Ahli kimia sahkan pemilik spesimen tulang anak kandung Shaariibuu

SHAH ALAM 5 Okt. - Ahli kimia yang menjalankan analisis mengesahkan bahawa profil asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperolehinya, menunjukkan pemilik cebisan spesimen dan serpihan tulang yang ditanda "unknown" (tidak diketahui) ialah anak kandung Setev Shaariibuu dan S. Altantsetseg.

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, Primulapathi a/l Jaya Krishnan, 54, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, kesimpulan tersebut dibuat setelah menjalankan analisis ke atas cebisan spesimen, serpihan tulang dan gumpalan rambut.

Hasil analisis mendapati, ia saling berpadanan antara satu sama lain dan ini menandakan ia daripada satu sumber yang serupa, kata pakar DNA itu.

“Penemuan kedua pula, DNA yang diperoleh daripada tisu badan spesimen berlabel "unknown" saling berpadanan dengan spesimen darah berlabel Altantsetseg, dan ini menunjukkan bahawa sumber adalah daripada keturunan sebelah ibu yang sama," jelas beliau.

Penemuan DNA ketiga yang diperoleh ialah kesan darah pada selipar, rambut dan kesan calitan berlabel K1 hingga K4 iaitu pada jam tangan jenama Larmes, anting-anting, cincin dan jaket hitam adalah sepadan dengan tisu badan spesimen berlabel "unknown".

DNA profil dalam penemuan yang keempat, kata saksi, iaitu sehelai rambut yang dijumpai di celah tempat duduk hadapan penumpang dalam jip Sirul Azhar Umar didapati berbeza dengan spesimen berlabel 'Setev Shaariibuu', 'S. Altantsetseg', 'Sirul Azhar', 'Abdul Razak', 'Azilah Hadri' dan 'Rohaniza Roslan'.

Pakar DNA tersebut memberitahu demikian ketika diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin supaya membentangkan hasil analisis yang dijalankan.

Primulapathi ialah saksi ke-39 memberikan keterangan pada perbicaraan terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar serta penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda.

Mereka didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak pula didakwa bersubahat dengan mereka dalam pembunuhan itu di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2006.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin akan bersambung pada Isnin dan Selasa ini. - Utusan

0 comments: