Tindakan tegas sebar gambar bedah Nurin

Oleh RUHAIDINI ABD KADIR

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan gambar proses bedah siasat mayat kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin, 8, menerusi Internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, mereka yang didapati melakukan perbuatan tersebut boleh didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Tegasnya, mereka yang menyebarkan gambar-gambar itu juga boleh didakwa di bawah Seksyen 292 dan 293 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

‘‘Polis akan menjalankan siasatan terperinci untuk mencari pihak yang bertanggungjawab menyebarkan gambar kanak- kanak malang itu.

‘‘Tindakan tegas ini tidak terkecuali kepada mana-mana anggota atau pegawai polis jika mereka didapati terlibat (menyebarkan gambar-gambar itu),’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Khalid yang mengakui melihat gambar-gambar itu tengah hari ini berkata, beliau secara peribadi berasa marah dan kesal dengan sikap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkannya.

‘‘Saya memandang serius mengenai perkara ini dan kita akan siasat dari semua sudut. Justeru saya telah arahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya (Asisten komisioner Arjunaidi Mohamad) membuat laporan polis berhubung perkara ini,’’ tegasnya.

Menurut Khalid, laporan polis dan siasatan berhubung kes itu membolehkan polis mengheret pihak yang tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Usaha mencarinya di Kuala Lumpur dan beberapa negeri selama sebulan tidak membuahkan hasil.

Selepas 27 hari kehilangannya, polis menemui mayat seorang kanak-kanak yang disumbat di dalam sebuah beg dalam keadaan berbogel di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini pada pukul 8.30 pagi.

Ibu bapa mangsa, Norazian Bistamin dan Jazimin Abdul Jalil pada mulanya menafikan mayat kanak-kanak itu Nurin Jazlin yang rambutnya telah dipotong pendek, tubuhnya kurus kering dan mengalami kecederaan akibat deraan seksual.

Empat hari selepas itu, ujian DNA yang dijalankan mengesahkan mayat tersebut ialah Nurin Jazlin.

0 comments: