Tiada lagi pondok panas

Tiada lagi pondok panas

Pilihan raya kecil di Penanti bukan sahaja akan mencatatkan sejarah apabila Barisan Nasional dijangka tidak meletakkan calonnya, bahkan buat pertama kalinya tiada lagi ‘pondok panas’ berdekatan pusat pengundian.


SPR bersetuju mengadakan meja penyemak senarai ahli untuk parti-parti yang bertanding selepas sesi perbincangan kedua diadakan. - Gambar hiasan


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menjadikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti 31 Mei ini sebagai tempat memulakan budaya baru pilihan raya yang mengutamakan ketenteraman awam dan disiplin dalam kalangan parti politik dan rakyat di negara ini.

Pilihan raya kecil Penanti di Pulau Pinang bakal menyaksikan larangan berkempen dikuatkuasakan semasa hari pengundian dengan tidak membenarkan pondok panas daftar pengundi yang dikelola parti-parti politik, beroperasi untuk meraih undi.

Pelbagai pihak memberikan pandangan dan kritikan terhadap langkah ini dan Bernama menemu ramah Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, bagi mendapatkan penjelasan beliau mengenai perkara ini dan isu lain yang sering timbul menjelang pilihan raya.

Kenapa larangan itu dikuatkuasakan sekarang, sedangkan pindaan telah dibuat terhadap Seksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pada 2003 untuk menghalang kempen pada saat akhir semasa hari pengundian. Adakah isu ketenteraman pengundi semasa pilihan raya kini di tahap kritikal?

Memang saya dimaklumkan bahawa pindaan ini dibuat pada tahun 2003 untuk Pilihan Raya Umum 2004 tetapi pada masa itu, kita dapati trend penyokong parti tidak 'sepanas' sekarang. Sejak Pilihan Raya Umum 2008, seperti yang anda maklum, bukan sahaja tempat mengundi yang panas, malah di dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) juga 'panas'.


ORANG RAMAI kena faham apa yang boleh buat semasa tempoh berkempen dan tidak boleh buat semasa hari mengundi. - Gambar hiasan


Trend penyokong parti dan calon sudah berbeza. Pertama, bilangan penyokong parti yang hadir terlalu besar. Kedua, cara mereka juga jauh berbeza, seperti orang tidak sedar diri dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang sangat menyakitkan hati pihak lain. Cakap kita tidak didengar langsung, bahkan dibalas semula. Awak hendak lawan orang macam ini di tengah-tengah orang ramai? Jangan main-main.

Jadi, dalam keadaan ini, kita jangan tunggu sampai berlaku pertumpahan darah atau kematian baru tindakan diambil. Dalam analogi lain, janganlah sampai berlaku banyak kematian di sesuatu simpang, baru kita hendak pasang lampu isyarat.

Bukankah bagi parti-parti yang bertanding, 'pondok panas' perlu untuk mereka menyemak senarai nama ahli?

Seksyen 26(1) sudah menjelaskan larangan-larangan semasa hari mengundi. Daripada pembacaan saya, jarak 50 meter dari tempat mengundi adalah kawasan larangan. Jadi, kena faham apa yang boleh buat semasa tempoh berkempen dan tidak boleh buat semasa hari mengundi.

Kalau kata hendak semak senarai, jangan tunggu sampai hari mengundi. Kita sudah buat pengumuman bagi pilihan raya kecil DUN Penanti, pemilih boleh membuat semakan menerusi pelbagai kaedah sejak 8 Mei lagi.

Sejauh mana SPR mempunyai kuasa dalam pelaksanaan larangan berkempen ini dan hukumannya jika ada pihak atau individu yang ingkar?

Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jelas memberi kuasa kepada SPR. Bagaimanapun, pada masa lalu perkara-perkara ini telah diberi sedikit kelonggaran oleh SPR.

Pada pilihan raya kecil di Penanti ini, SPR akan menguatkuasakan larangan ini sebagaimana yang diperuntukkan.

Bagaimana dengan peranan polis semasa pilihan raya?

Tugas polis pada asasnya adalah menjaga ketenteraman awam di luar Pusat Penamaan Calon, Pusat Mengundi dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi. Polis sebelum ini banyak kerja lain kerana keutamaan mereka adalah mengurangkan jenayah tetapi trend sekarang, di Ijok misalnya, baru penamaan calon sudah bergaduh.


PANGGILLAH banyak manapun ahli-ahli parti dan sebagainya untuk semak tetapi bukan pada hari mengundi. - Gambar hiasan


Kita buat sesuatu berdasarkan pengalaman. Kalau dulu, duduk dekat-dekat tidak mengapa, semua orang merasai keseronokannya tetapi pengalaman mengajar kita apabila berlaku di Ijok, polis dituduh tidak buat kerja. Sebab itu, dulu belanja tidak tinggi. Sekarang ini, macam-macam berlaku. Pengalaman saya di Kuala Terengganu, FRU terpaksa turun lengkap beruniform. Mujurlah kita jarakkan 100 meter sesama penyokong parti.

Dalam satu laporan akhbar, menyatakan terdapat parti pembangkang yang menaikkan isu larangan mendirikan pondok panas bercanggah dengan Seksyen 24 (2)(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, iaitu 'pondok panas' dibenarkan dibina 50 meter dari tempat pengundian. Apakah pendirian SPR terhadap kenyataan ini?

Pertamanya, ingin saya perbetulkan kenyatan tersebut. Seksyen 24(2)(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 itu pun dah salah. Tidak ada Seksyen berkenaan di dalam akta tersebut.

Tetapi yang ada adalah Seksyen 24B(2) iaitu 'pondok panas' dibenarkan dalam tempoh berkempen. Parti boleh membina pondok ataupun pejabat. Panggillah banyak manapun ahli-ahli parti dan sebagainya untuk semak tetapi bukan pada hari mengundi. Tidak boleh.

SPR telah membuka pintunya kepada semua parti politik untuk mengadakan perbincangan dua hala bersama SPR. Adakah perbincangan itu berjaya mencapai objektifnya?

Perbincangan tersebut baru dua kali diadakan. Di peringkat pertama, mereka berat hendak terima cadangan kita tentang larangan berkempen. Mereka masih memerlukan pondok panas dan minta kebenaran untuk berkempen.

Sebenarnya, tujuan pertemuan tersebut adalah untuk menerangkan kenapa kita kuatkuasakan larangan ini. Kita mahu menguatkuasakan undang-undang. Pada pertemuan pertama itu, saya hanya mendengar dan tidak menolak mahupun memberi pandangan saya.

Pertemuan kedua, kita beri penerangan dari sudut undang-undang. Saya harap mereka faham maksud saya. Saya tidak ada tujuan apa-apa, bukan untuk menyusahkan mereka, bukan juga menidakkan kebolehan mereka dan sebagainya. Tetapi adalah semata-mata untuk mengikut keperluan undang-undang.

Bagaimanapun, selepas pertemuan kedua, kita bersetuju mengadakan meja penyemak senarai ahli untuk parti-parti yang bertanding. Jadi, kita akan benarkan hanya meja dan payung besar sahaja.

Menurut mereka, penguatkuasaan ini terlalu drastik. Sekurang-kurangnya, mereka perlukan tempat menyemak senarai ahli. Disebabkan mereka masih mahukan perkara ini, mereka juga bersetuju tidak akan ada peraih dan perayu undi atau kempen. Hanya dua atau tiga orang sahaja wakil mereka di situ memandangkan SPR sendiri akan membina barungnya di luar pagar tempat mengundi dalam jarak 50 meter. Tujuannya adalah untuk memberi perkhidmatan kepada para pengundi. - Bernama

0 comments: