Rakaman CCTV beri petunjuk kepada polis

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Polis percaya dapat mengenal pasti individu yang mengangkat beg dipercayai berisi mayat Nurin Jazlin Jazimin yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di Petaling Jaya pada 17 September lalu.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan berkata, rakaman yang lebih jelas itu ‘membuka jalan’ kepada polis untuk mengesan individu berkenaan.

“Aksi lelaki dalam rakaman CCTV dari raga motosikal sebelum meninggalkan beg di tepi tangga sebuah bangunan kedai itu boleh mendedahkan identiti individu berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketika ditanya tentang kaedah sebenar yang akan digunakan polis untuk mengesan identiti pembawa beg itu, Musa enggan mengulas lanjut tentangnya dan menyatakan ia adalah rahsia.

‘‘Kita pernah guna cara itu dan ia berjaya menyelesaikan beberapa kes besar termasuk rompakan sebelum ini.

‘‘Maaf, kita tidak boleh mendedahkannya kerana akan memberi ‘kelebihan’ kepada penjenayah mengenai cara polis bertindak,” ujarnya.

Bagaimanapun, Musa menjelaskan, kerjasama daripada orang ramai masih diperlukan.

Rakaman CCTV itu telah ditingkatkan kualiti imejnya menerusi bantuan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat.

Rakaman CCTV itu mengandungi dua segmen, iaitu segmen pertama selama dua minit yang dirakamkan pada pukul 1 petang pada 16 September menunjukkan imej seorang lelaki menunggang motosikal Modenas Kriss dengan membawa sebuah beg pakaian jenama Diadora berwarna biru dan hitam.

Segmen kedua pula merakamkan pergerakan tiga lelaki bersama seorang wanita yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kenari.

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, murid tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Dia ditemui mati 27 hari kemudian dalam sebuah beg yang diletakkan di depan premis perniagaan di Petaling Jaya akibat didera secara seksual.

0 comments: