Minda Pengarang: Projek jambatan baru perlu kerjasama kuat Malaysia, Singapura

Minda Pengarang: Projek jambatan baru perlu kerjasama kuat Malaysia, Singapura

JIKA tiada aral melintang dan diterima baik oleh Singapura, cadangan Malaysia supaya sebuah jambatan baru dibina bagi menghubungkan bahagian timur Johor ke republik itu, akan menjadi kenyataan, sekali gus menamatkan isu yang bagaikan 'duri dalam daging' hubungan dua hala antara dua negara berjiran ini. Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jambatan baru itu akan dapat membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai, barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara. Kita yakin cadangan itu akan menjadi kenyataan berdasarkan hakikat Najib mengumumkan perkara itu pada sidang media bersama dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong selepas mengadakan pertemuan empat mata di republik itu semalam. Secara dasarnya Singapura bersetuju dengan cadangan Malaysia itu dan kedua-dua negara mahu menjalankan kajian lanjut untuk pembinaan jambatan baru sebagai langkah jangka panjang dan sederhana. Kedua-dua negara juga sependapat bahawa kemudahan laluan kenderaan dan orang ramai di Tambak Johor perlu diperbaiki dan dipertingkatkan.

Malaysia, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, meluluskan pembinaan jambatan baru bagi menggantikan separuh daripada Tambak Johor di kawasan Malaysia. Projek dilaksanakan Gerbang Perdana Selatan Bersepadu Sdn Bhd (GPSB) berharga RM620 juta itu dimulakan pada awal 2006 dan dijangka mengambil masa 36 bulan. Bagaimanapun, pada 12 April 2006, selepas kira-kira lima peratus kerja asas pembinaannya siap, kerajaan menghentikan projek itu serta semua rundingan membabitkannya dengan Kerajaan Singapura. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi memberi alasan bahawa keputusan berkenaan dibuat selepas kerajaan mengambil kira suara dan sentimen rakyat secara keseluruhan, terutama berhubung bekalan pasir dan ruang udara. Dalam rundingan antara kedua-dua negara ketika itu, Singapura dikatakan meminta antara lain supaya Kuala Lumpur membenarkan pesawat pejuangnya menggunakan ruang udara negara ini dan membekalkan pasir sebagai balasan. Permintaan Singapura itu dikritik rakyat Malaysia, terutama penduduk Johor yang menganggapnya sebagai keterlaluan.

Yang pasti, semua pihak bersetuju bahawa sebuah lagi jambatan baru menghubungi kedua-dua negara mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan menyediakan pelbagai peluang ekonomi kepada masyarakat tempatan, selain membantu mengatasi kesesakan di Tambak Johor. Kali ini, apa yang kita harapkan kedua-dua negara perlu berusaha keras untuk menjayakannya, tanpa sebarang syarat yang bukan-bukan. Kita tidak mahu apa yang berlaku sebelum ini berulang, iaitu bina tetapi kemudian dibatal, yang akhirnya menimbulkan masalah serta kekecewaan. Tidak mengapa jika kajian projek jambatan baru itu mengambil masa asalkan akhirnya ia menjadi kenyataan. Kita juga berharap Singapura ikhlas apabila menyatakan persetujuannya terhadap cadangan Malaysia itu, bukan berbuat demikian hanya apabila berasakan projek berkenaan lebih banyak menguntungkan mereka. Singapura harus sedar jambatan baru itu akan memudahkan pergerakan orang ramai daripada kedua-dua arah, termasuk dari Malaysia ke republik itu, sekali gus turut menguntungkan mereka.

0 comments: