Hui Yee terpaksa guna semula mesin pernafasan

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Penerima jantung mekanikal yang berjaya menjalani pembedahan pemindahan jantung baru, Tee Hui Yee,14, terpaksa bernafas dengan bantuan mesin pernafasan semula.

Ketua Pakar Bedah Kardiotorasik Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Mohd Azhari Yakub berkata, doktor sebelum ini menanggalkan tiub mesin pernafasan itu namun ia terpaksa dipasang kembali dua hari lalu kerana Hui Yee keletihan.

“Bila ditanggalkan dia terpaksa bernafas dengan sendiri dan itu menyebabkannya mengalami sedikit keletihan jadi kita terpaksa pasang semula mesin bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melawat Hui Yee di IJN, di sini hari ini.

Turut sama ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi IJN, Datuk Dr. Mohamad Salleh.

Mereka turut meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Wad Bunga Raya IJN yang menjalani pembedahan pintasan jantung pada 4 September lalu.

Dr. Mohd Azhari berkata, tumpuan penting sekarang adalah untuk membina kekuatan Hui Yee dengan memberinya makanan cecair berzat melalui tiub.

“Keadaannya menunjukkan perkembangan yang amat baik. Dia sudah boleh menggerakkan kaki dan tangan tetapi masih belum boleh bercakap banyak kerana tiub yang dipasang pada mulutnya,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekarang adalah masa yang penting kerana doktor sedang memberikan Hui Yee ubat anti penolakan bagi mengelakkan badannya menolak organ jantung baru itu.

Pada masa sama, katanya, ubat “Immunosuppresive” tersebut akan menyebabkan sistem ketahanan badan Hui Yee lemah dan mudah terdedah kepada sebarang jangkitan.

Ekoran itu, jelas beliau, sebarang lawatan daripada mana-mana pihak dihadkan untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku.

Menurut Dr. Mohd Azhari, doktor tidak mahu tergesa-gesa untuk memulihkan keadaan Hui Yee kerana tidak mahu memberi tekanan kepadanya.

“Kita mahu Hui Yee melalui proses pemulihan dengan perlahan dan semua doktor sentiasa memantau rapi keadaannya,” tambahnya.

Sementara itu, ujian biopsi yang dijalankan ke atas Hui Yee, semalam mencatatkan gred 1 A, iaitu hampir tiada penolakan langsung pada sistem badannya.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Klinikal Unit Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr. Mohamed Ezani Md. Taib.

Katanya, Hui Yee juga semakin pulih dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan memberangsangkan.

Kelmarin, remaja tersebut melalui proses biopsi iaitu mengambil cebisan daging daripada jantung untuk dianalisis bagi mengesan sama ada wujud atau tidak sebarang penolakan pada sistem badannya terhadap jantung baru itu.

‘‘Gred yang paling teruk dalam sesuatu ujian biopsi adalah pada paras 4,’’ katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, Hui Yee terpaksa diletakkan kembali ke dalam ventilator kerana keadaannya yang masih lemah.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mohamed Ezani berkata, seorang lelaki yang menghidap penyakit paru-paru keras di IJN kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan pemindahan paru-paru di sini pada 4 Oktober lalu.

Beliau menambah, lelaki berketurunan Iban dari Sarawak penghidap idiopathic pulmonary fibrosis itu kini boleh berjalan sejauh 300 meter tanpa sebarang bantuan oksigen tambahan.

0 comments: