Kes bunuh Altantuya: 70 barang ditemui di lokasi bunuh

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

Saksi beritahu tugas menganalisis senjata api, bahan berkaitan seperti kelongsong peluru

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu Jabatan Kimia Malaysia menerima 70 barang antaranya senjata api, kelongsong peluru, bahan letupan dan spesimen yang dijumpai di tempat pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu di Puncak Alam sini, untuk dianalisis.

Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alatan Seksyen Jenayah, Bahagian Forensik jabatan itu, Shaari Desa, 40, berkata beliau menerima semua 70 barang dalam 69 sampul surat dan satu bungkusan daripada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan (ASP) Tonny anak Lunggan pada 17 November tahun lalu.

Saksi ke-40 pendakwaan itu berkata, bagi set pertama, Tonny meminta beliau melakukan analisis terhadap senjata api dan bahan berkaitan seperti kelongsong peluru.

Katanya, bagi set kedua pula, beliau diminta melakukan ujian perbandingan terhadap tanah yang dijumpai pada tayar kenderaan dan bahan spesimen lain yang dijumpai di tempat kejadian di kawasan Puncak Alam.

Bagi set ketiga, Tonny meminta beliau melakukan ujian perbandingan bahan letupan dan beberapa spesimen lain dihantar bersamanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin pada sesi pemeriksaan utama, Shaari berkata 68 sampul dan bungkusan yang diterimanya bertanda Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala satu sampul tidak bertanda.

Semua barang kes itu belum dikemukakan di mahkamah untuk ditanda sebagai bahan bukti kerana pihak pendakwaan memerlukan masa untuk menyusun aturannya.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membenarkan permohonan Noorin supaya barang kes dibuka dan ditanda apabila mahkamah kembali bersidang pada 22 Oktober ini.

Terdahulu, Shaari yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam ujian senjata api, memberitahu mahkamah antara bidang tugasnya adalah menerima, menganalisis dan mengeluarkan laporan bagi kes berkaitan senjata api, bahan letupan, kebakaran, bahan surihan dan kes kemalangan atas permintaan polis.

Beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kepujian dalam bidang kimia daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1991, turut menjadi ahli kepada Institut Kimia Malaysia dan pernah mengikuti kursus berkaitan bahan letupan di dalam dan luar negara.

Noorin: Adakah kamu juga melakukan ujian dan analisis untuk balistik?

Shaari: Jabatan Kimia hanya melakukan ujian mengenal pasti senjata api, bukannya balistik.

Noorin: Maksud kamu?

Shaari: Untuk mengenal pasti apa yang dikeluarkan oleh sesuatu senjata api dan sama ada ia dikeluarkan oleh senjata api yang spesifik.

Noorin: Ini bukan dikatakan balistik?

Shaari: Bukan.

Noorin: Kamu sendiri melakukan ujian mengenal pasti senjata api itu?

Shaari: Ya.

Noorin: Sepanjang kamu bertugas di Jabatan Kimia, berapa banyak ujian persenjataan dan bahan letupan yang sudah kamu lakukan?

Shaari: Bagi senjata api lebih kurang 30 kes setahun, manakala bagi kes bahan letupan mungkin satu atau dua kes setahun.

Terdahulu, saksi ke-39 pendakwaan, J K Primulapathi, ketika disoal Noorin dalam pemeriksaan semula, mengulangi keterangannya sebelum ini bahawa profil DNA mungkin tidak dapat diperoleh daripada spesimen tisu manusia yang terdedah kepada kepanasan, haba atau radiasi.

Primulapathi berkata, berdasarkan analisis spesimen dalam kes pembunuhan Altantuya, beliau berjaya memperoleh profil DNA daripada satu sampel tisu dan serpihan tengkorak mangsa.

Beliau bagaimanapun gagal memperoleh profil DNA daripada enam sampel tisu lain termasuk serpihan tulang dan tulang peha milik mangsa.

Menjawab soalan Noorin sama ada semua sampel tisu atau serpihan tulang mangsa itu terdedah kepada kepanasan melampau, suhu atau radiasi, Primulapathi berkata, beliau tidak tahu apakah keadaan semua spesimen sebelum diserahkan kepadanya.

Noorin: Jaket kulit hitam (dipercayai dimiliki tertuduh kedua Koperal Sirul Azhar Umar) dikesan hanya mempunyai DNA orang lain (Altantuya) padanya. Apakah penjelasan kamu?

Primulapathi: Ada kemungkinan pengguna kedua (Altantuya) memegang atau memakai jaket itu, manakala profil DNA pemilik tidak ditemui pada jaket kerana kemungkinan ia sudah dibasuh atau dibersihkan sebelum dipegang oleh pengguna kedua.

Perbicaraan di hadapan Mohd Zaki bersambung 22 Oktober ini.

0 comments: