97 mangsa tsunami dapat rumah baru

Oleh Wan Najib Wan Daud


OMAR Noor bersama isterinya, Zarina Ramli serta lima orang anaknya melihat pemandangan luar di pangsapuri Masjid Terapung untuk mangsa tsunami di Tanjung Bunga, Pulau Pinang, semalam. – Gambar SHAMSUDIN SALEH.

PULAU PINANG 9 Okt. – Hasrat 97 mangsa tsunami untuk berhari raya di rumah baru di pangsapuri Masjid Terapung Tanjung Bungah di sini akhirnya tercapai walaupun terpaksa melalui pelbagai masalah sebelum ini.

Namun, semua masalah itu ‘lenyap’ selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan kerajaan negeri menyegerakan penyerahan kunci kepada semua mangsa dua hari lalu.

Hari ini, kegembiraan jelas terpancar pada wajah semua mangsa tsunami itu apabila mereka mendapat kunci rumah masing-masing, sekali gus menamatkan igauan hampir tiga tahun mendiami rumah sementara.

Dengan keluasan 260 meter persegi, mempunyai tiga bilik tidur serta mengadap ke laut, mangsa-mangsa tsunami itu kini boleh mula menghias rumah untuk menyambut Syawal dalam keadaan lebih selesa.

Bagi pesara polis, Md. Isa Samad, 66, penerima pertama kunci rumah itu berkata, tiada apa yang hendak diucapkan melainkan syukur kepada Allah selepas hampir tiga tahun berteduh di rumah sementara yang serba kekurangan.

“Saya dan isteri serta anak-anak mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak berkuasa yang akhirnya membenarkan kami semua masuk ke rumah baru walaupun terlambat sebagaimana dijanjikan sebelum ini,” katanya ketika ditemui sempena majlis undian dan serah kunci di pangsapuri itu di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum memikirkan untuk berhari raya di rumah baru kerana pelbagai urusan harus diselesaikan terlebih dahulu.

Majlis undian dan penyerahan kunci dilakukan oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB), Pejabat Daerah Timur Laut dan Majlis Keselamatan Negeri Pulau Pinang.

Dalam majlis itu juga, setiap mangsa yang menerima kunci rumah turut diberi wang ihsan perpindahan dari Tabung Bencana Yang Dipertua Negeri sebanyak RM1,000.

Pangsapuri yang terletak bersebelahan Masjid Terapung Tanjung Bungah mempunyai dua blok 68 unit dan 32 unit dan semua mangsa hanya perlu membayar RM50 sebulan seperti yang dijanjikan.

Seorang jururawat, Zaleha Taib, 55, berkata, sambutan hari raya kali ini amat bermakna baginya kerana selepas sekian lama tinggal di rumah sementara akhirnya mereka dapat juga menetap di rumah baru.

Katanya, walaupun ada pelbagai masalah timbul dan pelbagai versi cerita didengarnya, namun ia tidak mematahkan semangat keluarganya menunggu rumah baru sebagaimana yang dijanjikan.

“Pada awalnya pelbagai cerita yang didengar, malah ada pihak mendakwa rumah itu akan diberi percuma tetapi apa yang ditawarkan oleh kerajaan sudah cukup memadai buat saya sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, pengawal keselamatan Mohd. Azmi Elias, 48, berkata, walaupun terdapat sedikit kekecohan di awal majlis pengundian itu akhirnya kesemua mangsa yang terlibat bersetuju untuk menerima tawaran.

Ini kerana, katanya, di awal majlis itu, pihak berkuasa hanya mahukan pengundian dijalankan untuk penghuni blok A sahaja manakala blok B diperuntukkan untuk kes khas sahaja dan ia dibantah oleh semua dan akhirnya terpaksa akur dengan semua rumah dijalankan pengundian.

“Saya mengucapkan syukur kerana dapat juga tinggal di rumah ini. Pastinya saya mahukan keselesaan untuk keluarga dan mungkin akan berhari raya di rumah baru tahun ini,” katanya.

Bagi Low Eng Teik, 44, antara penduduk asal di situ turut melahirkan kegembiraan kerana mendapat kunci rumah dan memasuki rumah baru.

Sebagaimana rakan-rakannya yang lain, beliau turut gembira dapat merasa rumah baru selepas rumah lamanya dilanda tsunami.

“Terima kasih kerana prihatin dengan masalah kami semua dan berharap kami semua akan dapat hidup dan tinggal dengan lebih sempurna,” katanya.

0 comments: