Keadaan asal spesimen tisu tidak diketahui – Saksi

SHAH ALAM 9 Okt. – Seorang ahli kimia memberitahu perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak mengetahui bagaimana keadaan asal spesimen tisu dan tulang sebelum analisis dibuat terhadap barang-barang bukti tersebut.

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia, Petaling Jaya, Primulapathi Jaya Krishnan, 54, berkata, beliau tidak tahu sama ada spesimen tisu dan tulang tersebut telah terdedah kepada suhu panas, terbakar atau terdedah kepada radiasi.

Beliau yang menjalankan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas barang-arang bukti tersebut berkata, profil DNA tidak akan dapat dikesan daripada tisu badan yang telah terdedah kepada keadaan-keadaan sedemikian tetapi dalam kes bunuh itu, profil DNA telah dikesan pada satu sampel tisu (T5) dan tulang tengkorak (K5).

Menurutnya, profil DNA bagaimanapun tidak dapat dikesan pada enam sampel tisu yang lain (T6 hingga T10), seketul tulang (T18) dan tulang humerus (K10).

(Dalam keterangannya sebelum ini, Primulapathi menyatakan beliau telah memperoleh profil DNA dalam ujian yang dibuat terhadap tulang tengkorak dan mengesahkan pemilik profil itu mempunyai pertalian biologi dengan penyumbang sampel darah berlabel Setev Shaariibuu dan Altantsetseg Sanjaa.)

Saksi pendakwa ke-39 itu berkata demikian ketika meneruskan keterangan semasa disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin pada perbicaraan kes bunuh Altantuya yang masuk hari ke-48 hari ini.

Primulapathi turut disoal semula mengenai tindakannya yang tidak membuat ujian DNA terhadap tulang belakang serviks, tulang lumbar (antara rusuk dengan pinggul), tulang punggung dan tulang humerus (tulang antara bahu dengan siku) dengan alasan ia ditemui di tempat kejadian yang sama.

Jelas beliau, pakar patologi forensik dari Hospital Kuala Lumpur, Dr. Mohd. Shah Mahmood juga telah memaklumkan kepadanya bahawa melalui pemeriksaan pakar berkenaan, tulang-tulang tersebut adalah milik seorang sahaja mangsa.

Menurutnya, tulang-tulang itu telah diperiksa oleh Mohd. Shah sebelum diserahkan kepada beliau.

Mengenai jaket kulit hitam (milik tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar) yang mengandungi profil DNA orang lain (Altantuya), Primulapathi berkata, ia boleh berlaku sekiranya orang tersebut ada memakai atau memegang jaket berkenaan.

Beliau menjelaskan, profil DNA pemilik jaket tidak ditemui pada pakaian tersebut menunjukkan bahawa kemungkinan jaket berkenaan telah dibasuh atau dibersihkan sebelum diserahkan kepada orang lain.

0 comments: