http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/BeritaUtama/20071004011431/Article/index_html

2 polis fitnah KPN hadapi 14 tuduhan

Oleh Mohd Roji Abdullah


BINCANG: Nordin (kanan) dan Boon Wai bercakap dengan peguam mereka di perkarangan Mahkamah Sesyen Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT: Dua pegawai polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas 14 tuduhan memalsukan keterangan dan menggunakan dokumen palsu untuk mengaitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dengan tuduhan rasuah RM2 juta kononnya bagi membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat.

Cif Inspektor Nordin Ahmad, 42, yang kini bertugas di Cawangan Perjawatan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Lans Koperal Wong Boon Wai, 40, dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 465 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah D7, Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang antara 9 dan 20 Mac tahun lalu serta awal Mac lalu.

Hakim Abu Bakar Katar menetapkan perbicaraan kes itu bermula pada 28 Januari hingga 1 Februari tahun depan dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 seorang serta dua penjamin. Keluarga kedua-dua tertuduh membayar jaminan itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah (BPR) Putrajaya, Zulkarnain Hassan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Abdul Halim Yahya.

Terdahulu, Nordin yang berkemeja lengan pendek kuning dan berseluar gelap, tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna BPR serta diiringi beberapa pegawai agensi berkenaan.

Sejurus selepas itu, Wong yang berkemeja putih dan berseluar gelap, tiba dengan diiringi pegawai BPR dan terus dibawa masuk ke bangunan mahkamah yang dipenuhi orang ramai yang ingin mengikuti kes berkenaan.

Nordin dan Wong kelihatan tenang ketika tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Ibu bapa dan keluarga terdekat Nordin juga kelihatan hadir di mahkamah sejak pagi lagi.

0 comments: