Pesakit kritikal boleh mohon bantuan rawatan

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Pesakit kritikal kini boleh memohon bantuan untuk membiayai kos rawatan dan ubat-ubatan tidak melebihi RM20,000 menerusi Dana Talian Insan Kritikal Yayasan Kebajikan Negara ‘D’tik YKN’ yang dilancarkan hari ini.

Menerusi peruntukan dana sebanyak RM5 juta itu, setiap permohonan akan diproses dalam tempoh yang singkat iaitu antara sehari dan tiga hari.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, bantuan kewangan yang diperlukan itu akan diluluskan sebaik sahaja pengesahan doktor di hospital-hospital berkaitan diperoleh.

“Bantuan ini berfungsi sebagai perkhidmatan sokongan kepada Tabung Bantuan Perubatan (TBP) yang dikendalikan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bantuan Kontingensi YKN Untuk Pesakit-Pesakit Kritikal di Hospital-Hospital Terpilih Kerajaan di Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.

Bantuan TBP diberikan kepada pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan dan mereka dinilai oleh pegawai-pegawai kerja sosial perubatan secara telus dan profesional dalam menentukan kelayakan setiap permohonan.

Di samping itu, penilaian komprehensif juga dibuat mengikut standard dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Menurut Shahrizat, bantuan menerusi dana itu hanya diberikan kepada warganegara Malaysia dengan beberapa syarat tertentu.

Ia termasuklah keadaan pesakit mengancam nyawanya, pesakit diancam kehilangan fungsi anggota secara berkekalan, intervensi perubatan diperlukan segera dalam tempoh 24 hingga 72 jam dan pesakit perlukan sokongan hidup atau intervensi kritikal.

0 comments: