Korban jambatan runtuh 51 orang

HANOI: Jumlah kematian akibat runtuhan jambatan gantung di Vietnam bulan lalu meningkat kepada 51 orang semalam apabila pekerja penyelamat menarik keluar satu lagi mayat daripada runtuhan, kata seorang pegawai.

Dua lagi mangsa masih hilang, kata Nguyen Van Chong, jurucakap kementerian pengangkutan.

Jumlah kematian kemungkinan meningkat lagi kerana ramai daripada 81 yang cedera dalam runtuhan 26 September lalu berada dalam keadaan kritikal, kata Dang Van Tam, pengarah Hospital Umum Tengah Can Tho.

Semua mangsa adalah pekerja tempatan di jambatan sepanjang 2.75 kilometer yang akan menyambungkan wilayah selatan Vinh Long dan Can Tho, bandar terbesar di Delta Mekong.

Pekerja terbabit sedang membina bahagian 100 meter jambatan itu, satu daripada projek pembinaan terbesar di Vietnam yang bertungkus lumus membina jalan raya baru, pelabuhan dan jambatan sejajar dengan perkembangan ekonomi.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kemalangan, kata Cong.

Kerja pembinaan jambatan itu dilakukan oleh konsortium terdiri daripada tiga firma Jepun, Taisei Corp., Kajima Corp. dan Nippon Steel Corp. Firma keempat Jepun, Nippon Koei-Chodai, adalah ketua juruperunding dalam projek bernilai AS$218 million (RM741.2 juta) yang sebahagian besarnya dibiayai oleh Japan Bank for International Cooperation. – AP

0 comments: