Ekspresi tiga seniman

Ekspresi tiga seniman

Rasa Unmasked menggabungkan kisah cinta, gerak tari dan muzik klasikal India dan Jawa yang dipersembahkan dengan sentuhan kontemporari. Pementasan itu mahu diangkat sehingga ke bumi Australia dan India.




DENGAN penuh ekspresi, tubuh para penari ini meliuk lintuk mengikut alunan ritma muzik tradisional yang berkumandang.

Tubuh mereka disimbah dengan cahaya lampu sorot berwarna kuning. Dengan persalinan kostum rekaan kontemporari yang terhasil daripada gabungan elemen Jawa, Mak Yong dan India, keasyikan para penari ini yang tenggelam dalam kemerduan muzik dapat diserap oleh setiap audiensnya.

Jangan salah sangka, ini bukannya tarian klasik India secara total. Tetapi, ia adalah satu persembahan tarian yang turut terkandung di dalamnya unsur silat dan pergerakan tarian Jawa. Sementara itu, irama muziknya pula menerima pengaruh karnatik India dan unsur gamelan.

Dipentaskan di KLPac, Rasa Unmasked adalah hasil karya persembahan kontemporari. Ia berteraskan kepada ciri-ciri tarian tradisional dengan tatabahasa tariannya diperoleh daripada Bharata Natyam, Odissi dan Kuchipudi.


DARI kiri: Alex Dea, Anandavalli dan Ramli Ibrahim merintis seni klasikal untuk menzahirkan pelbagai rasa.


Harus diakui, bukan semua mampu menghadam naskhah seni sebegini dengan penuh selera. Namun, bagi mereka yang datang menonton, tempoh masa 80 minit itu dirasakan cukup dramatik untuk menzahirkan ekspresi pelbagai rasa yang dihidangkan.

Tanpa sebarang jalan cerita, Rasa Unmasked terhasil daripada kolaborasi tiga insan perintis seni klasikal dalam konteks kontemporari yang cukup hebat. Siapa tidak kenal Ramli Ibrahim, pereka tari serta penari tarian klasik India yang juga pengasas Sutra Foundation dan Sutra Dance Theatre.

Jelas Ramli, idea dan perancangan tarian itu sudah lama disuarakan. Mengolah inspirasi daripada Teori Rasa karya Natya Sastra, Ramli lantas bekerjasama dengan rakan-rakannya.

Siapa lagi kalau bukan Anandavalli dari Lingalayam Dance Company, Australia, ahli muzik etnik/komposer, Alex Dea dan pereka set/lampu, Sivarajah Natarajan.


DIPENTASKAN di KLPac, Rasa Unmasked adalah hasil karya persembahan kontemporari.


"Rasa diambil daripada kata asal Sanskrit iaitu rasa atau emosi. Saya gunakan banyak perkataan dan istilah bahasa Melayu yang diangkat daripada bahasa Sanskrit. Ini kerana di dalamnya mengandungi unsur seni seperti raga, lagu, luka dan sebagainya.

"Pemilihan perkataan Rasa cukup simbolik. Ia menggambarkan membuka topeng yang dipakai untuk merasai rasa. Secara asasnya, air muka diambil daripada perkataan bawa atau pembawaan. Maksudnya, apabila topeng itu dibuka, kita tunjukkan rasa," kata Ramli sambil memberitahu persembahan itu melibatkan seramai 14 orang penari.

Kenapa Rasa? Dalam konteks sastera India, masyarakatnya telah menganalisis rasa sebagai salah satu teori perkataan estetik. Malah, rasa menerangkan pelbagai makna. Ini membawa erti, jika anda seorang penghibur, penonton mesti dapat merasai rasa tersebut.


UNTUK Rasa Unmasked, Ramli Ibrahim telah menganalisis sembilan spektrum emosi manusia iaitu cinta berahi, wira, simpati, takjub, kegembiraan, jijik, takut, amarah dan kesejahteraan.


Tegas Ramli, itulah kriteria yang mesti ada jika hendak membuat persembahan. Justeru, untuk Rasa Unmasked, dia telah menganalisis sembilan spektrum emosi manusia iaitu cinta berahi (sringara), wira (veera), simpati (karuna), takjub (adbhuta), kegembiraan (hasya), jijik (bibhatsa), takut (bhaya), amarah (raudra) dan kesejahteraan (shanta) untuk diketengahkan.

Dalam produksi ini, Ramli dan rakan-rakannya mengeksplorasi semua perasaan tersebut, sekali gus menggunakan rasa sebagai temanya.

Tidak terhad di Malaysia (KLPac dan Pulau Pinang), Rasa Unmasked turut menemui khalayak pencinta seni di Sydney Opera House, Australia, Singapura, Banglore dan Chennai, India.

Dengan kos keseluruhan produksi mencecah setengah juta ringgit, cabaran terbesar buat Ramli adalah untuk mendapatkan dana, terutamanya di Malaysia.

Kekangan itu membuatkan perancangan yang telah disusun agak sukar dilaksanakan. Sementara cabaran dari segi artistiknya pula sangat mengujakan.

Bagi Ramli, Rasa Unmasked memberi peluang unik untuknya menggabungkan cinta serta penyelidikan terhadap muzik klasikal India dan Jawa.


ALEX DEA menyimpan impian untuk mempunyai beberapa orang pemain muzik Jawa.


Apatah lagi teori rasa itu yang cukup tersohor dalam seni India. Walaupun agak tersembunyi, ia turut diaplikasikan dalam kesenian Jawa.

Ditanya tentang elemen penting atau perbendaharaan tarian yang ada dalam hasil kerja seni ini, Anandavalli ada jawapannya.

"Ramli mempunyai latar belakang dalam seni tarian Odissi, Bharata Natyam dan tarian kontemporari. Sedangkan saya lebih tertumpu kepada Bharata Natyam dan Kuchipudi.










PERSEMBAHAN ini boleh diterjemahkan sebagai satu tarian kontemporari yang lahir daripada akar tarian etnik tradisional.


"Jadi, bahasa tarian dan muzik yang lahir daripada gaya-gaya tarian tadi mengalami evolusi dan tidak terhad dalam struktur asalnya. Ia juga boleh diterjemahkan sebagai satu tarian kontemporari yang lahir daripada akar tarian etnik tradisional.

"Muzik memainkan peranan penting dalam merencanakan pergerakan dan gaya tarian. Justeru, muzik unik gubahan Alex bersama Aruna dan Bala yang memasukkan bunyi gamelan, vokal karnatik dan percussion (alat muzik) India telah berjaya menambah inspirasi kepada aspek koreografi," katanya panjang lebar.

Alex mengakui, mencipta situasi bunyi untuk sembilan rasa bagi dihayati oleh penari dan audiens bukanlah mudah. Namun, dia banyak dibantu oleh pengetahuan Aruna dalam muzik raga serta kemahiran ritma utara dan selatan India yang ada pada Bala.

Alex tidak menyembunyikan rasa bertuah kerana berpeluang bekerjasama dengan sekumpulan penari terlatih dan jurutari berpengalaman.

Biarpun begitu, lelaki beruban itu tetap menyimpan impian untuk mempunyai beberapa orang pemain muzik Jawa demi menyempurnakan lagi vokal hebat Aruna Parthibhan dan pemain muzik, Bala Sankar.

"Muzik akustik secara langsung telah berjaya membawa tarikan yang tidak terduga. Walaupun Rasa Unmasked lebih fokus kepada muzik konvensional, akan tetapi ada melodi dan ritma karnatik India.

"Selain itu, alunan mainan muzik gamelan oleh Sri Hartono dari Istana Mangkunegaran yang direkod lebih awal membuatkan saya yakin kami berjaya memukau setiap telinga yang mendengarnya," jelas Alex.

Bertanggungjawab menyiapkan set, penataan cahaya dan kostum, Sivarajah Natarajan menyatakan bahawa dia mengambil peranan itu sewaktu perbincangan konsep masih di peringkat awal. Jadi, dia sempat membuat kajian dan mengemukakan idea tentang penataan cahaya dan pembinaan set.

Disebabkan bajet dan kekangan ketika berpindah randah, tiada set yang dihasilkan secara khusus pada awalnya. Sebaliknya, hanya lampu akan digunakan sepenuhnya. Bagaimanapun, Ramli bertegas mahu menggunakan set di KLPac memandangkan tempoh tayangan yang lama.

"Saya mula berfikir tentang reka bentuk set yang mudah dibawa ke sana dan ke sini. Setelah meneroka beberapa konsep, akhirnya saya datang dengan idea set berbentuk abstrak yang terbuka untuk diterjemahkan penonton.

"Rekaan ini mendominasi ruang. Ia boleh terdiri daripada daun paku pakis kering yang besar atau tulang dinasour. Set ini merupakan metafora yang boleh diinterpretasikan sebagai pokok kehidupan dan berkembang dalam persembahan tersebut.

"Kostum asas direka oleh Ramli dan Guna. Manakala prop utama, hiasan kepala dan aksesori, saya yang merekanya. Terdapat rasa seperti 'Wira' yang memerlukan kesan khas dalam kostum. Maka, rekaannya diambil daripada reka bentuk tradisional dan diubah kepada sesuatu yang lebih moden dan kontemporari," ujar Sivarajah.

Selesai persembahan, para peminat gabungan muzik tradisional tegar tersenyum puas. Sementara itu, mereka yang baru berjinak-jinak untuk lari sebentar daripada genre hiburan 'pop', jujur mengakui bahawa Rasa Unmasked memberi nafas baru dalam satu produksi seni persembahan.

0 comments: