Ketegasan Obama ditagih leraikan konflik di Gaza

Ketegasan Obama ditagih leraikan konflik di Gaza
Oleh Daoud Kuttab

PERSOALAN paling ditunggu-tunggu menjelang sidang puncak antara Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ialah sama ada pemimpin Israel yang baru dipilih itu akan membuat keputusan menyokong atau menentang formula kewujudan dua negara.

Bagaimanapun, pendekatan ini adalah salah kerana Israel tidak sewajarnya membuat keputusan bersendirian dalam menentukan status Palestin sebagai satu entiti, malah rakyat Palestin juga tidak berhak bersuara dalam menentukan nama negara bagi rakyat Israel.

Satu-satunya soalan yang patut Obama tanyakan kepada Netanyahu ialah 'bilakah Israel akan keluar dari wilayah Palestin yang dicerobohi mereka?'

Usaha untuk mengelirukan – sama ada dengan bercakap mengenai 'perdamaian ekonomi' atau mendesak negara Arab mengiktiraf sebuah negara Yahudi untuk Israel – tidak patut dibenar tersasar daripada matlamat untuk menamatkan pencerobohan di wilayah Palestin.

Pada mesyuarat pertama Obama bersama pemimpin Arab, satu pelan damai yang mudah dan berani sudah digariskan. Dengan kuasa diberi pemimpin Arab lain, Raja Abdullah II dari Jordan mengemukakan pelan damai dirangka Liga Arab dan Pertubuhan Negara-Negara Islam.

Walaupun Israel sudah melancar perang ke atas Lebanon dan Gaza, pemimpin Arab menawarkan hubungan biasa dengan Israel sekiranya ia meninggalkan tanah yang dicerobohi sejak 1967. Pelan damai itu turut mendesak penyelesaian 'adil' dan 'dipersetujui bersama' dalam isu membabitkan pelarian Palestin.

Fakta yang perlu dipersetujui Palestin dan Israel ialah penyelesaian untuk menangani isu pelarian Palestin serta kebimbangan Israel mengenai ancaman yang mungkin dihadapi sebaik saja hak rakyat Palestin dipulangkan.

Pada musim panas lalu, Obama ditunjuk satu poster mengandungi 57 bendera mewakili negara Arab dan Islam yang akan menjalinkan semula hubungan dengan Israel. Beliau yang ketika itu hanya calon presiden memberitahu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, bahawa adalah 'gila' sekiranya Israel menolak cadangan itu.

Isyarat tegas Obama sejak mengambilalih jawatan Presiden - menelefon pemimpin Arab sebelum menghubungi sekutunya, Eropah, serta melantik duta khas, George Mitchell dan memberi temu bual pertamanya kepada stesen televisyen Al-Arabiyeh - mencerminkan pendekatan yang jauh berbeza daripada pentadbiran bongkak Amerika sebelum ini.

Amerika Syarikat sudah berulang kali menentang pencerobohan wilayah Palestin sejak 1967 dan sudah mendesak supaya ia ditamatkan. Ia juga secara konsisten menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap 'aktiviti' di kawasan penempatan.

Pemimpin bagi kedua-dua parti utama Amerika menggaris satu polisi dan mendesak supaya Palestin diberi sebuah negara di dalam wilayah yang dicerobohi Israel.

Amerika Syarikat juga menentang rampasan wilayah secara paksa ke atas Baitulmaqdis, suara sama dengan semua negara dunia lain. Ia juga enggan mengiktiraf pelaksanaan undang-undang ke atas penduduk di wilayah yang diceroboh itu.

Bagaimanapun, tindakan Israel di wilayah terbabit sudah menentang suara Amerika serta pendirian masyarakat dunia lain. Malah, Kerajaan Israel yang baru dibentuk, enggan menerima cadangan damai yang dipersetujui dunia.

Sebaliknya, kepemimpinan baru Palestin pula menerima ancaman akan dipulau masyarakat antarabangsa kecuali ia menerima penyelesaian yang ditolak kerajaan Netanyahu.

Antara permintaan masyarakat antarabangsa ke atas Israel ialah membekukan aktiviti di semua penempatan, termasuk meluaskan kawasan berkenaan. Tindakan membekukan penempatan sudah pasti akan menjadi tumpuan utama Mitchell dan pasukannya.

Mitchell yang terbabit secara langsung dalam membuat laporan mengenai isu penempatan itu (Laporan Mitchell 2001), sebenarnya amat memahami kemampuan semua penempatan terbabit untuk memusnahkan prospek penyelesaian bagi mewujudkan dua negara.

Di samping itu, isu perebutan Baitulmaqdis adalah satu lagi masalah yang akan menguji keikhlasan pentadbiran Obama. Tindakan meroboh rumah penduduk Palestin dan provokasi Israel di wilayah suci itu, menyerlahkan bahawa konflik Palestin-Israel ini perlu ditangani tanpa sebarang penangguhan lagi.

Tumpuan khusus yang diberi Pope Benedict XVI melawat Baitulmaqdis baru-baru ini, memberi mesej penting kepada penduduk Kristian, Islam dan Yahudi, iaitu sebarang usaha untuk mencemarkan Bandar Suci ini perlu dihenti serta-merta.

Perkara ketiga terpenting bagi rakyat Palestin ialah menyatukan semula Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Tidak ada alasan untuk mengharamkan rakyat Palestin yang tinggal di kedua-dua wilayah daripada melawat antara satu sama lain, atau pergi ke wilayah lain yang diduduki Israel.

Dakwaan pegawai Israel, tindakan menghalang pergerakan rakyat serta barang adalah perlu atas alasan keselamatan, sebenarnya tidak berasas.

Di bawah kepemimpinan Jeneral Keith Dayton (Timbalan Keselamatan Mitchell), penduduk serta barang yang sudah menjalani pemeriksaan keselamatan menyeluruh wajar dibenarkan untuk sampai ke destinasinya.

Dengan beberapa rundingan damai diadakan semula, keputusan lebih kukuh patut dicapai. Janji untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka sebelum pemerintahannya berakhir, adalah janji terakhir yang dimungkiri Presiden George W Bush.

Lebih empat dekad selepas resolusi 242 diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membabitkan tindakan menduduki tanah secara paksa, pembinaan haram dalam kawasan penempatan eksklusif Yahudi dan tindakan mengehadkan pergerakan terus menjadi pertikaian.

Masa tidak lagi memihak kepada mereka yang menyokong penyelesaian untuk mewujudkan dua negara.

Pentadbiran Obama mesti menggunakan peluang yang ada untuk mendesak Netanyahu memberi sokongan tanpa berbelah bahagi supaya Israel keluar dari wilayah dicerobohi mereka - syarat paling penting ke arah usaha mewujudkan dua negara.

Sekiranya ini tidak dilakukan - suasana tegang akan menyelubungi hubungan dua hala Amerika-Israel.

Kegagalan meleraikan isu penempatan haram Israel akan memusnahkan harapan untuk melahirkan dua negara di wilayah berkonflik terbabit, sebaliknya akan lahir desakan mewujudkan sebuah negara dengan hak sama rata kepada semua penduduk.

Penulis ialah bekas profesor kewartawanan di Universiti Princeton dan kini menguruskan Rangkaian Komuniti Media, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)

0 comments: