PM: Aidilfitri rapatkan hubungan keluarga

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta umat Islam mengambil kesempatan daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan saling bermaafan dengan ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara.

Perdana Menteri berkata, Aidilfitri merupakan masa terbaik untuk orang ramai berkumpul bersama keluarga tercinta.

‘‘Sesungguhnya keluarga amat besar nilai dan ertinya, mungkin mereka yang telah kehilangan ahli keluarga yang tercinta seperti saya akan lebih memahami nilai kekeluargaan ini.

‘‘Aidilfitri juga adalah masanya untuk kita mengubat segala kelukaan yang ada. Sesungguhnya keluargalah tempat kita bersandar, berkongsi suka dan duka, tatkala senang dan susah,’’ katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan melalui RTM1 di sini malam ini.

Turut berada di sebelah beliau ketika menyampaikan perutusan itu ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Abdullah sebelum ini kehilangan dua orang insan tercinta iaitu isteri beliau, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood, yang meninggal dunia akibat kanser dua tahun lalu dan ibunya, Allahyarham Datuk Kailan Hassan yang kembali ke rahmatullah pada tahun 2004.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga meminta anak-anak supaya menggunakan perayaan kali ini untuk menghargai dan membalas jasa ibu bapa yang telah banyak berkorban dengan memberikan mereka kebahagiaan sementara kesempatan masih ada.

“Curahkan kasih sayang dan jika ada pergeseran yang berlaku yang merenggangkan hubungan kerana ibu bapa marahkan anaknya, anak yang tersinggung dengan ibu bapa, adik-beradik yang terguris perasaan, inilah masanya untuk kita pohon keampunan,’’ ujarnya.

Perdana Menteri turut menyeru rakyat bersyukur kerana Malaysia telah dikurniakan pelbagai rahmat sejak negara merdeka 50 tahun lalu dan telah menjadi antara negara membangun termaju dalam tempoh berkenaan.

“Ini semua berkat hemah dan kebijaksanaan kepimpinan yang dikurniakan kepada negara kita selama ini serta rakyat Malaysia yang bersatu padu dalam menunjangi arus kemajuan yang dibawa,” katanya.

Abdullah berkata, rakyat Malaysia juga perlu bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa dalam keadaan aman bukan seperti di beberapa negara Islam lain termasuk Indonesia yang dilanda gempa bumi manakala beberapa negara di Asia Barat dan Afghanistan pula dibebankan dengan peperangan dan pergaduhan.

‘‘Inilah suatu perkara yang menggembirakan saya dan membuatkan saya bersyukur kerana ahli-ahli perniagaan tidak lupa untuk menderma dan membantu golongan miskin dengan pelbagai cara,” katanya.

Sementara itu, Jeanne dalam ucapan ringkasnya meminta orang ramai menggunakan kesempatan bercuti panjang semasa Aidilfitri untuk mencurahkan kasih sayang kepada ahli keluarga.

‘‘Luangkan masa dan beri perhatian serta janganlah sekali-kali mereka diabaikan,” katanya.

0 comments: