Angkasawan Malaysia mampu laksana misi: PM

Oleh Wan Hazmir Bakar dan Azrina Ahzan


UNTUK RAKYAT: Abdullah menunjukkan 'Investing In Iskandar' sambil diperhatikan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Datuk Ikmal Hijaz Hashim (kanan) selepas mempengerusikan mesyuarat Wilayah Pembangunan Iskandar di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Dr Sheikh Muszaphar dipilih kerana merit, mampu buat kajian

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, yang dipilih sebagai angkasawan Malaysia pertama dapat melaksanakan tugas dengan baik dalam misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) malam ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada doktor bedah ortopedik itu, Perdana Menteri berkata, beliau dan seluruh rakyat gembira dengan kejayaan Dr Sheikh Muszaphar.

"Saya ucapkan tahniah. Saya amat gembira kerana orang kita dipilih untuk menyertai misi khas ke angkasa. Saya harap beliau akan melakukan dengan baik dan saya yakin sebagai finalis misi itu, beliau mampu melaksanakan tugas yang diberikan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Abdullah diminta mengulas pengumuman pemilihan Dr Sheikh Muszaphar oleh Jawatankuasa Pemilihan Angkasawan Agensi Angkasa Russia (Roscosmos) sebagai angkasawan pertama Malaysia untuk misi ISS dari Kazakhstan.

Dr Sheikh Muszaphar akan berlepas bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko, dari tapak pelancaran Baikaonur Cosmodrome pada jam 7.21 malam waktu tempatan (9.21 malam waktu Malaysia).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula berkata, pemilihan Dr Sheikh Muszaphar berdasarkan merit, iaitu kesesuaian dan kemampuannya menjalankan tanggungjawab sebagai angkasawan.

"Kita memilih angkasawan berdasarkan merit, iaitu kesesuaian dan kebolehan serta untuk membuat kajian saintifik... jadi tidak timbul soal lain," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing, di sini, semalam.

Di SEREMBAN, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa bangga atas pemilihan Dr Sheikh Muszaphar Shukor sebagai angkasawan pertama Malaysia.

"Kita bangga sebab Dr Sheikh Muszaphar ialah seorang anak Malaysia (dan anak) kelahiran Negeri Sembilan yang pertama dipilih sebagai angkasawan untuk misi ke angkasa lepas esok (malam ini)," katanya.

Beliau berkata sebagai anak kelahiran Negeri Sembilan, sudah pastinya beliau dan rakyat negeri itu gembira dengan apa yang berjaya dicapai oleh Dr Sheikh Muszaphar.

"Kita berharap beliau tabah menghadapi cabaran dan kami semua berdoa agar beliau selamat berjaya dalam misi berkenaan," katanya.

0 comments: