Nurin masih segar dalam ingatan


Ahli keluarga Jazimin membaca doa di pusara arwah Nurin di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Keluarga Jazimin Abdul Jalil dan isteri, Norazian Bistamin tidak pernah menduga akan menyambut kedatangan Syawal tanpa suara dan keletah anak kesayangan mereka Nurin Jazlin, 8.

Tetapi itulah yang mereka lalui tahun ini dan untuk selama-lamanya.

Nurin Jazlin ditemui mati pada 17 September lalu selepas 27 hari dilaporkan hilang dalam keadaan mayatnya disumbat di dalam sebuah beg dan diletakkan di hadapan tangga sebuah premis di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini.

Ekoran itu, sehari sebelum kehadiran 1 Syawal esok, keluarga Nurin Jazlin hari ini menziarahi pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, di sini.

Bersama Jazimin dan isteri ialah tiga lagi anak-anak mereka Nurin Jazshira, 9, Jazsrina, 6, dan Jazliza, 1 tahun.

Jazimin dan isteri menghabiskan masa kira-kira 15 minit duduk di hujung pusara Nurin Jazlin sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran bersama anggota keluarga lain.

Selepas itu, pasangan berkenaan dan anggota keluarganya merenjis air mawar dan menabur bunga di pusara Nurin Jazlin.

Sementara itu, Jazimin ketika ditemui berkata, mereka sekeluarga amat merindui Nurin Jazlin kerana gelagat anak keduanya itulah yang paling girang setiap kali menyambut Aidilfitri.

‘‘Kak Ngah (panggilan untuk Nurin Jazlin) selalunya yang paling riuh dan girang di kalangan adik beradik menjelang ketibaan Syawal, namun keadaan tahun ini tidak sama lagi kerana Kak Ngah telah tiada,’’ katanya ketika ditemui selepas menziarahi pusara anaknya.

Menurut Jazimin, meskipun tanpa Nurin, persiapan menyambut Aidilfitri tetap diteruskan namun dengan cara sederhana.

“Anak-anak lain masih mentah dan tidak tahu apa-apa. Mereka mahu merayakan Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Norazian berkata, sambutan Aidilfitri kali ini memang tidak bermakna tanpa Nurin Jazlin.

‘‘Saya juga tidak dapat tidur nyenyak dalam beberapa hari ini kerana rindu kepada Nurin,” kata Norazian yang kelihatan sebak.

Jazimin dan keluarganya dijangka pulang ke kampung di Taiping, Perak pada Hari Raya Aidilfitri kali ini.

0 comments: