Swasta perlu bantu sedia kemudahan kesihatan

Oleh Muhd. Nizam Abd. Hamid dan Shariza Abdullah

ALOR STAR 4 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak syarikat-syarikat swasta membantu kerajaan menyediakan kemudahan kesihatan kepada orang ramai.

Menurutnya, komitmen itu boleh dilaksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh syarikat berkenaan seperti menyediakan pusat dialisis untuk pesakit buah pinggang.

“Kita sedia maklum bahawa jumlah pesakit buah pinggang terus meningkat dan tidak mungkin kerajaan dapat menyediakan segala kemudahan (dialisis) tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Dialisis Albukhary yang ditubuhkan oleh Yayasan Albukhary di Kompleks Albukhary di sini hari ini.

Hadir sama ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainudin Maidin dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Timbalan Perdana Menteri kemudian menghadiri majlis berbuka puasa bersama lebih 5,000 jemputan termasuk para pemimpin kerajaan negeri dan anak-anak yatim.

Menurut beliau, penubuhan pusat dialisis itu yang ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Albukhary merupakan satu contoh CSR syarikat swasta yang baik.

Tambah Najib, pusat tersebut akan dapat membantu lebih ramai pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan dialisis sekali gus mengelak masalah kekurangan mesin tersebut di hospital kerajaan.

Pusat yang akan beroperasi tidak lama lagi itu mempunyai 36 mesin dialisis dan akan menyediakan rawatan percuma kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Najib berkata, penglibatan korporat dalam projek kebajikan seperti yang dijalankan oleh Yayasan Albukhary akan membawa perubahan besar kepada pembangunan negeri Kedah.

Katanya, pembangunan Kompleks Albukhary yang mengandungi pelbagai komponen seperti pusat dialisis dan pusat kecemerlangan ilmu sudah pasti akan memberi sumbangan besar kepada Kedah.

Tambah beliau, ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membangunkan Kedah menerusi Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara).

0 comments: