Angkasawan kedua akan diputuskan selepas kajian

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan membuat `post-mortem' terhadap program angkasawan pertama sebelum membuat keputusan untuk menghantar angkasawan kedua.

"Kita akan membuat `post-mortem' terlebih dahulu dan selepas itu akan menilai kemungkinannya di masa hadapan," kata beliau selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Menteri Kabinet di PWTC di sini.

Najib berkata demikian apabila ditanya mengenai misi angkasa lepas akan datang dan kemungkinan menghantar Kapt Dr Faiz Khaleed, seorang lagi calon angkawasan Malaysia, mengikuti misi itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis semalam dilaporkan berkata, Dr Faiz merupakan calon utama bagi misi akan datang, kemungkinan pada tahun 2008 atau 2009.

Sementara itu, Najib berkata, beliau akan berlepas ke Moscow pada 20 Oktober depan untuk menyambut kepulangan angkasawan pertama negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan bukannya ke Siberia atas sebab-sebab logistik.

"Pihak Russia telah menasihatkan rombongan Malaysia untuk menunggu kepulangan Dr Sheikh Muszaphar di Moscow.

"Pendaratan angkasawan adalah di Siberia tetapi keadaan di Siberia tidak mengizinkan kami berada di sana," kata beliau.

Dr Sheikh Muszaphar dijangka mendarat pada 21 Oktober, pada kira-kira 6 pukul petang (waktu Moscow), di satu lokasi di Siberia sebelum diterbangkan ke Moscow. - Bernama

0 comments: