Tulang mayat masuk mahkamah

Oleh Amiruddin Harun, Norazlita Mohd. Sies dan Noor Azmah Ibrahim

SHAH ALAM 4 Okt. – Enam bahagian serpihan tulang yang dianalisis oleh Jabatan Kimia Petaling Jaya berhubung kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Serpihan tulang yang pemiliknya dicatat unknown (tidak diketahui) dan dimasukkan ke dalam enam bekas plastik lutsinar (setiap satu), dikemukakan oleh Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, Primulapathi a/l Jaya Krishnan, 54, selaku ahli kimia yang menjalankan analisis asid deoksiribonukleik (DNA).

Sambil membuka setiap satu bekas plastik tersebut yang diletakkan dalam sampul surat bertanda K5 hingga K10, Primulapathi memberitahu, ia mengandungi serpihan tulang tengkorak (skull bone) - P162A, tulang belakang serviks (cervical spine) - P163B.

‘‘Tulang lumbar (bahagian badan antara rusuk dengan pinggul)- P164, tulang punggung (pelvic bone) - P165B, tulang antara bahu dengan siku (humerus bone) - P166B dan tulang paha (femur bone) - P167B,’’ kata saksi tersebut.

Serpihan tulang-tulang berwarna coklat keperangan dan dapat dilihat dalam pelbagai bentuk serta saiz itu telah dianalisis oleh Primulapathi.

Bekas-bekas berisi tulang tersebut mempunyai metri Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.

Menyentuh mengenai tulang tengkorak (P162A), saksi menjelaskan bahawa pada asalnya beliau menerima seketul tulang (tengkorak) tetapi ia terpisah menjadi dua.

Diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin supaya menjelaskan mengapa tulang berkenaan boleh terpisah (terpecah), saksi itu berpendapat, ia mungkin disebabkan oleh proses membawa dan menghantar barang kes tersebut yang agak rapuh.

Terdahulu saksi memberitahu, beliau telah menerima 10 keping sampul surat berisi barang bukti tersebut daripada polis, 17 November 2006.

Setiap kali Noorin menunjukkan bekas plastik lutsinar (seperti balang kuih) kepada Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin dan para peguam, mata semua hadirin di galeri awam kelihatan tertumpu kepada bahan bukti tersebut.

Tidak terkecuali, tertuduh ketiga, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda turut memandang ke arah objek yang sama setiap kali tulang yang menjadi persoalan ditunjukkan.

Begitu juga, tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang duduk di dalam kandang tertuduh tidak ketinggalan memandang dari jauh.

Hakim Mohd. Zaki bertanya kepada Noorin: ‘‘Tulang-tulang ini tidak akan dikeluarkan daripada bekasnya bukan?’’

Noorin: ‘‘Ya. Yang Arif. Kami tidak akan mengeluarkan dari bekasnya.’’

Apabila sampul surat yang berisi bekas-bekas mengandungi tulang di dalamnya dipegang dan ditunjukkan kepada pihak-pihak di dalam mahkamah, kedengaran bunyi tulang tersebut seolah-olah ‘berlaga-laga.’

Primulapathi memberi keterangan selaku saksi ke-39, pada perbicaraan terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak pula didakwa bersubahat dengan mereka dalam pembunuhan itu di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2006.

Perbicaraan masuk hari ke-45 hari ini.

Menurut Primulapathi, selain serpihan tulang, beliau turut menerima barang-barang lain iaitu jam tangan warna perak berjenama Larmes Paris (P16), sepasang subang (P18) dan sebentuk cincin (P18).

Kesemua barang tersebut sebelum ini telah disahkan oleh saksi terdahulu sebagai barang-barang peribadi milik Altantuya Shaariibuu.

Selain tulang dan barang kemas, Primulapathi mengesahkan turut menerima sehelai jaket kulit berwarna hitam untuk tujuan analisis.

Pada 24 November 2006, Primulapathi menyatakan bahawa beliau telah meminta sampel rambut bertanda Z11A(ID170B) daripada ahli kimia, di bahagian jenayah forensik Jabatan Kimia, Petaling Jaya, Shaari Desa yang telah menerima dan menganalisis sampel tersebut terlebih dahulu untuk mengesan kehadiran unsur-unsur bahan letupan.

‘‘Saya meminta sampel rambut tersebut untuk membuat kajian berhubung kesan bahan letupan ke atas DNA yang terdapat pada helaian rambut. Kajian tersebut berdasarkan permintaan yang tidak rasmi,’’ kata Primulapathi.

Saksi memberitahu, pada 20 Mac lalu, beliau telah menerima sekeping sampul surat daripada Deputi Supritendan (DSP) Gan Tack Guan yang bertanda ‘‘GTG1’’ dan mempunyai metrai PRDM 298.

Di dalam sampul surat tersebut terdapat satu lagi sampul surat berwarna coklat yang ditulis sebagai ‘sampel yang diambil daripada Atlansetseg Sanjaa UB 013242 Ulan Bator Mongolia.’

Noorin memohon mahkamah membenarkan saksi membuka sampul berisi bahan tersebut.

Primulapathi: ‘‘Yang Arif. Terdapat di dalamnya sekeping kad FTA yang mempunyai tandatangan saya.’’

Noorin: ‘‘Apakah maksud FTA.’’

Primulapathi: ‘‘FTA ialah Fast Track Analysis iaitu kad yang boleh menyimpan darah untuk tempoh masa yang panjang dan ia boleh dianalisis dengan cepat.’’

Kad FTA tersebut kemudiannya ditandakan sebagai P173D.

0 comments: