Kes Nurin: Tiga lelaki dirakam CCTV serah diri

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Tiga lelaki menaiki kereta Perodua Kenari yang aksi mereka dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di Petaling Jaya dekat sini pada 16 September lalu telah tampil membantu siasatan kes pembunuhan Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berusia antara 19 hingga 25 tahun dan menetap di Petaling Jaya menyerah diri di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor pada pukul 10.30 malam tadi.

Mereka menyerah diri selepas media menyiarkan rakaman CCTV yang ditingkatkan kualiti imejnya menerusi bantuan Biro Siasatan Persekutuan (FBI). Rakaman itu memaparkan aksi mencurigakan seorang wanita memakai baju merah bersama tiga lelaki menaiki Perodua Kanari di kaki lima bangunan kedai di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama.

Dua daripada mereka yang merupakan budak penghantar surat manakala seorang lagi pelajar mengaku berada di kawasan premis perniagaan itu berhampiran lokasi beg berisi mayat kanak-kanak malang, Nurin Jazlin, 8, diletakkan pada 16 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee mengesahkan hari ini bahawa ketiga-tiga lelaki itu sedang membantu polis mengenal pasti identiti wanita berbaju merah dalam rakaman CCTV itu.

0 comments: