Sri Lanka makmal kuasa Barat?

Sri Lanka makmal kuasa Barat?

Oleh NORDIN KARDI

SAYA masih di Sri Lanka. Rabu lalu - 20 Mei - diisytihar sebagai cuti umum. Ia sebagai hadiah daripada Presiden Mahinda Rajapakse kepada rakyat sebagai "hari penyatuan semula negara" selepas dipecahbelahkan oleh pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Semua akhbar menyiarkan pengisytiharan kerajaan bahawa 'hero' LTTE, Vellupillai Prabhakaran telah dibunuh. Mayatnya temui di lagun Nanthikadal. Mayat itu dikenal pasti oleh Karuna Vinsyagamoorthy, rakan seperjuangannya dalam LTTE suatu ketika dahulu. Vinsyagamoorthy kini menjadi menteri dalam Kabinet Rajapakse.

Saya sampai ke Sri Lanka betul-betul pada kemuncak tentera kerajaan Rajapakse menyerang benteng terakhir Prabhakaran. Lebih 400 kader LTTE dibunuh di daerah Mallaitivu, termasuk anak sulungnya, Charles Anthony Seelan. Turut ditemui ialah mayat pemimpin cawangan risik LTTE, Pottu Aman dan pemimpin Harimau Laut, Soosai.

Sambil melepaskan lelah di sebuah restoran di depan sebuah masjid di sebelah pusat membeli belah ODEL - antara yang terbesar di Colombo, sebesar kompleks Campbell di Kuala Lumpur - saya berbual dengan seorang jemaah. Namanya Ziauddin Halaldin.

Dia menyatakan kegembiraannya kerana LTTE berjaya ditumpaskan. Dia yang mengaku hidup bersama-sama orang miskin melalui ihsan komuniti masjid meluahkan rasa optimisnya tentang masa depan Sri Lanka tanpa perang.

Ramai penduduk Tamil di utara Sri Lanka beragama Islam dan pada mulanya bersimpati kepada LTTE. Tetapi kemudiannya lebih cenderung memasuki politik cara halal dan menubuhkan cabang yang berpaling daripada matlamat perjuangan LTTE.

Kaum Tamil beragama Hindu juga sudah rasa bosan dengan perang yang terlalu lama. "Negara Tamil" yang dijanjikan tak kunjung datang.

Semasa sarapan di hotel saya berbual pula dengan seorang Naib Canselor dari sebuah universiti di negara itu. Beliau juga gembira kerana Sri Lanka kini bersih daripada LTTE.

Beliau bercerita mengenai republik sosialis Sri Lanka yang memberikan pendidikan percuma hingga ke peringkat universiti. Saya hairan kerana jika demikian kenapakah orang Tamil di Sri Lanka tidak berpuas hati?

Beliau mula bercerita dan pada mulanya saya tidak terkejut dengan hujah-hujahnya. Katanya, Sri Lanka menjadi negara kecil uji kaji kuasa besar yang sasarannya ialah India.

Kuasa besar telah lama melihat India dan China bakal bangkit menjadi saingan mereka dengan kekuatan hampir tiga bilion penduduk. Mereka ingin memecahbelahkan India dan China seperti yang dilakukan ke atas Kesatuan Soviet. Barat sentiasa menyokong kumpulan-kumpulan pemisah di kedua-dua negara itu.

"Bahagian kedua" jawapannya mengejutkan saya. Katanya jika Barat berjaya dalam ujian di Sri Lanka, sasaran selanjutnya ialah Tamil Nadu untuk dipisahkan daripada kerajaan Pusat India.

Oleh kerana itu katanya, Prabhakaran bukan sahaja menjadi "orang yang dikehendaki" di Sri Lanka tetapi juga di India. Prabhakaran juga dikaitkan dengan pembunuhan Perdana Menteri India, Rajiv Ghandi.

Patutlah pihak berkuasa New Delhi serta merta meminta pengesahan Colombo bahawa Prabhakaran benar-benar mati. Mereka mahu menutup fail siasatan pembunuhan Rajiv Ghandi.

Itupun belum cukup mengejutkan saya. Yang paling mengejutkan ialah apabila Naib Canselor itu menyatakan LTTE telah mempunyai peta "Kingdom of Tamil" merangkumi negara-negara di kawasan Lautan Hindi termasuk Malaysia dan Singapura. Katanya, sebab itulah gagasan LTTE itu menjadi menarik dan beremosi kepada mereka yang berkaitan. Beliau hairan apabila saya mengaku tidak tahu mengenai kewujudan peta itu.

Demikianlah apabila emosi dan sentimen perjuangan dimainkan oleh orang yang bercita-cita besar tanpa mempedulikan nasib rakyat yang terpaksa menanggung derita dan kepayahan.

Jika analisis Profesor itu benar, Sri Lanka yang merupakan sebuah negara kecil dengan hanya 20 juta penduduk telah menjadi makmal kuasa-kuasa besar.

Mungkin sebab itu, Presiden Rajapakse dalam kenyataan-kenyataannya kelihatan seperti amat percaya kepada teori konspirasi itu. Beliau berulang kali menegaskan tidak akan mendengar lagi desakan kuasa Barat sebaliknya lebih selesa mendengar nasihat India, Pakistan dan China.

Tawaran LTTE untuk menyerah diri kepada pihak ketiga dari Eropah sebelum kematian Prabhakaran juga tidak lagi dilayan dan dianggap sebagai telah terlambat.

Colombo telah kerap kali hampir berjaya menewaskan Prabhakaran tetapi memberhentikan kemaraan kerana desakan Barat. Setiap gencatan senjata membolehkan Prabhakaran lari ke Tamil Nadu dan kemudiannya kembali lagi selepas mendapat kekuatan baru. Maka Rajapakse sudah tidak lagi percaya kepada rundingan yang ditaja oleh Eropah sebaliknya memilih untuk meneruskan apa yang telah dilakukannya.

Colombo beberapa hari lalu penuh dengan sampah sarap akibat poster-poster yang dibuang oleh orang ramai ketika berarak meraikan penyatuan Sri Lanka itu. Anak-anak muda berarak, berkonvoi dengan kereta, bas, lori dan kenderaan lain sambil mengibarkan bendera.

Mahasiswa berdemonstrasi di beberapa kedutaan Barat seperti Kedutaan Britain untuk menyatakan kemarahan mereka terhadap Barat yang dianggap mereka sebagai memihak kepada pemberontak dan pengganas.

Apakah tuduhan Rajapakse bahawa Prabhakaran ditaja Barat itu benar? Tentu susah dibuktikan terutama dalam konteks diplomasi.

Namun Colombo mendedahkan keluarga Prabhakaran semuanya tinggal di Eropah. Abangnya, Manoharan dan kakaknya Jegathieswary tinggal di Denmark. Seorang lagi kakaknya, Vinothini tinggal di Kanada.

Mengapa penduduk Sri Lanka seperti berhari raya? Semua pihak bergembira tidak kira etnik dan juga agama termasuk penganut Budha, Islam, Hindu, Kristian. Sedangkan tindakan kerajaan menggempur kubu LTTE itu mengakibatkan kematian?

Jawapannya ialah, mereka sudah tidak tahan dengan kerenah LTTE. Semuanya "halal" di dalam LTTE. Mencuri halal, merompak bank halal, pecah rumah pun halal. Semuanya halah jika dibuat atas nama perjuangan.

Jenayah ganas adalah sebahagian daripada latihan untuk ahli muda. Kader-kader dilatih untuk tidak berasa takut. Mereka diajar supaya tiada lagi belas kasihan kerana rasa takut dan kasihankan mangsa adalah musuh perjuangan LTTE.

Akibatnya Sri Lanka - Permata Timur - yang amat maju suatu ketika dulu menjadi beku. Rakan saya, Timbalan Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tai Shzee Yew mengulas bahawa keadaan di Colombo sama seperti Kuala Lumpur pada era 60-an.

Rakan dari Indonesia yang duduk semeja dengan kami pula bertanya: "Perang saudara di negara kami selesai dengan bantuan tsunami. Malaysia bagaimana?"

"Malaysia amanlah!" jawab saya.

TAN SRI DR NORDIN KARDI ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Presiden Persatuan Universiti-Universiti Malaysia

0 comments: