Saintis negara giat sedia bahan kajian



MOHON KEBERKATAN: Ibu bapa Dr Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor (kiri), Datin Zuraida Datuk Sheikh Ahmad (kiri belakang) dan ibu bapa Dr Faiz, Khaleed Abdullah dan Mazenah Mohamad berdoa untuk kejayaan anak mereka sebaik tiba di hotel penginapan di Moscow, malam tadi.

Dr Sheikh Muszaphar kaji sains hayat, perubatan angkasa lepas

KETIKA kakitangan Agensi Angkasa Russia sibuk dengan persiapan terakhir menjelang pelancaran kapal angkasa Soyuz TMA-11 ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), malam ini, saintis Malaysia juga giat menyediakan pelbagai bahan kajian untuk angkasawan pertama negara.

Pengarah Bahagian Bioteknologi Kebangsaan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Noor Embi, berkata selain angkasawan dan agensi angkasa Russia yang membuat persiapan akhir, saintis Malaysia yang akan menghantar kajian mereka ke ISS turut sibuk semalam.

Katanya, ia berikutan mereka terpaksa menyelesaikan persiapan akhir dengan memasukkan semua modul kajian dalam rak yang sudah disediakan dalam kapal angkasa Soyuz TMA-11 untuk dibawa dan diuji di angkasa lepas.

"Angkasawan kita dihantar ke angkasa lepas untuk membuat beberapa kajian saintifik dalam bidang sains hayat dan perubatan angkasa lepas. Dalam bidang sains hayat, angkasawan akan membuat kajian mengenai sel di angkasa yang penting untuk kita ketahui mengenai sel kanser, mikrob dan proses pengkristalan protein di angkasa.

"Dalam bidang perubatan angkasa lepas, kita akan mengkaji tahap kesihatan angkasawan ketika dan selepas penerbangan merangkumi aspek fizikal dan psikologi," katanya dalam taklimat kepada media di sini, semalam.

Terdahulu, malam kelmarin, kakitangan Kedutaan Malaysia di Moscow mengadakan solat hajat dan doa selamat supaya penghantaran angkasawan pertama berjalan lancar.

Sementara itu, Bernama melaporkan, abang Dr Sheikh Muszaphar, Sheikh Ahmad berkata, keluarga angkasawan pertama negara itu bangga tetapi pada masa sama tidak dapat mengelak daripada bimbang terhadap keselamatannya dalam misi berkenaan.

Katanya, beliau bangga kerana nama Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha akan terpahat dalam lipatan sejarah sebagai angkasawan pertama Malaysia, selepas pemilihan adiknya diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, semalam.

Bagaimanapun katanya, beliau yakin Dr Sheikh Muszaphar adalah calon pilihan yang tepat menyertai pelancaran ke angkasa lepas malam ini dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) di Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan.

Dr Sheikh Muszaphar, 35, seorang pakar bedah ortopedik dari Seremban, mengikuti misi orbital bersama Komander Peggy Whitson dan jurutera penerbangan Russia, Yuri Malenchenko.

0 comments: