Salam Aidilfitri dari angkasa

MOSCOW 12 Okt. – ‘‘Kepada semua pembaca Utusan. Terima kasih di atas sokongan anda. ‘‘Salam dari angkasa. Selamat Hari Raya.” Itu antara kata-kata yang tertera pada kad ucapan sempena Aidilfitri yang ditandatangani oleh angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr. Faiz Khaleed eksklusif ditujukan untuk pembaca setia akhbar Utusan Malaysia.

Kad tersebut diterima Utusan Malaysia sehari selepas Sheikh Muszaphar berjaya berlepas ke angkasa untuk menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Rabu lalu.

Selain kata-kata ucapan, turut disertakan dalam kad yang diperoleh daripada Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh itu ialah gambar kedua-dua ‘hero’ negara terbabit yang lengkap dengan pakaian angkasawan.

Kapal angkasa Rusia, Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan pertama negara, Sheikh Muszaphar bersama dua krew lain selamat berlepas ke angkasa menuju Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, Rabu lepas.

Dua krew lain adalah Yuri Malenchenko dari Rusia dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat.

Ia sekali gus membuktikan kemampuan anak tempatan untuk meneroka angkasa lepas, satu bidang yang sebelum ini dikuasai negara Barat, dalam suasana negara yang ketika ini mencapai kemerdekaan ke-50 tahun.

Kejayaan Sheikh Muszaphar berlepas ke angkasa turut mendapat liputan meluas beberapa akhbar utama di Moscow terutamanya The Moscow Times.

Pada muka surat tiga akhbar terbabit tertera gambar beliau di samping temu bual bersama bapanya, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abd. Shukor.

Rombongan delegasi dan media Malaysia yang berada di Baikonur sejak minggu lalu kini berkumpul di Moscow untuk mengikuti perkembangan terkini angkasawan negara melalui Pusat Kawalan Misi (MCC), dekat sini.

Sementara itu, suasana Aidilfitri di sini disambut meriah oleh kebanyakan warga Malaysia.

Solat Aidilfitri dilangsungkan di Kedutaan Besar Malaysia di Rusia yang turut dihadiri Dr. Faiz dan keluarga Sheikh Muszaphar.

– Utusan

0 comments: