Empat sampel darah termasuk Abdul Razak dibuat ujian DNA

SHAH ALAM 3 Okt. – Empat sampel darah milik penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda bersama Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri serta bekas teman wanitanya yang diambil ketika siasatan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya untuk tujuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Pengarah Bahagian Forensik Jabatan Kimia Petaling Jaya, Primulapathi Jaya Krishnan, 54, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengesahkan bahawa beliau turut menerima 11 sampul surat yang ditanda sebagai Z56 hingga Z60 dan Z62 hingga Z67.

“Pada 15 November 2006 saya telah menerima barang kes tersebut daripada Asisten Supritendan (ASP) Tonny Lunggan,” kata Primulapathi.

Disoal dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, apakah bahan bukti tersebut, satu demi satu, Primulapathi menyenaraikannya sebagai sampul surat bertanda Z56 mengandungi pembalut stering kenderaan berwarna hitam (P149B), Z57 berisi Smart Tag (P150B) dan Touch ‘n Go (P150C).

Pakar itu berkata, dalam sampul surat bertanda Z58 terdapat tiga naskah surat khabar Utusan Malaysia bertarikh 14 September 2006 (P151B), Yellow Post edisi 13 hingga 19 Oktober 2006 (P151C) dan Harian Metro 13 Oktober 2006 (P151D).

“Sepasang selipar berisi dalam sampul surat Z60 (P153C), Z62 (P154A) swab peluh, helaian rambut yang dijumpai celah tempat duduk penumpang hadapan dan dilekatkan pada sekeping kertas Z63 (P155), dan Z64 (P156B) sampel darah RF 125591 Sirul Azhar.

“Dalam sampul surat bertanda Z65 (P157) pula berisi sampel darah Abdul Razak nombor kad pengenalan 600206-10-6601, manakala sampul Z66(P158B) terdapat sampel darah Azilah Hadri I 14015 sementara sampul Z67 (P159C) pula mengandungi sampel darah Rohaniza Roslan RF133495,” kata Primulapathi.

Noorin yang nampak begitu ceria dan bertenaga sejak prosiding sesi pagi lagi bagaimanapun kedengaran terbatuk-batuk pada peringkat ini.

Sambil memaklumkan kepada Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin bahawa pihaknya masih mempunyai 11 lagi sampul surat yang perlu dikemukakan, Noorin memohon prosiding sesi petang ditamatkan pada pukul 3 petang.

Hakim Mohd. Zaki sambil tersenyum bertanya kepada Noorin, tidak bolehkah pendakwa raya itu meneruskannya selama setengah jam lagi.

Beliau yang membelek-belek pennya berkata: “Saya sudah habis dua batang pen. Yang ini masuk pen ketiga.”

Noorin sambil berseloroh menyegarkan kembali mata orang yang duduk di galeri awam: “Yang Arif. Memandangkan pen pun baru, elok juga kita mulakan pagi esok.”

Kenyataan Noorin itu membuatkan semua orang dalam mahkamah tergelak.

0 comments: