Ahli kimia kemuka analisis sampel DNA Altantuya

Oleh Amiruddin Harun, Norazlita Mohd. Sies dan Noor Azmah Ibrahim


Azilah dibawa ke Mahkamah Sesyen bagi perbicaraan kes pembunuhan Altantuya di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 3 Okt. - Seorang ahli kimia memulakan keterangannya dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan mengemukakan 18 sampul surat mengandungi beberapa sampel antaranya gumpalan rambut, serpihan tulang dan sisa rangka bagi tujuan analisis asid deoksiribonukleik (DNA).

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, Primulapathi a/l Jaya Krishnan, 54, berkata, daripada jumlah tersebut, tiga sampul surat masing-masing mengandungi satu tiub sampel darah bapa Altantuya, Setev Shaariibuu, dua tiub sampel darah ibu mangsa, Altentsetseg Sanjaa dan satu paket plastik mengandungi dua tiub sampel air liur Altentsetseg.

Bagi sampul surat mengandungi sampel darah bapa mangsa, menurutnya, di luar sampul itu bertaip dengan perkataan “1 contoh darah Setev Shaariibuu pp no: E0237324 untuk perbandingan dan DNA” dan di bawah ayat itu pula bertaip “ayah mangsa.”

Beliau juga mengemukakan lapan botol kecil yang setiap satunya mengandungi sampel bahan berwarna perang kehitaman yang tertera ‘tisu untuk DNA’, lima botol sampel gumpalan rambut, satu botol sampel perang kehitaman sisa rangka dan satu botol sampel berwarna sama daripada serpihan tulang.

“Kesemua botol (selain daripada tiga tiub sampel ibu dan bapa Altantuya) tersebut yang dimeteri dengan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah dilabelkan sebagai ‘tidak diketahui’.

“Saya menganalisis kandungan-kandungan sampul surat itu dan bakinya saya memasukkan semula ke dalam botol-botol tersebut,” kata saksi pendakwa ke-39 itu.

Menjawab soalan dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, Primulapathi berkata, kesemua sampul surat itu dicop meteri HKL, pelekat Jabatan Kimia dan meteri Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala setiap botol mengandungi pelekat makmal dan meteri Jabatan Kimia serta tandatangannya.

Menurut beliau, kesemua sampul surat bertanda T1 hingga T18 mengandungi bahan-bahan bukti tersebut telah diterima olehnya daripada pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Tonny Lunggan kira-kira pukul 4 petang, 11 November tahun lalu.

Primulapathi memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang didakwa membunuh wanita Mongolia berusia 28 tahun itu di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda pula didakwa bersubahat dengan mereka dalam pembunuhan itu di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2006.

Perbicaraan masuk hari ke-44 hari ini.

Perbicaraan hari ini menyaksikan bahan-bahan bukti dalam sampul surat itu dibuka satu demi satu oleh ahli kimia tersebut sehinggakan pada sampul surat keempat (T4), Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin bertanya adakah banyak lagi sampul surat yang akan dibuka.

“Ini untuk sehari (surat yang diterima pada 11 November), ada lagi untuk surat yang diterima pada tarikh-tarikh lain. Mungkin kita ambil masa tiga hari iaitu hari ini, esok dan lusa hanya untuk membuka sampul-sampul surat ini,” kata Noorin secara berseloroh.

Terdahulu, Primulaphati yang disoal mengenai kelayakan dan kepakarannya dalam bidang analisis DNA berkata, beliau telah banyak menjalankan analisis DNA sejak berkhidmat di Jabatan Kimia pada tahun 1977.

Beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang genetik dari Universiti Malaya pada tahun 1998 dan pernah menyertai pelbagai kursus forensik di dalam dan luar negara berkata, makmal di jabatannya memiliki peralatan lengkap untuk menjalankan analisis DNA.

Katanya, protokol dan prosedur yang digunakannya dalam analisis DNA juga diperakui di peringkat antarabangsa dan diiktiraf oleh Lembaga Akreditasi Persatuan Pengarah Makmal Jenayah Amerika.

Perbicaraan bersambung esok.

0 comments: