Tulang mangsa jadi bukti

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

SHAH ALAM: Buat pertama kali perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, beberapa spesimen termasuk serpihan rangka, tulang, tisu badan, rambut dan sampel darah dipercayai milik mangsa dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam untuk ditandakan sebagai bahan bukti.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin mengemukakan 29 spesimen, semuanya disimpan dalam sampul Jabatan Kimia Malaysia untuk disahkan oleh saksi pendakwaan ke-39, Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, J K Primulapathi, 54.

Ahli kimia berpengalaman 30 tahun itu berkata, pada 11 November 2006, beliau menerima 18 sampul mengandungi spesimen bagi tujuan analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada pegawai penyiasat kes Altantuya, Asisten Superintendan Tonny Anak Lunggan di pejabatnya.

Katanya, pada 15 November 2006, 11 lagi sampul mengandungi spesimen, iaitu pelindung stereng kenderaan, Smart Tag dengan kad Touch n’ Go, beberapa akhbar, sepasang selipar, putik kapas yang digunakan untuk mengambil sampel peluh, sehelai rambut dan empat sampel darah.

Menjelaskan dengan lebih lanjut berhubung spesimen itu, saksi berkata, sampul yang diterima pada 11 November mengandungi contoh darah ibu bapa Altantuya, Setev Shaariibuu dan Altansetseg, sampel air liur Altansetseg, lapan botol tisu badan berwarna perang kehitaman, lima botol sampel gumpalan rambut, serpihan rangka dan tulang berwarna perang kehitaman.

Beliau berkata, semua sampul mengandungi spesimen itu dicap dan dimeterai pelekat Jabatan Kimia Malaysia, Polis Diraja Malaysia, manakala di botol pula mempunyai pelekat makmal dan dimeterai Jabatan Kimia serta tandatangannya.

Katanya, akhbar itu adalah Utusan Malaysia keluaran 14 September 2006, akhbar Yellow Post bagi edisi 13 hingga 19 Oktober 2006 dan Harian Metro bertarikh 13 Oktober 2006.

“Bagi spesimen sehelai rambut yang ditampal pada sekeping kertas putih yang saya terima pada 15 November 2006, di luar sampul itu tertulis ‘sehelai rambut (dijumpai di) celah tempat duduk penumpang hadapan (kereta)’.

“Sementara itu, keempat-empat spesimen darah dalam tiub plastik dan dicop Jabatan Kesihatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) masing-masing dilabelkan dengan contoh sampel darah Koperal Sirul Azhar Umar (tertuduh kedua), Abdul Razak Abdullah (tertuduh ketiga), Cif Inspektor Azilah Hadri (tertuduh pertama) dan Lans Koperal Rohaniza Roslan (teman wanita Azilah).

“Saya kemudian melakukan analisa terhadap semua spesimen yang ada dalam botol berkenaan dan selepas itu saya masukkan kembali ke dalam sampulnya serta menutupnya kembali,” katanya.

Primulapathi berkata, ketika spesimen itu diserahkan kepadanya, Tonny turut menyerahkan borang penyerahan (POL 31) dan beliau kemudian mengeluarkan resit rasmi Jabatan Kimia Malaysia sebagai bukti penerimaan.

Saksi itu yang memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Genetik dari Universiti Malaya dan pernah menyertai pelbagai kursus forensik di dalam dan di luar negara berkata, makmal di jabatannya itu memiliki peralatan lengkap untuk menjalankan Ujian DNA yang diiktiraf Lembaga Pengarah Akreditasi Persatuan Makmal Jenayah Amerika Syarikat.

Katanya, pengiktirafan itu bukan saja mengesahkan jabatannya memiliki peralatan yang lengkap, malah prosedur dan protokol yang diamalkan ketika ujian DNA turut memenuhi piawaian antarabangsa.

“Sejak 1994 lagi saya sudah menjalankan banyak analisa DNA membabitkan kes pembunuhan, rogol, ragut, pengenalan mayat dan sebagainya,” katanya.

Noorin kemudian memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan 11 spesimen lagi.

Berikutan itu, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin menangguhkan perbicaraan sehingga hari ini.

0 comments: