Cif inspektor, lans koperal dituduh palsukan dokumen

Oleh SUNARTI KIBAT


Nordin Ahmad.

BATU PAHAT 3 Okt. – Seorang pegawai polis dan seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 tuduhan memalsukan keterangan dan tanda tangan saksi.

Cif Inspektor Nordin Ahmad, 42, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Lans Koperal Wong Boon Wai, 40, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang yang dituduh mengikut Seksyen 471 dan 465 Kanun Keseksaan minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Katar.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Badan Pencegah Rasuah (BPR), Zulkifli Hassan, manakala Nordin dan Wong diwakili oleh peguam Abdul Halim Yahaya.

Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, mereka didakwa menggunakan satu dokumen iaitu percakapan Tan Lee Poey yang diketahui palsu sebagai tulen.

Bagi pertuduhan kedua mengikut seksyen yang sama, mereka dituduh melakukan tindakan yang sama terhadap percakapan Ng Sou Yee, manakala pertuduhan ketiga dan keempat pula melibatkan percakapan Ng Chee Yong serta Koh Yah May.

Kesemua kejadian itu dituduh berlaku di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kluang pada awal Mac lalu.

Bagi pertuduhan kelima, keenam dan ketujuh, Nordin dan Wong didakwa menggunakan percakapan Toh Huan Lay, Jenny Wong Yee Peng dan Ting Choon Mui yang mereka ketahui palsu sebagai dokumen tulen.

Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 465 pula, kedua-dua tertuduh pada 10.30 pagi 9 Mac tahun lepas di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kluang didakwa memalsukan dokumen iaitu percakapan Ng Sou Yee dengan niat untuk menyebabkan bencana kepada Chin Yew Fah, Chai Ngew dan Tan Lee Poey.

Bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh pula, mereka didakwa melakukan tindakan yang sama memalsukan dokumen iaitu percakapan enam individu lain dengan niat untuk menyebabkan bencana kepada tiga individu yang sama.

Dokumen percakapan yang dipalsukan itu membabitkan Ng Chee Yong, Tan Lee Poey, Koh Yah May, Toh Huan Lay, Jenny Wong Yee Peng dan Ting Choon Mui.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara pukul 4.10 petang, 9 Mac tahun lalu hingga pukul 2.30 petang, 20 Mac tahun yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua pegawai dan anggota polis itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Abu Bakar membenarkan Nordin, yang mempunyai lima anak dan Wong, bapa kepada dua anak, diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin setiap seorang.

Beliau juga menetapkan 28 Januari hingga 1 Februari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan.

0 comments: