Usaha PBB gagal



PENUH SESAK: Keadaan di Yangon kembali seperti biasa semalam selepas tentera mengenakan tindakan tegas terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi.

Junta Myanmar selar kritikan antarabangsa

YANGON: Kerajaan tentera Myanmar meningkatkan mesin propaganda semalam dengan menggelar kritikan asing terhadap langkah menghapuskan tunjuk perasaan sebagai 'menipu' dan menyiarkan unsur positif tindakan junta itu dalam media yang menjadi tamparan kepada kumpulan prodemokrasi.

Anggota tentera masih kelihatan di jalan raya di Yangon, bandar raya terbesar di Myanmar, yang menyaksikan ketenangan kembali selepas langkah tegas menekan penunjuk perasaan prodemokrasi minggu lalu.

Dengan capaian ke internet dihalang, akhbar kerajaan seperti The New Light of Myanmar menyiarkan versi pandangan kerajaan mengenai krisis negara dan mencetak muka surat penuh dengan slogan propaganda seperti 'Kami mahukan kestabilan. Kami mahukan keamanan' dan 'Kami menentang ketegangan dan keganasan'.

Kritikan dari masyarakat antarabangsa disifatkan sebagai 'cubaan menipu untuk memusnahkan negara'.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, kelmarin berkata di New York bahawa wakil khasnya, Ibrahim Gambari yang berkunjung ke Myanmar akhir minggu lalu menyampaikan 'mesej paling tegas' kepada pemimpin tentera Myanmar mengenai kekerasan ke atas aktivis demokrasi tetapi menambah dia tidak boleh menyifatkan lawatan itu sebagai 'satu kejayaan'.

Demonstrasi antijunta meletus pada pertengahan Ogos berhubung kenaikan harga minyak, yang kemudian semakin hebat apabila sami mengetuai perarakan bulan lalu. Namun tentera menghapuskan bantahan seminggu lalu dengan peluru, gas pemedih mata dan belantan.

Sementara itu, mayat wartawan Jepun, Kenji Nagai yang terbunuh ketika tunjuk perasaan prodemokrasi di Myanmar tiba di tanah airnya semalam ketika syarikat mangsa berjanji untuk mendapatkan semula rakaman yang diambil ketika dia ditembak mati. - AP/AFP

FAKTA NOMBOR
Tunjuk perasaan di Myanmar


10 - Kematian menurut sumber kerajaan
6,000 - Ditahan

0 comments: