketika yang sama Dr Zambry turut memfailkan permohonan penangguhan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan memfailkan notis rayuan terhadap perisytiharan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dengan itu, semalam Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah. Sehubungan itu, Dr Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga kes rayuan itu didengar.

Hakim Datuk Ramly Ali berkata, mahkamah akan menetapkan satu tarikh kelak untuk mendengar rayuan Dr Zambry.

Sekali lagi adakah rakyat Perak akan terus menanti sebuah kerajaan negeri stabil kerana kebanyakan daripada mereka mahu kemelut ini ditamatkan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti hari-hari biasa.
Minda Pengarang: Kemelut di Perak tidak wajar berpanjangan, berulang


SEHARI selepas Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, semalam Mahkamah Rayuan pula membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan itu. Ini bermakna keadaan status quo kembali seperti sebelum ini iaitu Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga kes rayuan itu didengar. Mahkamah akan

menetapkan satu tarikh untuk mendengar rayuan Dr Zambry itu. Pada masa sama juga, Mohammad Nizar tidak boleh menghadap Sultan Perak bagi mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan sehinggalah rayuan itu didengar dan diputuskan. Dalam keadaan sekarang, tiada apa yang boleh dilakukan. Mohammad Nizar dan Exconya tidak boleh mentadbir kerajaan negeri, manakala bagi Dr Zambry dan barisan Exconya pula tidak boleh berfungsi dengan sempurna. Sebarang keputusan pentadbiran yang dibuat hari ini kemungkinan diubah pula keesokan harinya apabila jawatan Menteri Besar bertukar berikutan keputusan mahkamah. Perkara ini sebenarnya sudah berlaku dalam tempoh 24 jam lalu.

Meskipun, kes membabitkan politik Perak itu amat unik, ia sebenarnya bukan perkara baru. Pada 1966, kes yang hampir sama berlaku di Sarawak membabitkan Ketua Menterinya yang pertama, Datuk Stephen Kalong Ningkan. Ketika itu, Ningkan enggan meletak jawatan apabila diminta oleh Yang Dipertua Negeri untuk berbuat demikian dengan alasan anggota DUN hilang kepercayaan. Yang Dipertua Negeri ketika itu melantik Penghulu Tawi Sli sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru. Namun, Ningkan memfailkan kes di mahkamah dan menang, menyebabkan beliau kembali menyandang jawatan Ketua Menteri. Perlembagaan negeri menyatakan bahawa Ketua Menteri hanya boleh dilucutkan jawatan, jika ada usul undi tidak percaya dalam DUN tetapi tiada usul itu dilakukan. Dua minggu kemudian, Yang di-Pertuan Agong menggunakan Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, untuk mengisytiharkan darurat di Sarawak. Perlembagaan Negeri Sarawak hanya boleh dipinda oleh DUN dengan majoriti dua pertiga atau oleh Parlimen Persekutuan ketika darurat. Dengan idea mengadakan darurat, Perlembagaan Sarawak boleh dipinda dan ini berjaya dilakukan melalui pembentangan Rang Undang-Undang untuk Sarawak di Parlimen. Pindaan baru itu memberi kuasa sementara kepada Yang Dipertua Negeri untuk memecat Ketua Menteri dan mengadakan sidang DUN. Sebelum itu, Yang Dipertua Negeri tiada kuasa mengarahkan sidang DUN diadakan tanpa permintaan Ketua Menteri. Akhirnya, Ningkan terpaksa mengalah apabila dipecat buat kali kedua dan Tawi Sli dilantik sekali lagi sebagai Ketua Menteri Sarawak kedua. Kita berharap, sejarah tidak berulang selepas ini sama ada di Perak, Sarawak atau negeri lain kerana yang menerima kesannya ialah rakyat.
Mampukah ahli UMNO berubah?
Hari ini bertambah satu hari lagi dalam kalendar usia UMNO ketika partiitu menyambut ulang tahun ke-63 semalam. Tarikh keramat 11 Meidikatakan semakin jauh dari hati orang Melayu, apatah lagi untukmengenang detik perjuangan UMNO sejak 1946 hingga hari ini.

Profesion guru ke tahap tinggi
MEMENUHI tuntutan sebagai seorang pembina negara bangsa yang diletakkanke bahu pendidik telah bermula sejak sebelum merdeka. Hingga kini,tanggungjawab itu tidak pernah sedikit pun berkurang.

UMNO tetap berjuang demi kepentingan rakyat
SYUKURUMNO dipanjangkan umur hingga ke hari ini. Presiden UMNO, Datuk SeriNajib Tun Razak bersama pucuk pimpinan UMNO seperti lazim menghadiriacara tahunan - majlis bacaan yassin, tahlil dan doa selamat sempenasambutan ulang tahun UMNO ke-63 semalam.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
BAGIAwang, rakyat Perak perlu bertenang dan tidak terlalu teruja dengankeputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam bahawa Datuk MohammadNizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Bukan salah Akta Keselamatan Dalam Negeri
PEMBEBASANtahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah kali keduadi bawah pimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sejak 4 April lalu.

Melayu pascaliberalisasi ekonomi
GENAP 10 tahun, Malaysia sekali lagi terpaksa menempuh krisis ekonomidunia. Krisis terakhir sekitar 1997-1999 yang dirancang oleh penyangakmata wang, George Soros. Tindakannya telah mengakibatkan nilai ringgitmenyusut kepada RM4.50 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (secarapurata 1996: AS$1 > RM2.50). Malaysia yang ketika itu di bawah eraTun Dr. Mahathir Mohamad, terpaksa melaksanakan dasar kawalan modal(capital control) yang amat ketat.

Parti politik perlu bersatu perangi mat rempit
KADARjenayah melibatkan mat rempit dan kes ragut semakin berleluasa dantidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan. Rasanya tidak keterlaluanuntuk mengatakan, kebanyakan penduduk tidak lagi merasa selamat ditanah air sendiri.

Jangan beri peluang cubaan hancur keharmonian negara
SEJAKPilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12), iklim politik negara boleh dikatakandalam keadaan terumbang-ambing. Dasar keterbukaan dan ruang luas kepadakomuniti hampir lima tahun lampau kini memberikan kesan negatif.






Geopark Global Langkawi kekal pembangunan lestari masa depan
SAYAbaru pulang dari Beijing menghadiri mesyuarat penting mengenaipembangunan geopark di China. Mewakili Biro Jaringan Geopark GlobalUnesco, kami membincangkan isu dan perkembangan terkini mengenai 138geopark kebangsaan dan 20 geopark global yang berada di sana.

Minda Pengarang: Pemantauan berkesan jayakan projek pakej rangsangan ekonomi
LANGKAHkerajaan memantau dengan lebih dekat semua projek di bawah dua pakejrangsangan ekonomi, berjaya meningkatkan tempo pelaksanaannya, walaupunpada peringkat awal pakej pertama diumumkan sebelum ini ada dakwaanberlaku kelewatan.

Gaya 'politik kampung' kekuatan Ghafar
GAYA 'politik kampung' yang menjadi amalan Allahyarham Tun Ghafar Babawajar dijadikan panduan oleh pemimpin zaman ini kerana dengan sikapitulah Umno kekal stabil, manakala pemimpinnya terus disanjung, biarpunada segelintir kemudian dicemuh angkara bercakaran sesama sendiriakibat merebut kedudukan serta kuasa politik
Mampukah ahli UMNO berubah?

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my


Hari ini bertambah satu hari lagi dalam kalendar usia UMNO ketika parti itu menyambut ulang tahun ke-63 semalam. Tarikh keramat 11 Mei dikatakan semakin jauh dari hati orang Melayu, apatah lagi untuk mengenang detik perjuangan UMNO sejak 1946 hingga hari ini.

Kelmarin, menjelang sehari sebelum ahli-ahli UMNO menyambut hari kelahiran parti yang menjadi wadah perjuangan politik mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan mereka supaya tidak terlalu bernostalgia terhadap jasa-jasa besar parti itu pada masa lalu.

Pemimpin dan ahli UMNO kena terima hakikat bahawa kini semakin ramai pengundi terdiri daripada golongan pasca merdeka dan tidak pernah melalui peristiwa penting yang berjaya ditangani oleh UMNO mahupun komponen Barisan Nasional (BN).

Jadi, Presiden UMNO menggesa ahli-ahli parti itu berubah dari segi cara berfikir, strategi politik dan kaedah berkomunikasi dengan pengundi baru mengenai dasar yang diperjuangkan UMNO dan BN.

“Sekarang bukan zaman seperti UMNO mula-mula dilahirkan. Ramai kalangan generasi hari ini tidak berpengalaman melalui peristiwa penting seperti tragedi 13 Mei dan kegawatan ekonomi pada 1997.

“Jadi, kita tidak boleh bersandar kepada nostalgia dan sentimen kerana walaupun jasa menggunung tinggi, ia bukan jaminan untuk terus mendapat sokongan rakyat,” kata Najib.

Penganalisis politik, Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman setuju dengan kenyataan Najib itu kerana zaman sudah berbeza dan cita rasa rakyat sekarang juga berlainan.

Dulu kerajaan mengetahui segalanya. Kini rakyat Malaysia sudah berpengetahuan tinggi dan sudah terdedah kepada pengetahuan yang tidak lagi mempunyai sempadan. Kehendak sudah tidak serupa.

“Ahli-ahli UMNO harus berubah dan melakukan perubahan drastik mengenai diri sendiri. Kerakusan mendapatkan kuasa harus dihentikan. Ketamakan mencari harta untuk diri sendiri hendaklah ditukar ganti kepada membina harta dan kekayaan untuk rakyat.

“Ilmu menjadi teras kekuatan UMNO. Mempunyai kuasa dalam UMNO tidak menjaminkan kekuasaan pemerintahan negara secara menyeluruh,” kata Dr. Mohd. Zainul Fithri.
Profesion guru ke tahap tinggi

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my


MEMENUHI tuntutan sebagai seorang pembina negara bangsa yang diletakkan ke bahu pendidik telah bermula sejak sebelum merdeka. Hingga kini, tanggungjawab itu tidak pernah sedikit pun berkurang.

Namun situasinya kini berbeza. Pelajar semakin ramai dengan sikap dan minda yang berbeza. Apatah lagi dengan keterbukaan dan kelantangan masyarakat memperkatakan tentang senario pendidikan negara maka peranan guru sebagai pembina negara bangsa semakin luas dan mencabar.

Inilah juga yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran melalui tema sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009 iaitu Guru Pembina Negara Bangsa, sambutan Hari Guru yang ke-38 dan kali ini sambutannya diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Terengganu pada 16 Mei ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, guru alaf baru kini tugasnya bukan sahaja mendidik daripada segi akademik tetapi membina suatu bangsa negara, bangsa Malaysia yang bermodal insan, cintakan negara, mempunyai keyakinan tinggi, jati diri kukuh, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral. Ia penting untuk hidup sebagai sebuah masyarakat penyayang, demokratik, liberal dan bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik.

Inilah juga yang dimaktubkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2020 iaitu Membina Negara Bangsa dan ia sejajar dengan Wawasan 2020 yang kini hanya tinggal 10 tahun untuk direalisasikan menjadi Malaysia negara maju dalam acuannya sendiri.

"Walaupun negara bangsa telah wujud sejak kita mencapai kemerdekaan tetapi ia mesti ditingkatkan dari semasa ke semasa kerana wujudnya persaingan globalisasi.

"Ia menuntut setiap negara mengukuhkan negara masing-masing daripada segi ekonomi mahupun pertahanan dan guru pula wajib memberi pendidikan terbaik untuk para pelajar,'' ujarnya.

Kata beliau, peranan guru era pasca dan sebelum merdeka sama penting.

"Selepas negara merdeka, kita melihat pendidikan sebagai bidang yang amat penting kerana kerajaan telah memberi peruntukan yang besar berbanding kementerian-kementerian lain,'' katanya.

Ini turut menjelaskan betapa kerajaan amat percaya dengan pelaburan yang besar itu ia boleh membawa pulangan yang besar kepada negara.

Katanya, cabaran untuk guru menambah ilmu dalam dunia ledakan maklumat bukan sahaja sesama mereka malah perlu bersaing dengan pelajar yang ada ketikanya lebih terkehadapan menerokai teknologi komunikasi maklumat (ICT).

"Kecanggihan pelajar menyebabkan guru kini perlu berdepan dengan pelbagai kerenah masyarakat, media massa dan pengaruh budaya luar. Maka amat penting untuk sekolah memastikan berlakunya pembangunan modal insan yang cemerlang,'' tegasnya.

Modal insan yang cemerlang bermakna individu itu turut mahir dalam membuat keputusan, berakhlak dan bermoral tinggi, berani, amanah, jujur, bekerjasama dan bertanggungjawab, suatu acuan individu yang mempunyai daya tahan dalam erti kehidupan globalisasi.

"Beratkah tanggungjawab guru sekarang? Sudah pasti, jika dibandingkan dengan 20 tahun atau 30 tahun lalu tetapi inilah peluang untuk guru menunjukkan kebolehan,'' katanya lagi.

Menurut Alimuddin, dedikasi, sabar dan tabah serta bertanggungjawab semasa menjalankan tugas adalah kunci utama untuk menangani kerenah masyarakat apatah lagi pelajar.

Dan sudah pasti peranan ibu bapa dalam dunia pendidikan bertambah memandangkan anak-anak mereka hanya berada di sekolah kirakira enam jam maka perhatian terhadap anak-anak perlu ditingkatkan.

Namun kata beliau, sikap masyarakat moden kini yang tidak suka "menjaga tepi kain orang lain" perlu dikembalikan.

"Menegur dan saling ingat-mengingatkan dan saya fikir banyak isu disiplin pelajar di luar sekolah dapat diselesaikan dengan sikap ini,'' katanya.

Walau bagaimana berat sekalipun tanggungjawab yang dipikul oleh guru namun Kementerian Pelajaran tidak pernah alpa terhadap kebajikan mereka.

Pada masa ini, terdapat 17 laluan kerjaya kepada guru seperti guru cemerlang, Pengetua cemerlang, Guru Besar cemerlang, Pegawai Pendidikan cemerlang. Malah tahun lalu sahaja sebanyak 62,000 jawatan naik pangkat dan naik gred telah diberi kepada guru-guru.

Daripada segi kewangan pula, banyak elaun diberi kepada guru seperti elaun Guru Besar dan Pengetua, elaun warden, elaun mata pelajaran kritikal dan termasuk Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI ) serta elaun guru kawasan pedalaman yang mencecah kepada RM1,500 sebulan.

"Ini bukti keprihatinan kerajaan terhadap guru malah apa juga imbuhan yang diberi kepada kakitangan kerajaan lain, guru juga menikmatinya misalnya pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan mahupun rawatan di hospital,'' katanya.

Tegas Alimuddin, profesion perguruan kini sudah sampai ke tahap tinggi jika dilihat daripada permohonan untuk menjadi guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Tahun ini ia mencecah lebih 90,000 permohonan sedang kekosongan untuk diisi ialah sekitar 5,000 tempat sahaja.

Beliau turut menolak tanggapan masyarakat bahawa senario itu seperti sebelum ini yang diamalkan oleh graduan negara yang menjadikan profesion perguruan sebagai pilihan akhir.

"Senario itu tiada lagi kerana banyak permohonan bermakna banyak pilihan. Hanya mereka yang layak diterima,'' tegasnya.

Sementara itu, sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009 akan bermula pada 14 Mei dengan pertandingan separuh akhir Pertandingan Bahas Guru Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan kategori bahasa Malaysia dan kategori bahasa Inggeris di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Datuk Razali Ismail, Terengganu sementara pertandingan akhir pada 15 Mei.

Keesokannya, Majlis Menjunjung Budi untuk guru-guru di kawasan pedalaman dan guru di pulau serta guru kurang upaya akan diadakan. Ia turut melibatkan guru integriti dan guru di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Pulau Pinang.

Satu Forum Pendidikan akan diadakan di Wisma Darul Iman bertajuk Guru Pembina Negara Bangsa.

Ahli-ahli panel forum terdiri daripada tokoh pendidik Tan Sri Wira Dr. Abdul Rahman Arshad, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Sebagai menghargai usaha guru, Guru Besar dan Pengetua dalam memperkasakan ICT di sekolah, Anugerah Guru Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan Anugerah Pemimpin TMK juga akan diadakan.

Sempena sambutan Hari Guru itu juga, Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan mengadakan Festival Hari Guru Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) bermula 14 Mei sehingga 17 Mei dengan pelbagai acara menarik untuk orang ramai.
UMNO tetap berjuang demi kepentingan rakyat

SYUKUR UMNO dipanjangkan umur hingga ke hari ini. Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama pucuk pimpinan UMNO seperti lazim menghadiri acara tahunan - majlis bacaan yassin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-63 semalam.

Barangkali ada kalangan ahli UMNO sendiri sudah lupa bahawa 11 Mei telah diisytiharkan Hari UMNO.

Kemelut politik yang melanda negara dan melibatkan parti UMNO cukup mencabar dalam mempertahankan kewujudannya melalui sokongan rakyat.

UMNO yang disebut-sebut sebagai parti keramat kini diancam hilang pengaruh dan kuasa. Apatah lagi UMNO kini dibelenggu pelbagai persepsi negatif.

Sejauh mana UMNO mengambil iktibar yang betul daripada mesej yang disampaikan oleh orang Melayu?

Bagaimana formula pembaharuan dan perubahan yang dianjurkan oleh Presiden parti itu? UMNO perlu perubahan drastik dan holistik.

Kita percaya UMNO mampu menempuh cabaran dan halangan pada masa kini dan tahun-tahun mendatang.

Sesungguhnya UMNO perlu mencari 'aura' sebagai parti perjuangan yang semakin hilang dalam diri sesetengah ahlinya.

Parti ini mempunyai ramai pemimpin yang berwibawa dan sudah tentu mereka mempunyai formula untuk kembali bangkit.

UMNO tidak boleh menjauh dan dijauhi rakyat. UMNO perlu kembali sebagai parti perjuangan yang agresif memperjuangkan isu-isu rakyat dan bukannya tebal dengan karakter sebagai parti pemerintah yang terlalu streotaip dengan peranan sebagai jurucakap kerajaan.

Najib dalam beberapa ucapannya tentang UMNO telah bersikap realistik dalam melakarkan hala tuju dan transformasi perjuangan parti dengan mengakui kelemahan-kelemahan UMNO.

Beliau juga dapat menghidu kelemahan di semua peringkat yang kerap kali menjadi asas kepada penilaian rakyat terhadap UMNO selama ini.

Sebab itu, UMNO tidak boleh sentiasa menagih sokongan rakyat dengan mengungkit jasa-jasa parti dalam proses pembinaan negara bangsa Malaysia.

Sebaliknya, UMNO perlu sentiasa ke depan dalam menampilkan agenda-agenda baru supaya ia sentiasa segar, relevan dan seiring dengan tuntutan zaman.

Bagi menjayakan agenda transformasi perjuangan ini, sudah tentu UMNO perlu sentiasa bersama dengan rakyat.

Sesungguhnya agenda perjuangan UMNO tidak berubah, tidak seperti parti-parti politik Melayu lain. Kebanyakan parti politik lain tidak berpendirian kukuh dan mengikut resmi lalang di mana pendiriannya mengikut rentak manusia dan politik semasa.

UMNO sudah menjangkau usia 63 tahun. Maka di bawah saf kepimpinan Najib, ia diharap menjadi titik permulaan kepada usaha mewujudkan satu parti yang proaktif, menitikberatkan aspirasi ahli-ahli di peringkat akar umbi dan paling diutamakan rakyat yang menjadi penentu hidup atau mati politik UMNO.

Secara amnya, UMNO belum pudar atau hilang pengaruhnya di kalangan rakyat. Sebab itu UMNO perlu sentiasa relevan dan dilihat sedemikian. Majoriti rakyat masih mengharapkan UMNO yang memimpin Barisan Nasional terus memainkan tanggungjawab dalam memperjuangkan masa depan rakyat Malaysia.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

BAGI Awang, rakyat Perak perlu bertenang dan tidak terlalu teruja dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam bahawa Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Yang penting ialah semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah tersebut. Biarlah pihak-pihak terlibat dalam kes tersebut menggunakan sepenuhnya proses mahkamah.

Biarlah Barisan Nasional yang merasakan ia mempunyai kes yang kukuh, membuat rayuan terhadap perisytiharan bahawa wakil rakyatnya, Datuk Zambry Abd. Kadir bukan Menteri Besar Perak yang sah.

Oleh kerana kes di Perak itu telah dibawa ke peringkat mahkamah, biarlah saluran itu digunakan sebaik mungkin, jika itu yang dimahukan oleh pihak yang terlibat.

Dengan kata lain, apabila ada rayuan, kepercayaan penuh oleh kedua-dua pihak yang berkepentingan perlulah diberikan kepada mahkamah untuk meneliti dengan lebih lanjut kes tersebut.

Janganlah ada pula pihak yang mengatakan mahkamah benar-benar bebas apabila keputusan yang dibuat memihak kepada mereka sahaja; sedangkan apabila kes tidak memihak kepada mereka, mahkamah pula didakwa berat sebelah.


Awang – Melapor.
Bukan salah Akta Keselamatan Dalam Negeri

Oleh ABDUL RASHID ABDUL AZIZ


PEMBEBASAN tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah kali kedua di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sejak 4 April lalu.

Pembebasan terbaru membabitkan 13 individu yang dilihat oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai tidak lagi memberikan ancaman kepada negara. Ia juga menunjukkan sifat prihatin kerajaan terhadap perspektif keperluan dan mengimbanginya dengan kesan penahanan ke atas negara.

Yang menjadi isu utama terhadap laungan sesetengah pihak yang lantang mengkritik penahanan di bawah ISA, datangnya apabila sesuatu penahanan dilakukan ke atas individu yang dilihat sebagai berkepentingan tertentu terhadap agenda politik.

Bagi ahli politik, ISA dilihat sebagai "ancaman" kepada gerakan dan aktiviti berpolitik. Mereka melihat ISA dalam perspektif bahawa kerajaan mampu menyalahgunakan kedudukan atas kuasa eksekutif untuk menahan mereka.

Isu utama bukan soal hak asasi. Jika hak asasi, adakah mereka yang ditahan terbabit tidak diberikan makanan, tempat berteduh atau didera? Tetapi yang menjadi keutamaan pihak yang menentang ISA termasuk beberapa individu dalam pembangkang dan juga majlis guaman ialah soal 'hak politik'.

Jangan menggunakan alasan hak asasi untuk berselindung di sebalik kegiatan dan hak politik bangkangan yang mereka perjuangkan. Jika mahu memperjuangkan hak politik, maka nyatakan dengan jelas dan nyata.

Hak politik berbeza daripada hak asasi. Secara jelas di Malaysia, siapa yang dinafikan hak asasinya? Jika negara ini mengamalkan sistem autokratik dalam hal hak asasi, isu rempit, ragut dan jenayah serta pelbagai percakapan bersifat menentang kepada pemerintah pastinya telah awal-awal disekat dan dikenakan tindakan 'tatatertib' tertentu.

Malahan dengan sikap 'lembut' kerajaan, maka sesetengah 'hak asasi' telah menjadi terlalu bebas dan liberal pengamalan serta tindakannya.

Malaysia sama sekali tidak bersifat negara tentera atau polis. Malahan dalam isu gejala sosial, lihat sahaja ancaman untuk mengenakan saman ke atas kerajaan negeri Perlis dahulu yang mahu menguatkuasakan larangan remaja keluar malam. Ia 'menafikan' hak kerajaan dalam menggunakan kuasa eksekutif untuk mengadakan larangan tertentu walaupun ia baik untuk mendisiplinkan remaja.

Namun, atas alasan hak perundangan dan 'hak asasi' maka tindakan yang dilakukan kerajaan terbatas atas kapasiti menghormati undang-undang. Akhirnya gejala akibat perjuangan 'hak asasi' berlaku dan tidak dapat dibendung.

Mujurlah atas keprihatinan kepimpinan negara dahulunya yang memikir jauh ke hadapan dalam sebuah negara majmuk. Maka ISA bukan sahaja digubal malahan dikekalkan aplikasinya sehingga kini. Lihat sahaja keberkesanan ISA yang telah menyelamatkan negara daripada ancaman subversif.

Betapa ISA juga berjaya memberikan keinsafan kepada beberapa tahanan agar terus mencintai negara. ISA jgua menyelamatkan bukan sahaja bakal mangsa, malah individu berpotensi ganas daripada terjebak dalam kancah keganasan.

Adakah masyarakat di negara ini mampu menyatakan bahawa biarlah sesuatu kegiatan keganasan mahupun tindakan yang mampu memusnahkan kehidupan mana-mana individu malah negara dibiarkan sehingga tindakan ancaman itu benar-benar berlaku dan telah ada outputnya. Adakah ini yang dimahukan?

Dalam bahasa mudah, seseorang itu secara nyata telah diamati akan melakukan pembunuhan. Maka untuk membuktikan dia melakukanya, maka adakah kita perlu menanti saat dia membunuh mangsanya, dan ketika itulah penahanan oleh pasukan keselamatan boleh dilakukan?

Maka dengan mudah, difahami bahawa fungsi negara dan pasukan keselamatan untuk mengenakan tindakan awal sebelum sebarang tindakan agresif berlaku akan dinafikan.

Akibatnya, negara tidak mampu memberi perlindungan awal kepada rakyatnya. Fungsi keselamatan dalam perspektif hak asasi adalah apabila kerosakan telah dilakukan dan terbukti, barulah penahanan boleh dilaksanakan. Kuasa negara ke atas potensi jenayah yang lebih besar hingga merosakkan negara ke kancah anarki juga tidak akan dapat dikawal atas nama 'hak asasi manusia'.

Akhirnya dengan hak asasi manusia maka negara yang makmur dan bersatu padu boleh musnah. Lihat sahaja Pakistan yang bergelut dengan pertentangan dalam negara sehingga tiada kawalan, atas alasan demokrasi dan hak asasi.

Kita sepatutnya tidak terbawa-bawa dengan pendemokrasian yang dilaungkan oleh pemimpin politik pembangkang. Biarlah corak serta amalan ISA dikekalkan. Selama mana kerajaan bertanggungjawab memastikan keselamatan negara terjamin - itu adalah perkara paling utama.

Apa gunanya memerintah jika rakyat tidak lagi dapat diselamatkan. Kerajaan perlu berhati-hati dengan agenda 'hak asasi' yang mampu menggugat keselamatan negara.

Tidak semua rakyat faham dengan jelas bagaimana dan apa bentuk ISA. Hakikat, daripada hampir 27 juta penduduk negara ini, tidak sampai 0.01 peratus (2,700) rakyat yang ditahan ISA. Hanya mereka yang 'popular' sehingga mampu meragut kestabilan negara sahaja berpotensi 'dirawat' di bawah akta ini.

Kenapa digubal, dilaksanakan serta kepentingan ISA terhadap negara turut tidak difahami dengan jelas atas asas kepentingan keselamatan Malaysia. Kebanyakan rakyat, termasuk ahli akademik serta pemimpin masyarakat hanya memahaminya dari sudut perspektif yang dilontarkan oleh 'pegawai penerangan' yang bukan daripada pasukan keselamatan dan kerajaan.

Akibatnya, salah tafsir terhadap ISA rataratanya terbina dalam kotak fikiran rakyat termasuk segelintir para peguam dan ahli akademik yang sibuk kini berpolitik dan membangkang.

Jadi bila sahaja ISA disebut, bagi sesetengah orang - yang tidak pernah ditahan di bawah ISA - pasti menyamakannya dengan penderitaan yang ditanggung oleh mereka yang ditahan di kem tahanan tentera Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo, Cuba.

Akibatnya, ISA dan kerajaan disalahkan sehingga mahu dibubarkan atau diliberalkan penggunaan perintah ISA itu.

Kerajaan dan pasukan keselamatan perlu memperbetulkan persepsi tentang ISA. Jika kerajaan hendak meliberalisasikan ISA, wajarlah dilaksanakan dahulu penerangan bersepadu kepada rakyat tentang ISA dan potensi ancaman kepada negara jika ISA tidak dilaksanakan sejak merdeka.

Penulis ialah ahli akademik yang kini melanjutkan pengajian peringkat Ph.D di Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia