Senjata api antara 70 barang kes dianalisis

Oleh AMIRUDDIN HARUN dan NORAZLITA MOHD. SIES


Shaari Desa.

SHAH ALAM 9 Okt. – Sejumlah 70 barang kes antaranya senjata api, kelongsong peluru dan bahan letupan berhubung kes pembunuhah Altantuya Shaariibuu telah diterima oleh seorang ahli kimia untuk dianalisis dan ujian perbandingan.

Shaari Desa, 40, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, tiga set barang kes dalam 69 sampul surat dan satu bungkusan itu diterima olehnya daripada pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Tonny Lunggan kira-kira pukul 3 petang, 17 November tahun lalu.

Beliau yang merupakan Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat di Seksyen Kriminalistik, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia, Petaling Jaya berkata, set pertama barang kes diserahkan kepadanya untuk beliau menjalankan analisis terhadap senjata api dan juga bahan-bahan yang berkaitan dengan senjata api.

Set kedua, katanya, diterima bagi tujuan ujian terhadap tanah yang dijumpai pada tayar kenderaan dengan spesimen tempat kejadian manakala set ketiga adalah untuk ujian perbandingan bahan-bahan letupan dengan spesimen yang dihantar bersama.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin pada perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia itu yang dihadapi oleh Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar.

Mereka didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Bungkusan

Kedua-dua tertuduh itu dibicara bersama penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

Perbicaraan masuk hari ke-48 hari ini.

Menyambung keterangannya, Shaari berkata, ketika diserahkan, 68 sampul surat dan satu bungkusan tersebut telah sedia bertanda dan bermeteri Polis Diraja Malaysia (PDRM) 298 sementara satu sampul surat pula tidak bermeteri.

Beliau yang bertugas menerima, menganalisis dan mengeluarkan laporan bagi kes-kes berkaitan senjata api, bahan letupan, kebakaran, bahan surihan dan kemalangan berkata, sebaik menerima tiga set item Borang Pol 31 itu, beliau telah mengeluarkan sekeping resit rasmi mengandungi 12 muka surat untuk diserahkan kepada Tonny.

Apabila tiba saatnya saksi pendakwa ke-40 itu dikehendaki membuka sampul-sampul surat berkenaan ketika jam tepat pukul 12 tengah hari, Noorin meminta pandangan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin sama ada perlu ia dibuka pada waktu itu atau selepas cuti Hari Raya Aidilfitri memandangkan jumlahnya yang banyak.

Hakim Mohd Zaki sambil tersenyum bertanya: “Bukan besok?"

Noorin dengan bersahaja menyatakan bahawa esok beliau telah pun pulang ke kampung. Jawapan pendakwa raya itu mencetuskan gelak ketawa orang ramai dari galeri awam.

Noorin berkata, sekiranya mahkamah ingin meneruskan perbicaraan hari ini, beliau memohon penangguhan seketika bagi membolehkannya menyusun bahan-bahan bukti itu supaya lebih teratur.

Noorin: “Tetapi kalau lepas raya, (bahan-bahan bukti yang disusun) lagi teratur.”

Hakim Mohd. Zaki kemudian bertanya sama ada sampul-sampul surat dan bungkusan yang dibuka akan disimpan oleh pihak mahkamah dan adakah bahan-bahan letupan sebahagian daripada bahan bukti tersebut.

Noorin menjelaskan bahawa terdapat bahan letupan dalam senarai bahan bukti terbabit dan sampul-sampul surat serta bungkusan tersebut apabila dibuka akan diserahkan untuk jagaan pihak mahkamah.

Mendengar penjelasan Noorin, Hakim Mohd. Zaki bersetuju supaya sampul-sampul surat dan bungkusan tersebut dibuka apabila perbicaraan disambung semula pada 22 Oktober ini, selepas cuti sempena Hari Raya Aidilfitri.

0 comments: