Senarai harga minyak sepanjang zaman, bagaimanakah Hari Raya kita?

Azamin Amin
Fri | Oct 05, 07 | 3:15:39 pm MYT

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Hrkh) - Walapun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Dato' Seri Rafidah Aziz cuba bercakap merapu dan mengelabui mata rakyat yang kononnya industri tempatan telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku kenaikan harga gas pada masa depan, namun realiti yang bakal berlaku semakin menyesakkan masyarakat terutama di kala beban kos sara hidup semakin tinggi kini.

Cuba menenangkan suasana, Rafidah dilaporkan menasihati semua pihak termasuk pengguna bersikap realistik jika harga bahan bakar itu dinaikkan.

Menurutnya, sektor industri dan pengguna tempatan tidak boleh lagi berharap kerajaan akan terus menanggung subsidi petrol atau gas tanpa had, memandangkan harga bahan api kini terus meningkat.

"Mana ada kerajaan seperti ini (kerajaan Malaysia), masih menanggung subsidi petrol dan gas, walaupun harga bahan api itu telah meningkat.

"Cuba tengok negara-negara lain, mereka akan melepaskan semua kenaikan harga minyak kepada pengguna, tidak ada subsidi langsung seperti yang diberikan oleh kerajaan kita," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan butik mutiara Schoeffle, di pusat membeli belah Pavilion, di sini hari ini.

Begitulah antara petikan darpada mulut seorang menteri yang 'tengah seronok' merasmikan butik mutiara, yang dilihat tiada langsung bernada simpati mahupun cuba memberi jalan penyelesaian kepada keadaan yang semakin gawat bahkan menambah derita lagi terutama kepada rakyat yang semakin terhimpit kehidupannya kini.

Biarlah menteri dengan sifatnya begitu, marilah sama-sama rakyat mengisafi diri dan memberi pengajaran kepada menteri itu di peti undi suatu hari nanit.

Sekadar mencoret untuk tatapan umum, betapa selama ini harga minyak mengalami kenaikan yang semakin mendadak dan tidak ketahui sampai bila rakyat sanggup bertahan dengan situasi ini apabila melihat dan mendapat kesan kenaikannya selama 16 tahun :-

(dalam masa 16 tahun - sejak 1990)

1.sebelum tahun 1990 - RM 0.89

2.tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)

3.01/10/2000 - RM 1.20 (kenaikan RM 0.10)

4.20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)

5.01/05/2002 - RM 1.32 (kenaikan RM 0.02)

6.31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)

7.01/03/2003 - RM 1.35 (kenaikan RM 0.02)

8.01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)

9.01/10/2004 - RM 1.42 (kenaikan RM 0.05)

10.05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)

11.31/07/2005 - RM 1.62 (kenaikan RM 0.10) 12.28/02/2006 - RM 1.92 (kenaikan RM 0.30) 13. akan naik lagi dalam masa terdekat.....

Dan bagi menyedapkan hati rakyat dan cuba 'mengeksploitasikan' minda rakyat yang kabur, kerajaan lazimnya akan mengeluarkan kenyataan seumpama ini :-

Nota : (ayat - ayat standard)

1. Kenaikan minyak masih rendah berbanding mana2 pun negara ASEAN.

2. Kerajaan akan pastikan kenaikan tidak membebankan.

3. Kerajaan tidak mampu lagi menampung subsidi.

4. Kerajaan memberi jaminan harga runcit petroleum tidak akan dinaikkan lagi pada TAHUN INI.

Bagi rakyat Malaysia renung-renungkanlah, supaya suatu hari nanti bijak memilih pemimpin bestari.

Berikut adalah satu email daripada pembaca yang enggan dikenali yang mungkin boleh dijadikan rujukan, perbincangan, perbahasan dan membuat kesimpulan atas keadaan yang gawat yang berlaku dalam negara kita ini.

Saudara wartawan,

"Sekarang lebih murah naik kapal terbang Air Asia pergi balik dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu kerana tambang pergi balik Air Asia dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu tak sampai RM300 bagi tiga orang sekeluarga.

"Berbanding jalan darat. Sekarang dengan harga minyak yang sudah naik, belanja minyak sahaja nak pergi balik dari Kuala Lumpur ke Alor Setar sudah naik hingga RM220 (kereta Proton Waja). Bayar tol pula lebih RM120. Belanja makan dan minum (nasi campur dan teh kosong) bagi sekeluarga enam orang tambah lagi RM40. Ini bermaksud jumlah belanja minyak, tol dan makan minum pergi balik dari Kuala Lumpur ke Alor Setar hampir RM400." katanya.

Pasti kesannya lebih menyakitkan terutama di musim perayaan seperti Aidilfitri yang bakal menjelma.

0 comments: