2 suspek kes Nurin dilihat naik LRT

Oleh Mohd Azis Ngah dan Ifwan Tun Tuah

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dan wanita yang dikatakan menyamai lakaran wajah dua suspek kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, dilaporkan dilihat menaiki tren Star LRT dari Stesen Bandar Tun Razak di sini, pagi semalam.

Lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun dan wanita dalam lingkungan 20-an itu, bagaimanapun menghilangkan diri di tengah kesesakan orang ramai selepas turun di Stesen Masjid Jamek, kira-kira jam 8 pagi.

Lelaki berkenaan dilihat berkemeja putih lengan pendek dan memakai jeans biru, manakala wanita berbaju kurung biru muda dan berkasut hitam.

Tindakan wanita itu yang sering menutup mulutnya, menimbulkan keraguan orang ramai yang terus menghubungi talian RakanCop. Maklumat itu kemudian dihebahkan Polis Kuala Lumpur menerusi stesen radio KLFM meminta orang ramai yang melihat pasangan itu, menghubungi polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata, polis perlu memeriksa kesahihan maklumat itu terlebih dulu bagi memastikan ia benar-benar dapat membantu siasatan kes.

“Kita tidak mahu percaya kepada maklumat yang tidak sahih. Kadang-kadang ada orang sengaja nak beri maklumat palsu supaya polis jalankan siasatan di tempat atau perkara yang salah.

“Jadi, kita akan siasat dulu maklumat itu dan kes berkenaan masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Sikap XIII di Dataran Bentong, Pahang semalam.

Sementara itu, Pengurus Kanan Bahagian Komunikasi Korporat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL), Katherine Chew, berkata pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis jika kakitangannya menerima maklumat berkaitan.

0 comments: