Diharuskan: Derma organ tidak bercanggah dengan ajaran Islam

PUTRAJAYA 5 Okt. - Umat Islam tidak harus ragu-ragu untuk menderma organ bagi membantu golongan yang malang kerana ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan adalah diharuskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Beliau berkata, sejak lebih 30 tahun lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan garis panduan yang mengharuskan pendermaan organ dilakukan dengan mengambil kira empat pertimbangan:

* Dalam keadaan mendesak bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya difikirkan berjaya;

* Dalam keadaan pemindahan jantung, penderma telah disahkan meninggal dunia;

* Tidak ada unsur perdagangan atau jual beli bagi organ itu;

* Kebenaran diperoleh daripada penderma sebelum pemindahan sebarang organ dalam kematian biasa, atau daripada anggota keluarga, jika kematian secara mendadak seperti kemalangan.

“Kita telah memfatwakan pemindahan jantung dan organ lain termasuk mata dalam muzakarah jawatankuasa fatwa pada 1 dan 2 Oktober 1970 dan telah dibincangkan lagi pada tahun 1973,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai masih wujud keraguan dalam kalangan sesetengah umat Islam mengenai pendermaan organ.

Pada Rabu malam, Tee Hui Yi, 14, yang bergantung kepada jantung mekanikal, telah menerima pemindahan jantung seorang remaja Melayu, yang meninggal dunia dalam satu kemalangan, setelah menunggu lebih setahun untuk mendapatkan jantung baru. - Bernama

0 comments: