Kes bunuh Altantuya: 12 lagi spesimen dikemuka di mahkamah

SHAH ALAM: Dua belas lagi spesimen termasuk serpihan tulang tengkorak dipercayai milik wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini semalam, untuk disahkan ahli kimia.

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, J K Primulapathi, berkata pada 17 November 2006, beliau menerima 10 sampul mengandungi spesimen daripada pegawai penyiasat kes itu, Asisten Superintendan Tonny Anak Lunggan di pejabatnya di Jabatan Kimia Petaling Jaya.

"Spesimen itu adalah jam tangan jenama Lames, sepasang subang, cincin (barangan kemas milik mangsa), jaket kulit hitam dan enam serpihan tulang iaitu di bahagian tengkorak, tulang belakang serviks, paha, antara rusuk dan pinggul, pinggang serta antara bahu dan siku," katanya.

Saksi pendakwaan ke-39 itu berkata, pada 24 November 2006, beliau meminta sampel rambut daripada ahli kimia di Bahagian Jenayah Jabatan Kimia Petaling Jaya, Shaari Desa yang sebelum itu melakukan analisis mengenai kewujudan bahan letupan, bagi kes sama.

"Saya perlukan sampel itu untuk mengkaji kesan bahan letupan pada DNA rambut dan kajian dibuat secara tidak rasmi. Saya mengambil beberapa helai rambut daripada sampel segumpal rambut yang disimpan dalam botol.

"Beberapa helaian rambut itu juga habis digunakan untuk membuat analisis dalam kajian saya," katanya.

Kelmarin, 29 spesimen termasuk rangka, tulang, tisu badan dan rambut dan sampel darah dikemukakan di mahkamah.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin, Primulapathi berkata pada 23 Mac tahun ini, beliau menerima satu sampul daripada Deputi Superintendan Gan Tack Guan yang mengandungi sampel darah ibu mangsa, Altansetseg Sanjaa yang diperoleh oleh Polis Mongolia.

"Sampel darah itu disimpan dalam kad FTA yang dapat menyimpan sampel darah dalam tempoh masa yang lama dan boleh dianalisis dengan cepat," katanya.

Primulapathi juga mengesahkan semua sampul berisi spesimen yang diterimanya daripada Tonny dan Gan adalah bertutup, dicap serta dimeterai dengan pelekat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur dan Jabatan Forensik PDRM.

Katanya, beliau menyimpan semua bahan bukti berkenaan di dalam penyejuk beku.

"Bahan bukti kes lain juga disimpan di tempat sama, bagaimanapun bagi bahan bukti untuk kes ini ia dibungkus dalam satu beg plastik besar bertutup dulu sebelum ditempatkan dalam penyejuk beku," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.

0 comments: