Tanah runtuh: Beratus kenderaan terkandas

KOTA BELUD Okt. – Beratus-ratus kenderaan terkandas hari ini akibat kejadian tanah runtuh di Kilometer 85.4, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan, berhampiran Kampung Bundu Tuhan, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, jalan berkenaan dikatakan ditimbus runtuhan lereng bukit sepanjang 60 meter dan setinggi 30 meter menyebabkannya terpaksa ditutup kepada semua lalu lintas.

Jalan berkenaan merupakan laluan utama pengguna dari Kota Kinabalu ke Ranau, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau. Berikutan itu semua kenderaan terpaksa menggunakan laluan alternatif melalui Tambunan untuk ke Ranau.

Jurucakap polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud memberitahu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, pihak polis hanya dimaklumkan berhubung kejadian itu pada 5.40 pagi tadi dan bergegas ke kawasan tersebut untuk mengawal keadaan.

‘‘Punca sebenar bukit bersebelahan jalan itu runtuh belum dapat dipastikan kerana sejak semalam tidak ada hujan,” katanya.

Jurutera Pemuliharaan Jalan Raya Sabah, Vincent Chua Kon Yin, pula menyifatkan runtuhan bukit bersebelahan jalan itu adalah yang paling buruk pernah berlaku.

Katanya, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tengah malam ini.

“Runtuhan tanah kali ini memang berskala besar. Pada masa ini, jalan berkenaan langsung tidak dapat dilalui kerana tanah menutupi keseluruhan jalan.

“Jalan ini dijangka dapat diguna pada malam ini tetapi bergantung kepada keadaan cuaca dan juga jika tidak ada runtuhan baru dari tebing yang tingginya ratusan meter ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

0 comments: