Syor undang-undang lindungi saksi ke Kabinet

Oleh Amin Ridzuan Ishak

KUALA LUMPUR: Cadangan memberi perlindungan kepada saksi yang memberi maklumat mengenai sesuatu kes akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini bagi membolehkannya diperkenalkan sebagai satu undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata beliau akan cuba meyakinkan Kabinet bahawa pemberian perlindungan kepada saksi sememangnya wajar.

Katanya, beliau akan menggariskan beberapa faktor pentingnya pengenalan undang-undang baru ini dalam memudahkan pihak berkuasa menyelesaikan sesuatu kes.

"Bagi saya, memberi perlindungan kepada saksi ini adalah perkara biasa, malah permintaan cukup banyak tapi ia hanya terhad kepada beberapa akta seperti Akta Dadah Merbahaya, Akta Badan Pencegah Rasuah dan Akta Anti Perdagangan Manusia.

"Selain itu, pengenalan akta ini wajar kerana macam mana kita hendak selesaikan kes jika tiada sumber yang mempunyai bukti asli yang berani tampil memberi maklumat. Inilah faktor kenapa kita hendak memperkenalkannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan pemberian sumbangan kepada 140 anak yatim dari Rumah Kebajikan Asrama Damai, Kuang di sini, semalam.

Isu perlindungan saksi timbul selepas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu supaya kerajaan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dalam kes klip video selama lapan minit yang memaparkan visual seorang peguam berbincang di telefon mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara pada 2002.

Nazri berkata, pengenalan akta itu akan meliputi kepada semua pihak, termasuk parti pembangkang kerana sebahagian hak orang ramai meminta perlindungan bagi menyelesaikan sesuatu kes.

"Kalau Anwar mahu saksi yang memberikan maklumat mengenai kes video ini diberikan perlindungan, kita sedia beri perlindungan kepada mereka," katanya.

Katanya, perkara ini sudah dicadangkannya sejak setahun lalu, malah perkara berkenaan sudah dibawa kepada Peguam Negara untuk diwujudkan akta atau undang-undang sedemikian.

0 comments: